Pages

Friday, October 24, 2014

Penganjur Progam ‘I Want To Touch A Dog’ Akan Disiasat

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyiasat dan memanggil penganjur progam ‘I Want To Touch A Dog’ (Saya Mahu Sentuh Anjing) bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan isu itu, dalam tempoh terdekat.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, berkata dia cukup kecewa dengan dengan sikap penganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Katanya, kita sedia maklum bahawa Mazhab Syafie sudah menjelaskan bahawa anjing itu tergolong dalam kategori berat (najis mughallazah) jadi mengapa perlu mengajak umat Islam memegang benda yang haram sedangkan banyak lagi benda halal yang boleh dipegang.

“Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan kali pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama sudah menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing dan babi..

“Pihaknya juga sedang menyiasat dengan dakwaan pihak tertentu yang mendakwa penganjur program itu sebenarnya beragama Kristian hanya berselindung disebalik nama islam,” katanya.


Program yang dianjurkan di sebuah Taman Rekreasi di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor Ahad lalu mendapat kritikan pelbagai pihak apabila umat Islam dibenar bermesra dan bermain dengan anjing yang dibawa peserta bukan Islam.

Beliau berkata demikian pada Multaqa’ Ahli Jawatankuasa Fatwa seluruh Malaysia, di Hotel Tabung Haji, Kuala Terengganu, hari ini.

Seramai 150 ulama’ termasuk mufti di negara ini menyertai program dua hari dan berakhir esok anjuran Jabatan Hal Ehwal Fatwa dan Adat Melayu Terengganu (Mufti) dengan kerjasama Jakim.

Sumber :- http://teganukita.my/penganjur-progam-i-want-to-touch-a-dog-akan-disiasat/

Jakim Kesal Penganjur Tidak Jaga Sensitiviti Umat Islam

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung penganjuran acara ‘I Want To Touch A Dog’ (Saya Mahu Sentuh Anjing) yang berlangsung di Central Park, One Utama dekat Petaling Jaya, petang semalam.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata program itu tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak penganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Katanya, Islam di Malaysia yang berpegang teguh kepada Mazhab Syafie sudah jelas memperincikan bahawa anjing dan babi itu tergolong dalam najis mughallazah (berat).

“Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan ia merupakan kali pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama sudah menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing.

“Jakim akan segera menyiasat perkara ini dan sebarang tindakan akan dirujuk pada peruntukan-peruntukan yang ada,” katanya kepada pemberita mengulas penganjuran program itu yang mendapat sambutan luar biasa daripada kalangan umat Islam di sekitar ibu kota, semalam.

Othman ditemui media selepas merasmikan Multaqa Pengetua Sekolah Agama peringkat kebangsaan di sini.

Beliau turut menasihatkan umat Islam agar melihat semula dan mendapatkan pandangan ulama mahupun ustaz sama ada apa yang dilakukan mereka dengan menyentuh, memeluk dan mendukung anjing itu betul dari segi agama dan selaras dengan tuntutan Islam.

Penganjuran program ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ oleh Syed Azmi Alhabshi yang bertujuan membantu orang ramai terutama masyarakat Islam untuk mengatasi rasa takut mereka terhadap anjing.

Program selama dua jam bermula 8 pagi hingga 10 pagi Ahad itu dibanjiri ratusan umat Islam bagi memberi peluang kepada mereka untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan.

Sementara itu, ketika ditanya tentang kehadiran seorang ustaz di samping dua individu lain dalam forum mini bagi menjawab pertanyaan dan kemusyiklan berkaitan anjing dalam acara tersebut, Othman berkata pihaknya akan turut menyiasat kelayakan agama lelaki berkenaan.

“Buat masa ini, kita tidak dapat maklumat lengkap sama ada betul atau tidak individu itu ustaz, sekarang ini siapa-siapa yang pakai songkok (berpenampilan alim) pun sudah boleh jadi ustaz,” katanya.

Sumber :- http://teganukita.my/jakim-kesal-penganjur-tidak-jaga-sensitiviti-umat-islam/

Kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ – Komen Ustaz Kazim Elias


Ustaz Kazim Elias dalam entri facebook beliau turut mempersoalkan niat penganjur mengadakan kempen tersebut. Berikut adalah apa yang dikatakannya :

“Salam sejahtera..Kempen Saya Mahu Sentuh Anjing.. Hurmm satu kempen utk mmbuang stigma bg Org Muslim n khususnya org Melayu kononnya.. Siap bwk dalil kisah org masuk syurga krn bg minum kpd anjing lg.

