Sunday, March 1, 2015
BN Tidak Bertanding Di DUN Chempaka
Barisan Nasional (BN) memuktamadkan keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada 22 Mac depan untuk memberi fokus kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir di Kelantan.
Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkata tindakan itu susulan kerja-kerja pemulihan masih dalam proses untuk dilaksanakan bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.
Katanya, tidak menjadi kemestian untuk BN meletakkan calon dan PRK Bukit Gelugor menjadi contoh apabila parti itu turut tidak bertanding berikutan kematian Pengerusi DAP, Karpal Singh yang meninggal dunia tahun lalu.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh menghalang individu lain yang mahu bertanding, tetapi UMNO memutuskan untuk tidak meletakkan calon.
“Masih banyak pihak yang patut terima bantuan dan masih tidak menerimanya. Kita jadikan ini keutamaan yang tertinggi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, malam tadi.
Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO berkata langkah itu juga bertujuan memastikan perpaduan ummah dapat dikukuhkan.
Katanya, walaupun terdapat perbezaan fahaman politik di negeri itu, perpaduan ummah dilihat sebagai agenda yang penting.
Menurut beliau, pihaknya telah mengadakan perbincangan menyeluruh dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan dan Umno Bahagian Pengkalan Chepa sebelum membuat keputusan berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK Dun Chempaka 22 Mac depan manakala penamaan calon 10 Mac.
Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan kematian penyandangnya, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Nik Abdul Aziz yang merupakan Mursyidul Am PAS menang di kerusi Dun Chempaka dengan majoriti 6,500 undi.
Bekas Menteri Besar Kelantan itu mendapat 12,310 undi manakala calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak memperoleh 5,810 undi.
Sumber :- TeganuKita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment