Pages

Tuesday, March 17, 2015

RM13 Juta Ubah Wajah Sungai Nail


Projek Sungai Nail di Kuala Besut yang dirancang sebagai Gerbang Pelancongan Antarabangsa bakal merancakkan industri pelancongan di pekan nelayan itu dalam tempoh beberapa tahun lagi.

ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, bersesuaian dengan perubahan yang akan berlaku di kawasan itu, beberapa projek sampingan sedang dibangunkan bagi membuka peluang membantu penduduk tempatan menjana ekonomi.

Menurutnya, pembangunan Sungai Nail yang bernilai RM13 juta itu bermula dari tebing muara sungai hingga Kampung Pacakan sejauh 5 kilometer kini dibangunkan dengan projek pelancongan.

“Antara yang sedang dibangunkan, lebih 20 buah pondok menjual produk asli penduduk Kuala Besut supaya pelancong dapat menikmati produk tempatan termasuk dihasilkan kaum nelayan di situ,” katanya.

Pekan Kuala Besut merupakan pintu masuk utama ke Pulau Perhentian iaitu antara destinasi kegemaran pelancong ke negeri ini.

Tengku Zaihan berkata, selain hasil kraftangan nelayan, makanan tradisional segar seperti otak-otak, satar, keropok lekor, ikan celup tepung serta hasil tangkapan laut seperti ikan, udang serta ketam akan dijual di pondok yang sedang dibangunkan di sepanjang tebing Sungai Nail itu.

Projek Sungai Nail dibina sebagai tebatan banjir dan akan menjadi tulang belakang kepada pembangunan Pekan Kuala Besut dalam memastikan ia terus kekal sebagai penempatan warisan.

Sumber :-  Teganukita

No comments:

Post a Comment