“Membela anjing utk jg kebun utk jg keselamatan rumah utk mengesan barang jenayah tidaklah dilarang malah harus didlm Islam. Tetapi nak dijadikan sbg binatang peliharaan spt kucing ayam dll tidaklah boleh dipndg ringan krn ianya melibatkan urusan ibadat seharian.

“Mana boleh saja2 bela, saja2 nak pegang. Sebab apa nak pegang? Isu apa? Nak jdkan anjing sbg apa? Mula2 pegang pastu bela ,pastu masuk dlm rumah pastu? Pastu?

“Binatang mughalazah ini mcm babi jugalah mugahalazahnya, lepas ni buat la kempen pulak pegang babi dgn melawat ke pasar babi lepas tu melarat ke makan babi pulak.

“Ini semua ada agenda halus utk meliberal n mempluralkan agama. Tidaklah salah pegang anjing, tp apa sebabnya sampai buat kempen?Nape x buat kempen ke masjid ke? Kempen menerima hudud ke kempen menerima konsep Kalimah Allah yg sebenarnya ke..

“Inilah jarum halus yg dicucuk kpd umat Islam agar menjadi fahaman liberal n plural.. Nnt akan ada yg kata knp ustaz bising isu anjing knp x bising isu memegang bukan mahram x bertudung dll, yg itu pun berkali2 dah saya tegur n nasihat tp dlm bab kempen anjing ni, ianya satu gerakan yg cukup halus utk menghalalkan sesuatu yg sudah diharamkan dan dimulakan dgn satu kempen secara kecil2an yg akhirnya akan merubah n menidakkan hukum dan itulah tujuan asalnya.

“Berhati2lah dgn kempen sebegini, lepas kempen arak mai anjing pulak lepas ni apa pulak?Jgn lepas ni buat kempen babi pulak dgn alasan bahawa babi skrg dah bersih dah diternak dlm aircond dah mengamalkan tahap kebersihan mematuhi piawaian antarabngsa.

“Halusnya kempen anjing ini namun sayang ada segelintir umat Islam yg tidak cukup halus matahatinya utk meneliti…

Sumber :- http://teganukita.my/kempen-saya-mahu-sentuh-anjing-komen-ustaz-kazim-elias/

Keluar Fatwa Haramkan Ketum


Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa yang mengharamkan penggunaan daun dan air ketum di negara ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohd Johari Baharum berkata ini kerana penggunaan air dan daun ketum akan memudaratkan kesihatan mereka yang mengambilnya secara berlebihan dan berterusan.

Beliau dalam laporan Bernama berkata, pihaknya bimbang kerana penyalahgunaan ketum kini menular dalam kalangan pelajar sekolah, yang menjadikan air ketum sebagai minuman harian, malah turut dibawa ke sekolah.

“Penyalahgunaan ketum amat serius. Dahulu, di utara Semananjung sahaja tetapi kini ia telah merebak ke Terengganu, Perak dan Pahang.

“Saya terima aduan ada nelayan di Pahang minum air ketum sebelum ke laut,” katanya semalam.

Mohd Johari berkata Pemadam juga berharap Jabatan Peguam Negara menyegerakan proses mewartakan penyalahgunaan ketum dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana ketum mengancam keselamatan di negara ini.

“Saya merayu kepada kerajaan agar percepatkan rang undang-undang berkaitan ketum ini agar tindakan boleh diambil terhadap pengusaha tanaman ketum yang merosakkan rakyat,” katanya.

Sumber :- http://teganukita.my/keluar-fatwa-haramkan-ketum/

Kajian Semula Jajaran Baharu Kereta Api Ke Terengganu


Kementerian Pengangkutan akan mengkaji keseluruhan pelan struktur kereta api termasuk Jajaran Baharu Kereta Api Pantai Timur termasuk Terengganu untuk pastikan ia lebih sempurna dan efisien pada masa akan datang.

Menterinya, Dato’ Seri Liow Tiong Lai berkata dalam laporan Bernama, ia juga sebagai langkah untuk menjadikan pengangkutan kereta api sebagai kemudahan pengangkutan awam yang paling berkesan menggantikan lebuh raya dan pengangkutan udara menjelang 2020.

“Laluan kereta api sedia ada dari Mentakab dan Gua Musang akan dikaji semula secara keseluruhan dan akan dinaik taraf kerana banyak yang telah rosak akibat penyelenggaraan yang kurang memuaskan menyebabkan kereta api tidak dapat bergerak laju.

“Laluan baharu itu nanti akan menghubungkan kawasan berkepadatan penduduk tinggi dan melalui laluan bandar-bandar besar seperti Kuantan dan Kuala Terengganu,” katanya.

Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebelum ini telah pun melaksanakan kajian terperinci mengenai jajaran baharu kereta api Pantai Timur menghubungkan Kuala Lumpur ke Kota Baharu membabitkan jarak sejauh 620 km dengan kos kira-kira RM30 bilion.

Liow berkata, dengan adanya jajaran baharu itu nanti, ia bakal menjadikan kereta api sebagai pengangkutan awam alternatif mengatasi kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di Lebuh Raya Pantai Timur terutama menjelang musim perayaan.

Sumber :- http://teganukita.my/kajian-semula-jajaran-baharu-kereta-api-ke-terengganu/

Kerajaan Lantik Persatuan Pengguna Jadi Pemantau Harga

Ahmad Maslam ketika menerangkan tentang GST pada Majlis Penerangan GST oleh Dato’ Ahmad Maslam di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail

Kerajaan akan melantik badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dengan persatuan pengguna untuk menjadi pemantau harga setelah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan April depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Ahmad Maslan berkata, langkah itu wajar dalam mengurangkan kegusaran rakyat kerana dalam tempoh enam bulan pertama merupakan tempoh penyesuaian terhadap perlaksanaan cukai itu.

“Selain daripada buku garis panduan dan akta kawalan harga yang akan dilaksanakan, dalam pembentangan bajet dua hari lepas, Perdana Menteri menambah lagi satu kaedah iaitu memilih beberapa NGO tertentu yang melibatkan pengguna untuk menjadi pemantau harga.

“Sekarang ini pemantau harga kita ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kepenggunaan sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penerangan GST Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, kemungkinan kerajaan juga akan memberi geran tertentu kepada persatuan pengguna yang terlibat dan ia merupakan satu lagi kaedah tambahan untuk menjadikan harga barang terkawal.

Tambah beliau, kerajaan juga akan mewujudkan pasar tani kekal yang beroperasi setiap hari, selain menambah pasar ikan serta Kedai Rakyat 1Malaysia.

“Langkah ini adalah untuk membantu menyeragam dan menstabilkan harga barang,” ujarnya.

Katanya, selain daripada pelbagai langkah yang diperkenalkan kerajaan, rakyat juga perlu mengunakan kuasa yang ada pada mereka selaku pengguna untuk membuat pilihan yang terbaik semasa berbelanja.

Sumber :- http://teganukita.my/kerajaan-lantik-persatuan-pengguna-jadi-pemantau-harga/

Bidang Kemahiran Ditambah Baik Melalui TVET

Dato’ Idris menyampaikan sijil pada Majlis Graduasi Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, di Ri-Yaz Hertige, Pulau Duyung, Kuala Terengganu.

Bidang latihan kemahiran akan terus ditambah baik melalui Program Transformasi Vokasional dan Teknik (TVET) supaya menjadi pendidikan arus perdana di negara ini.

Menteri Pendidikan II Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, melalui program itu, kementerian memberi tumpuan khas terhadap pembangunan latihan kemahiran kepada pelajar dan generasi muda yang kurang cemerlang dalam akademik.

“Apa yang dilaksanakan itu adalah peralihan penting di mana sistem pendidikan vokasional akan dipermodenkan.

“Kita akan lihat kolej vokasional, sekolah vokasional, kolej komuniti, politeknik dan pusat latihan di negara ini dinaik taraf sistem pendidikan dan mutu latihan kemahiran,” katanya..

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, di Ri-Yaz Hertige, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Zakaria Hussin dan Pengetua SMK Lembah Bidong Mohd Nasir Abd Rahman.

Seramai 106 pelajar tingkatan lima sekolah itu hadir bagi menerima anugerah khas graduasi di mana Ahmad Ali Al Bustami Harun dianugerahkan gred purata terbaik dan pencapaian semua A.

Pelajar lain, Shahirah Sariff turut dianugerahkan pencapaian semua A; Muhamad Shakir Firhan Mohd Amin dan Nur Madihah Mat Yasin (anugerah peningkatan cemerlang) dan Noor Izat Ibrahim pula anugerah PIBG pelajar unggul akademik.

Idris turut memberitahu supaya ibu bapa agar tidak lagi sekadar mengharapkan anak mereka cemerlang dalam akademik sahaja.

“Sebaliknya turut memberi fokus terhadap bidang latihan kemahiran tinggi yang sangat diperlukan dalam industri tertentu ketika ini,” katanya.

Sumber :- http://teganukita.my/bidang-kemahiran-ditambah-baik-melalui-tvet/

Nama Terpanjang Di Malaysia

 
 
Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah binti Airol Anizam adalah antara nama terpanjang di Malaysia seperti yang direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

‘Ahmad’, ‘Alex’ dan ‘Ravi’ pula adalah antara nama paling popular rakyat Malaysia yang didaftarkan JPN.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Sulaiman Keling berkata nama ‘Ahmad’ yang direkodkan ialah sejumlah 63,049 orang, diikuti ‘Alex’ 16,992 orang dan ‘Ravi’ 10,866 orang.

“Nama-nama berkenaan paling banyak digunakan dan didaftarkan di negara ini,” katanya ketika berucap pada Hari Pendaftaran Negara dan Hari Inovasi 2014 di Jabatan Pendaftaran Negara, di Putrajaya, semalam.

Jelas Sulaiman, 1 Oktober diisytiharkan sebagai Hari Pendaftaran Negara sempena tarikh pengeluaran kad pengenalan pertama negara yang juga dikenali sebagai kad beras.

“Kad beras dikeluarkan kepada orang awam secara sistematik dan teratur mulai 1 Oktober 1948 dengan kad yang pertama bernombor siri 0000001 dikeluarkan kepada Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan Negara.

“Kad beras pada mulanya dikeluarkan sebagai pengenalan identiti di samping bertindak sebagai satu daripada langkah untuk membendung anasir komunis di tanah air,” katanya.

Jelas Sulaiman, warga JPN melihat pemilihan 1 Oktober sebagai Hari Pendaftaran Negara sebagai bertepatan dan sesuai dengan peranan JPN sebagai satu-satunya organisasi di Malaysia yang menguruskan dokumen rekod pengenalan diri bermula dari awal kelahiran hinggalah rekod selepas kematian.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang merasmikan majlis itu berkata berdasarkan Laporan Perbelanjaan JP Ndalam tempoh tiga tahun, sejumlah RM1.13 bilion telah dibelanjakan merangkumi tanggungan pengeluaran MyKad.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan lebih RM46 juta untuk projek percetakan teragih MyKad di 43 pejabat cawangan terpilih.

“Dengan bertambah pusat percetakan teragih, urusan permohonan dan pengeluaran kad (MyKad) dapat dipercepatkan,” katanya.

Sumber :- http://teganukita.my/nama-terpanjang-di-malaysia/

Perhimpunan Agung UMNO 2014 Fokus Kejayaan Model Kempen BN


Perhimpunan Agung UMNO 2014 pada 25 hingga 29 November depan akan memberi fokus kepada kejayaan kempen Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini.

Ketua Penerangan UMNO, Dato’ Ahmad Maslan berkata anggota perwakilan akan membahaskan model kempen jentera BN yang berkesan sehingga memenangi beberapa PRK selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

“Sebagai contoh kita boleh ulas bagaimana kejayaan kita (BN) menang di PRK Pengkalan Kubor dengan majoriti yang bertambah dan boleh dijadikan panduan menghadapi PRU akan datang,” katanya.

Menurutnya kejayaan BN memenangi PRK di kawasan lawan iaitu di Teluk Intan, Perak juga boleh dijadikan topik dalam perbahasan perwakilan.

BN memenangi empat daripada tujuh PRK selepas PRU 2013 iaitu di Kuala Besut, Terengganu pada Julai 2013; Balingian, Sarawak (Mac 2014); Teluk Intan, Perak (Mei 2014); dan Pengkalan Kubor, Kelantan pada September lepas.

Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata selain isu politik, perhimpunan agung UMNO juga akan memberi penekanan kepada isu ekonomi selaras dengan hasrat Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

“Hal-hal berkaitan ekonomi rakyat termasuk isu Cukai Barang dan Perkhidmatan, Bajet 2015 akan disentuh oleh anggota perwakilan dalam perbahasan mereka,” katanya.

Sumber :- http://teganukita.my/perhimpunan-agung-umno-2014-fokus-kejayaan-model-kempen-bn/

Ketiadaan PAS Dalam MPR Bukan Masalah Besar – MB

Kerajaan negeri tiada paksaan dan tidak akan melayan kehendak PAS yang mahu tuntutan politik mereka dipenuhi apabila menganggotai Majlis Perundingan Rakyat (MPR) yang diwujudkan oleh kerajaan menerusi pendekatan Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan negeri menawarkan penyertaan wakil pembangkang sebagai platform bagi membincangkan perancangan dan pelaksanaan ke arah kemajuan serta peningkatan tahap kesejahteraan rakyat sekali gus menyusun belanjawan negeri dengan lebih efisien.

“Apabila kita menekankan aspek inklusif, suara rakyat adalah suara keramat, maka pihak kerajaan negeri akan memberi peluang, soal dia hendak atau tidak, itu soal lain. Sekarang ini, kita mesti berjiwa besar, jika kita mahu terlibat dan membuat tuntutan (politik), itu satu perkara tidak betullah.

“Saya di pihak kerajaan bukan sewenang-wenangnya boleh memberi apa sahaja kehendak pembangkang, kerana saya mesti melihat dahulu kewajaran supaya tidak disalahgunakan untuk memperkasakan agenda politik mereka yang akhirnya akan menimbulkan masalah.

“Di sini jelas saya melibat kenyataan yang dikeluarkan memberi penjelasan kepada kita bahawa mereka sebenarnya berpolitik, dengan cuba menunjukkan kepada rakyat apa yang dilakukan kerajaan tidak bagus,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS negeri, Satiful Bahri Mamat yang mengambil langkah mengejut menangguhkan penyertaan wakil-wakil PAS dalam MPR, dalam satu kenyataan semalam.

Antara lain, PAS meminta kerajaan negeri memberi perakuan tandatangan wakil rakyat pembangkang dalam borang permohonan oleh rakyat bagi diproses permohonan mereka oleh badan-badan kerajaan,.

Selain itu, PAS juga mahu kerajaan negeri meluluskan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang secara adil hasil daripada pilihan rakyat setempat selain meminta pengambilan tanah di Banggol Donas, Teluk Pasu diselesaikan.

Tambah Ahmad Razif , kerajaan negeri tidak menganggap ketiadaan PAS dalam MPR itu sebagai masalah besar bagi menjayakan pembangunan negeri menerusi TTB yang berkonsepkan inklusif kerana masih banyak pihak lain yang boleh memberi kerjasama bagi menjayakannya.

“Sedangkan sebelum ini, itu yang mereka tuntut. Bagaimanapun, apabila kita memberi peluang penglibatan mereka, tidak mahu pula. Apa daya saya, kalau mereka tidak mahu, itu hak mereka tetapi jangan mereka menyalahkan kita pula nanti.

“Apabila kita melakukan sesuatu dan tidak memenuhi hasrat mereka, mereka tidak boleh menyalahkan kita, sedangkan kita sudah menyediakan medan untuk mereka. Jadi terpulang kepada mereka,” katanya.

Sumber : - http://teganukita.my/ketiadaan-pas-dalam-mpr-bukan-masalah-besar-mb/

Alvin Tan Penakut, Sampah Masyarakat – Pemuda UMNO


Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menganggap penulis blog kontroversi, Alvin Tan sebagai penakut serta sampah masyarakat ekoran tindakannya mengeluarkan kenyataan yang menghina pemimpin negara.

Khairy berkata, Alvin merupakan seorang yang penakut apabila hanya berani mengeluarkan kenyataan tersebut selepas melarikan diri ke luar negara.

“Kalau berani balik ke Malaysia cakap depan-depan. Tak payah hendak lari ke Amerika Syarikat. Dia ini penakut hanya berani cakap selepas sudah lari dari Malaysia.

“Cakap depan-depan. Kami (Pemuda UMNO) menunggu. Jangan jadi bacul lari lepas itu baru hendak tunjuk berani. Orang macam ini adalah sampah masyarakat,” kata­nya dalam kenyataan semalam.

Baru-baru ini, dalam status terbarunya di laman sosial, Alvin telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin negara serta mengakui tidak gentar dengan Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadapnya.

Alvin sebelum ini juga telah dihadapkan ke mahkamah ekoran tindakannya mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan di laman sosial.

Sebelum itu pada 12 Mei lalu mahkamah membenarkan pasport Alvin dan pasangannya, Vivian Lee disimpan sebagai syarat jaminan sebelum diserahkan sementara kepada mereka berdua dari 18 Mei hingga 3 Jun lalu bagi tujuan pengambaran sebuah dokumentari di Singapura.

Bagaimanapun, Alvin telah dikenakan waran tangkap setelah gagal menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah serta tidak hadir pada sebutan semula kes sebanyak dua kali iaitu pada 13 Jun dan 18 Julai lalu.

Sumber :- http://teganukita.my/alvin-tan-penakut-sampah-masyarakat-pemuda-umno/

5,300 Rakyat Terengganu Dapat Faedah Empower ECER


Program Empower ECER memberi peluang 5,300 peserta dari negeri Terengganu mengikuti pelbagai latihan kemahiran, bimbingan dan akademik sejak ia ditubuhkan pada 2007.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Jebasingam Issace John berkata, daripada jumlah itu 800 adalah peserta dari daerah Besut termasuk 400 daripadanya pelajar yang mendapat bimbingan dalam bidang akademik.

Katanya, selebihnya adalah peserta daripada orang dewasa yang mendapat latihan dalam pelbagai bidang kemahiran dan keusahawanan.

Majlis PembangunanWilayah Timur (ECERDC) yang mula diperkenalkan projek printis di Bentong, Pahang pada 2010 bertujuan membantu golongan miskin di luar bandar menerusi pelbagai latihan kemahiran dan keusahawanan

“Susulan kejayaan program yang dikendalikan itu ECER kini memperluaskan skop pelaksanaanya ke 17 daerah di Pantai Timur termasuk di daerah Besut,” katanya pada majlis Perasmian Program Empower Besut di Institut Perguruan Sultan Mizan, Bukit Keluang, Besut semalam.


Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut, merasmikan pelancaran program berkenaan. Hadir sama Ahli Exco Kerajaan Negeri, Muhamad Pehimi Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Sempena majlis pelancaran itu Idris turut menyampaikan sijil penghargaan khas kepada Sembilan pelajar yang memperolehi kejayaan cemerlang dalam akademik selain pengagihan peralatan kepada 10 usahawan tempatan.

Idris berharap ECER dapat meneruskan program bimbingan akademik dan latihan kemahiran keusahawanan menerusi Empower ECER bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi di Terengganu.

Sumber :- http://teganukita.my/5300-rakyat-terengganu-dapat-faedah-empower-ecer/

Terengganu Tuan Rumah Multaqa’ Ahli Jawatankuasa Fatwa Malaysia 2014

 
 Terengganu bakal menjadi tuan rumah Multaqa’ Ahli Jawatankuasa Fatwa seluruh Malaysia dengan penyertaan 150 ulama’ terkenal di negara ini.

Majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Fatwa dan Adat Melayu Terengganu (Mufti) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu akan diadakan di Hotel Tabung Haji, Kuala Terengganu pada 23 Oktober.

Pengarah jabatan itu, M Rozi Bidin, berkata multaqa’ itu bakal menghimpunkan mufti-mufti seluruh Malaysia, termasuk lima ahli jawatankuasa fatwa mewakili setiap negeri.

Katanya, penganjuran kali pertama di Terengganu bakal membincang dan membentangkan empat isu penting iaitu memahami maqasid syariyyah oleh ahli fatwa dalam mengeluarkan fatwa dan keterikatan kepada mazhab dalam mengeluarkan fatwa semasa.

“Isu lain, menangani isu perbezaan pandangan dalam mengeluarkan fatwa dan ancaman aliran oleh ahli sunnah ahli sunnah wal-jamaah,” katanya ketika dihubungi teganukita.

Katanya, multaqa itu cukup penting untuk penyatukan fikrah, kefahaman dan tindakan para ulama ke arah yang lebih tersusun dan bersistematik selain memperkasakan peranan ulama dalam mengaktifkan diri kepada masyarakat

“Di samping memberi suntikan semangat kepada ulama pelapis dalam memastikan wujudnya kesinambungan perjuangan ulama yang terdahulu yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya.

Multaqa’ itu bakal disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom

Sumber :- http://teganukita.my/terengganu-tuan-rumah-multaqa-ahli-jawatankuasa-fatwa-malaysia-2014/

Empower ECER Bantu Penduduk Pulau Perhentian


Empower ECER Besut giat meluaskan peranannya bagi meningkatkan minat masyarakat di daerah ini dalam menimba ilmu dan kemahiran pelbagai bidang yang sesuai dengan perkembangan semasa.

Usaha itu, tidak terkecuali di kawasan bandar dan luar bandar sahaja malah turut meliputi golongan suri rumah dan wanita di Pulau Perhentian Kuala Besut yang mempunyai potensi menambah pendapatan mereka.

Semalam Empower ECER Besut menganjurkan program yang menampilkan Chef Abdul Rahman Daud memberikan panduan kepada lebih 20 wanita dan suri rumah di pulau tersebut.

Dua jenis menu iaitu Acar Ikan Masin dan Murtabak Segera menjadi pilihan Chef Abdul Rahman yang berasal dari Setiu Terengganu itu menunjukkan demonstrasi program yang dirasmikan oleh oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Tengku Zaihan dalam ucapannya menyifatkan program itu merupakan peluang terbaik kepada wanita dan suri rumah di pulau itu untuk menambah pengetahuan yang mampu membantu meningkatkan pendapatan keluarga.

