Pages

Tuesday, March 17, 2015

Kolej Komuniti Besut Jalin Kerjasama Syarikat Jepun


Kolej Komuniti Besut menyediakan kursus animasi 3D profesional peringkat sijil dengan kerjasama sebuah syarikat Jepun, bermula bulan ini, kata Menteri Pendidikan Kedua, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Menurutnya, kursus animasi 3D yang disediakan itu merupakan yang terbaik di negara ini memandangkan ia mendapat bimbingan kepakaran daripada Syarikat Studio Silver End dari Jepun yang bertanggungjawab menyediakan aktiviti animasi di Jepun.

“Lulusan Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional digesa supaya merebut peluang yang disediakan kerana lulusan Animasi 3D mempunyai peluang pasaran kerja yang baik dengan pendapatan lumayan,” katanya.

Syarikat Silver End merupakan syarikat pembikinan animasi studio bertaraf antarabangsa seperti syarikat Lucasfilm, Ubisoft, Double Negative, Sunwoo Asia Pacific, Media Freaks, Southern Stars, Magma Studios dan Road Runner.

Menurut Idris, setiap lulusan bidang animasi 3D kini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM5,000 sebulan.

Justeru, katanya, Kolej Komuniti Besut mengadakan kursus itu bagi jangka masa 20 bulan dengan menawarkan bantuan kewangan sebanyak RM1,200 bagi setiap semester kepada mereka yang berjaya mengikutinya.

Kemasukan untuk kursus animasi itu diadakan tiga kali setahun iaitu pada Mac, Julai dan November setiap tahun.

Sumber :- Teganukita

RM13 Juta Ubah Wajah Sungai Nail


Projek Sungai Nail di Kuala Besut yang dirancang sebagai Gerbang Pelancongan Antarabangsa bakal merancakkan industri pelancongan di pekan nelayan itu dalam tempoh beberapa tahun lagi.

ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, bersesuaian dengan perubahan yang akan berlaku di kawasan itu, beberapa projek sampingan sedang dibangunkan bagi membuka peluang membantu penduduk tempatan menjana ekonomi.

Menurutnya, pembangunan Sungai Nail yang bernilai RM13 juta itu bermula dari tebing muara sungai hingga Kampung Pacakan sejauh 5 kilometer kini dibangunkan dengan projek pelancongan.

“Antara yang sedang dibangunkan, lebih 20 buah pondok menjual produk asli penduduk Kuala Besut supaya pelancong dapat menikmati produk tempatan termasuk dihasilkan kaum nelayan di situ,” katanya.

Pekan Kuala Besut merupakan pintu masuk utama ke Pulau Perhentian iaitu antara destinasi kegemaran pelancong ke negeri ini.

Tengku Zaihan berkata, selain hasil kraftangan nelayan, makanan tradisional segar seperti otak-otak, satar, keropok lekor, ikan celup tepung serta hasil tangkapan laut seperti ikan, udang serta ketam akan dijual di pondok yang sedang dibangunkan di sepanjang tebing Sungai Nail itu.

Projek Sungai Nail dibina sebagai tebatan banjir dan akan menjadi tulang belakang kepada pembangunan Pekan Kuala Besut dalam memastikan ia terus kekal sebagai penempatan warisan.

Sumber :-  Teganukita

Sunday, March 1, 2015

Solidariti Terengganu Bangkitkan Gerakan Renaisans Melayu

Peserta Malam Perhimpunan Perpaduan Melayu memulakan majlis dengan solat Maghrib berjemaah di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam.

Peserta dari Terengganu antara yang memenuhi Stadium Putra Bukit Jalil semalam bagi memberi sokongan dalam mengembalikan kehebatan Melayu.

Malam Perhimpunan Perpaduan Melayu atau sebelum itu dikenali sebagai Perhimpunan Lancarkan Gerakan Renaisans Melayu diadakan bertujuan bagi merapatkan ukhwah serta jurang yang kian melebar di antara Melayu sendiri.

Menurut Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman yang turut hadir ke majlis tersebut berkata himpunan tersebut amat perlu dalam membangkitkan bangsa Melayu.

“Perhimpunan ini bukanlah bertujuan untuk menimbulkan isu perkauman tetapi ianya bagi memupuk perpaduan di kalangan kita sekaligus dapat membangkitkan semangat Melayu yang kini kian pudar.

“Ianya juga untuk memberi peluang kepada Melayu untuk setaraf sekaligus duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain,” katanya kepada Teganukita.

Perhimpunan tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Dato’ Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran dan Pendidikan Tinggi I, Dato’ Seri Idris Jusoh serta Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man.

Tambah Ahmad Razif, dengan rata-rata peserta yang hadir merupakan rakyat dari Terengganu, ianya membuktikan solidariti yang ada pada mereka.

“Ramai peserta yang hadir pada malam ini (semalam) merupakan dari Terengganu dan ia membuktikan bahawa kita mempunyai perpaduan sesama sendiri,” katanya.

Perhimpunan itu adalah hasil inisiatif Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan mendapat kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) serta Biro Tatanegara (BTN) selepas yang pertama diadakan pada 69 tahun yang lalu.

Hampir 20,000 peserta menyertai Malam Perhimpunan Perpaduan Melayu.

Sumber :- TeganuKita

BN Tidak Bertanding Di DUN Chempaka


Barisan Nasional (BN) memuktamadkan keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada 22 Mac depan untuk memberi fokus kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir di Kelantan.

Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkata tindakan itu susulan kerja-kerja pemulihan masih dalam proses untuk dilaksanakan bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

Katanya, tidak menjadi kemestian untuk BN meletakkan calon dan PRK Bukit Gelugor menjadi contoh apabila parti itu turut tidak bertanding berikutan kematian Pengerusi DAP, Karpal Singh yang meninggal dunia tahun lalu.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh menghalang individu lain yang mahu bertanding, tetapi UMNO memutuskan untuk tidak meletakkan calon.

“Masih banyak pihak yang patut terima bantuan dan masih tidak menerimanya. Kita jadikan ini keutamaan yang tertinggi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, malam tadi.

Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO berkata langkah itu juga bertujuan memastikan perpaduan ummah dapat dikukuhkan.

Katanya, walaupun terdapat perbezaan fahaman politik di negeri itu, perpaduan ummah dilihat sebagai agenda yang penting.

Menurut beliau, pihaknya telah mengadakan perbincangan menyeluruh dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan dan Umno Bahagian Pengkalan Chepa sebelum membuat keputusan berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK Dun Chempaka 22 Mac depan manakala penamaan calon 10 Mac.

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan kematian penyandangnya, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Nik Abdul Aziz yang merupakan Mursyidul Am PAS menang di kerusi Dun Chempaka dengan majoriti 6,500 undi.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu mendapat 12,310 undi manakala calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak memperoleh 5,810 undi.

Sumber :- TeganuKita

Friday, October 24, 2014

Penganjur Progam ‘I Want To Touch A Dog’ Akan Disiasat

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyiasat dan memanggil penganjur progam ‘I Want To Touch A Dog’ (Saya Mahu Sentuh Anjing) bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan isu itu, dalam tempoh terdekat.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, berkata dia cukup kecewa dengan dengan sikap penganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Katanya, kita sedia maklum bahawa Mazhab Syafie sudah menjelaskan bahawa anjing itu tergolong dalam kategori berat (najis mughallazah) jadi mengapa perlu mengajak umat Islam memegang benda yang haram sedangkan banyak lagi benda halal yang boleh dipegang.

“Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan kali pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama sudah menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing dan babi..

“Pihaknya juga sedang menyiasat dengan dakwaan pihak tertentu yang mendakwa penganjur program itu sebenarnya beragama Kristian hanya berselindung disebalik nama islam,” katanya.


Program yang dianjurkan di sebuah Taman Rekreasi di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor Ahad lalu mendapat kritikan pelbagai pihak apabila umat Islam dibenar bermesra dan bermain dengan anjing yang dibawa peserta bukan Islam.

Beliau berkata demikian pada Multaqa’ Ahli Jawatankuasa Fatwa seluruh Malaysia, di Hotel Tabung Haji, Kuala Terengganu, hari ini.

Seramai 150 ulama’ termasuk mufti di negara ini menyertai program dua hari dan berakhir esok anjuran Jabatan Hal Ehwal Fatwa dan Adat Melayu Terengganu (Mufti) dengan kerjasama Jakim.

Sumber :- http://teganukita.my/penganjur-progam-i-want-to-touch-a-dog-akan-disiasat/

Jakim Kesal Penganjur Tidak Jaga Sensitiviti Umat Islam

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung penganjuran acara ‘I Want To Touch A Dog’ (Saya Mahu Sentuh Anjing) yang berlangsung di Central Park, One Utama dekat Petaling Jaya, petang semalam.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata program itu tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak penganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Katanya, Islam di Malaysia yang berpegang teguh kepada Mazhab Syafie sudah jelas memperincikan bahawa anjing dan babi itu tergolong dalam najis mughallazah (berat).

“Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan ia merupakan kali pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama sudah menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing.

“Jakim akan segera menyiasat perkara ini dan sebarang tindakan akan dirujuk pada peruntukan-peruntukan yang ada,” katanya kepada pemberita mengulas penganjuran program itu yang mendapat sambutan luar biasa daripada kalangan umat Islam di sekitar ibu kota, semalam.

Othman ditemui media selepas merasmikan Multaqa Pengetua Sekolah Agama peringkat kebangsaan di sini.

Beliau turut menasihatkan umat Islam agar melihat semula dan mendapatkan pandangan ulama mahupun ustaz sama ada apa yang dilakukan mereka dengan menyentuh, memeluk dan mendukung anjing itu betul dari segi agama dan selaras dengan tuntutan Islam.

Penganjuran program ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ oleh Syed Azmi Alhabshi yang bertujuan membantu orang ramai terutama masyarakat Islam untuk mengatasi rasa takut mereka terhadap anjing.

Program selama dua jam bermula 8 pagi hingga 10 pagi Ahad itu dibanjiri ratusan umat Islam bagi memberi peluang kepada mereka untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan.

Sementara itu, ketika ditanya tentang kehadiran seorang ustaz di samping dua individu lain dalam forum mini bagi menjawab pertanyaan dan kemusyiklan berkaitan anjing dalam acara tersebut, Othman berkata pihaknya akan turut menyiasat kelayakan agama lelaki berkenaan.

“Buat masa ini, kita tidak dapat maklumat lengkap sama ada betul atau tidak individu itu ustaz, sekarang ini siapa-siapa yang pakai songkok (berpenampilan alim) pun sudah boleh jadi ustaz,” katanya.

Sumber :- http://teganukita.my/jakim-kesal-penganjur-tidak-jaga-sensitiviti-umat-islam/

Kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ – Komen Ustaz Kazim Elias


Ustaz Kazim Elias dalam entri facebook beliau turut mempersoalkan niat penganjur mengadakan kempen tersebut. Berikut adalah apa yang dikatakannya :

“Salam sejahtera..Kempen Saya Mahu Sentuh Anjing.. Hurmm satu kempen utk mmbuang stigma bg Org Muslim n khususnya org Melayu kononnya.. Siap bwk dalil kisah org masuk syurga krn bg minum kpd anjing lg.

“Membela anjing utk jg kebun utk jg keselamatan rumah utk mengesan barang jenayah tidaklah dilarang malah harus didlm Islam. Tetapi nak dijadikan sbg binatang peliharaan spt kucing ayam dll tidaklah boleh dipndg ringan krn ianya melibatkan urusan ibadat seharian.

“Mana boleh saja2 bela, saja2 nak pegang. Sebab apa nak pegang? Isu apa? Nak jdkan anjing sbg apa? Mula2 pegang pastu bela ,pastu masuk dlm rumah pastu? Pastu?

“Binatang mughalazah ini mcm babi jugalah mugahalazahnya, lepas ni buat la kempen pulak pegang babi dgn melawat ke pasar babi lepas tu melarat ke makan babi pulak.

“Ini semua ada agenda halus utk meliberal n mempluralkan agama. Tidaklah salah pegang anjing, tp apa sebabnya sampai buat kempen?Nape x buat kempen ke masjid ke? Kempen menerima hudud ke kempen menerima konsep Kalimah Allah yg sebenarnya ke..

“Inilah jarum halus yg dicucuk kpd umat Islam agar menjadi fahaman liberal n plural.. Nnt akan ada yg kata knp ustaz bising isu anjing knp x bising isu memegang bukan mahram x bertudung dll, yg itu pun berkali2 dah saya tegur n nasihat tp dlm bab kempen anjing ni, ianya satu gerakan yg cukup halus utk menghalalkan sesuatu yg sudah diharamkan dan dimulakan dgn satu kempen secara kecil2an yg akhirnya akan merubah n menidakkan hukum dan itulah tujuan asalnya.

“Berhati2lah dgn kempen sebegini, lepas kempen arak mai anjing pulak lepas ni apa pulak?Jgn lepas ni buat kempen babi pulak dgn alasan bahawa babi skrg dah bersih dah diternak dlm aircond dah mengamalkan tahap kebersihan mematuhi piawaian antarabngsa.

“Halusnya kempen anjing ini namun sayang ada segelintir umat Islam yg tidak cukup halus matahatinya utk meneliti…

Sumber :- http://teganukita.my/kempen-saya-mahu-sentuh-anjing-komen-ustaz-kazim-elias/