Katanya, usaha Empower ECER itu boleh dimanfaatkan oleh peserta lebih-lebih lagi pulau peranginan itu menjadi pilihan kepada pelancong dalam dan luar negara untuk berehat sambil menikmati keindahan flora dan fauna

“Produk makanan yang sesuai dengan cita rasa pelancong jika disediakan dengan kreatif dan mengambil kira aspek kebersihan akan menjadikan mereka memilih Pulau Perhentian sebagai destinasi menarik dan boleh dikunjungi semula.

Menurutnya, kemahiran yang disediakan Empower ECER itu akan menjadikan golongan wanita dan suri rumah serta golongan ibu tunggal memiliki ilmu kemahiran yang membuka minda mereka ke arah lebih berjaya.

Tambahnya, tidak ketinggalan golongan belia juga mendapat suntikan semangat untuk menjadi usahawan dalam bidang yang sebelum ini sukar bagi mereka menceburinya kerana tidak ada peluang yang disediakan.

Sumber :- http://teganukita.my/empower-ecer-bantu-penduduk-pulau-perhentian/

HSNZ Anjur Karnival Kesihatan 2014 29 Oktober

Dr Abdul Rahim
Hopsital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akan menganjurkan Karnival Kesihatan 2014 di tempat letak kereta Kompleks Rawatan Harian HSNZ, pada 29 Oktober ini.

Karnival tahunan bagi kali ketiga yang bertemakan `Bersama Ke Arah Rakyat Terengganu Sihat’ bermula dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepadapengunjung.

Pengarah HSNZ, Dr Abdul Rahim Abdullah, berkata program bertujuan memberi informasi kesihatan kepada orang ramai sambil melakukan aktiviti sihat dan bermanfaat bersama keluarga seperti senamrobik, khidmat rundingan kepakaran, sukaneka dan derma darah.

“Pelbagai khidmat rundingan kepakaran perubatan seperti perawatan dan keberkesanan ubat, diabetes dan visual rehabilitasi, saringan mamogram, gigi sihat sepanjang hayat, ujian saringan G6PD, imunisasi dan khidmat rundingan pemakanan sihat.

“Aktiviti menarik yang lain termasuk sukaneka dan mewarna untuk kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun, senamrobik, kuiz pemeriksaan kesihatan dan gigi secara percuma serta persembahan pentas,” katanya.

Dr Abdul Rahim berkata, bagi memberi lebih banyak pendedahan dan mempromosikan perkhidmatan yang disediakan HSNZ, pihaknya turut menyediakan gerai-gerai pameran dari Jabatan Farmasi, Unit Perubatan Tradisional Dan Komplementari, Unit Agama, Unit Pendidikan Kesihatan dan Reumatologi.

Selain itu, terdapat juga gerai-gerai jualan pakaian, perubatan dan kenderaan yang disertai pegawai dan kakitangan HSNZ serta pihak luar yang boleh dikunjungi orang ramai dalam karnival sehari itu nanti.

Sumber :- http://teganukita.my/hsnz-anjur-karnival-kesihatan-2014-29-oktober/

Pantai Kijal Jadi Destinasi Pilihan Pelancong Asing


`Bandar Warisan Pesisir Pantai’ adalah terjemahan tepat yang boleh diberi kepada ibu negeri Terengganu, Kuala Terengganu yang memiliki warisan sejarah, hasil kraf dan khazanah alam semula jadi.

Negeri yang tersohor dengan keropok lekor, songket, sutera, tembaga dan spesis penyu itu mampu menjadi tempat perlancongan terkenal dunia jika produk dan alam semula jadi dipromosi sebaik mungkin.

Tema ‘Negeri Cantik Budaya Menarik’ sememangnya bersesuaian dan bertepatan dengan masyarakat tempatan serta keindahan alamnya.

Pantai – pantai yang tidak asing di kalangan pelancong tempatan seperti Pantai Batu Buruk, Pantai Marang dan Pantai Teluk Ketapang menjadi medan penganjuran pelbagai kejohanan sukan air.

Malah, Pantai Penunjuk, Kijal Kemaman juga tidak asing bagi pengunjung tempatan dan pelancong asing dari pelbagai negara, termasuk Singapura, Thailand dan Vietnam.

Pantai Penujuk Kijal menjadi destinasi pilihan pelancong asing yang mengambil peluang singgah bagi menghirup bayu segar, merasai pasir pantai yang memutih dan mendengar deruan ombak.

Masyarakat tempatan pasti pelik melihat sekumpulan warga asing sanggup berjemur walaupun ketika itu panas terik, tetapi tidak bagi golongan itu kerana mereka gemar suasana itu.

Mereka akan memanfaat sepenuhnya masa yang ada jika berpeluang menjejak kaki di pantai, kerana mungkin sukar untuk berbuat demikian di negara sendiri.

Pantai Penunjuk yang terletak bersebelah denganResort World Kijal memudahkan lagi pelancong luar Terengganu dan pelancong asing bertandang ke pantai itu bersama keluarga atau bersendirian.

Bagi meraka yang minat dengan aktiviti memancing, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) ada menyediakan jeti khas dan benteng semata-mata mahu memenuhi kepuasan pengunjung.

Kemudahan lain seperti pondok rehat, laluan berjalan kaki, surau, tandas dan gerai makan turut disediakan.

Yang DiPertua MPK Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata, pihaknya sentiasa prihatin dengan kehendak pengunjung yang pasti mahukan lokasi terbaik setiap kali singgah di kawasan perlancongan.

‘Pihak kami bukan sahaja bertanggungjawab menyediakan kemudahan malah memastikan kebersihan di Pantai Penunjuk Kijal sentiasa berada dalam keadaan baik dan bersih’.

‘Orang ramai di ingatkan supaya jangan mencuba aktiviti yang dilarang dan merbahaya, termasuk mandi, menyelam mencari hidupan laut dan sebagainya,’ katanya.

Sumber :- http://teganukita.my/pantai-kijal-jadi-destinasi-pilihan-pelancong-asing/

Pantai Merang Tenang Dan Mendamaikan


Cukup mendamaikan, tenang dan menyegarkan, pastinya kenyataan itu yang terpacul daripada mulut pengunjung jika meluangkan masa singgah di Pantai Merang, Setiu.

Terletak kira-kira 40 km dari Bandar Raya Kuala Terengganu dan berada di kawasan perkampungan nelayan membuatkan pelancong seakan “terpikat” dengan keindahan pantai yang bersih serta air laut membiru.

Deretan gerai menjual pelbagai jenis hasil laut seperti, ikan, sotong, ketam dan udang segar turut menjadi tumpuan orang ramai sebagai pelengkap resepi istimewa buat keluarga masing-masing.

Jika ingin menikmati air batu campur, air kelapa, ikan celup tepung dan tapai goreng pula, terdapat beberapa peniaga gerai makan setia menanti pelanggan di kawasan itu.

Situasi itu menjadi antara faktor mengapa pantai Merang terus tersohor dan mendapat tempat dihati pengunjung biar pun banyak pantai lain di Terengganu.


Pada hujung minggu dan cuti sekolah, orang ramai termasuk pengunjung luar Terengganu pasti mengambil peluang membawa keluarga masaing-masing untuk beriadah dan berkelah di pantai yang landai dan bersih itu.

Bagi penduduk terutama golongan muda di perkampungan itu, mereka gemar menjadi pantai itu sebagai lokasi beriadah serta membuktikan kehandalan dengan bermain bola sepak pantai dan bola tampar.

Apa yang istimewanya di pantai itu terdapat lagun yang memisahkan antara kawasan air masin dan daratan. Selain itu, kelihatan juga benteng pemecah ombak yang membolehkan penduduk setempat untuk menambah rezeki dengan aktiviti menjala dan memancing.

Berdekatan dengan pantai itu terdapat taman rekreasi yang menyediakan kemudahan seperti bilik seminar, tapak perkhemahan, tapak sukaneka, dewan orang ramai, tandas dan surau.

Mereka yang ingin bermalam pula, bilik penginapan turut disediakan dengan mengenakan kadar sewa yang berpatutan iaitu serendah RM40 sahaja.

Sumber :- http://teganukita.my/pantai-merang-tenang-dan-mendamaikan/

Sasar 7,000 Pelancong Penerbangan Terus Medan-Kuala Terengganu


Perkhidmatan penerbangan terus dari Medan, Indonesia ke Kuala Terengganu akan bermula November mampu meningkatkan keupayaan sektor pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafiee berkata penerbangan terus yang dikendalikan Syarikat Sriwijaya Air akan dimulakan pada 24 November depan.

Katanya, pesawat akan bertolak dari Medan, Indonesia terus ke Lapangan Terbangan Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu dan penerbangan sama dari LTSM ke Medan juga pada tarikh sama..

“Melalui syarikat berkenaan akan menawarkan pakej tiga hari dua malam untuk pelancong dari Medan berada Terengganu begitu juga dari negeri ini akan tinggal di Medan, Indonesia selama tiga hari dua malam.

“Dalam tempoh enam bulan pertama akan datang, syarikat tersebut akan mengadakan penerbangan tiga kali seminggu dengan tawaran harga cukup istimewa dan akan menambahkan kekerapan penerbangan sekiranya mendapat sambutan menggalakkan,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Sempena Penerbangan Sriwijaya Air pertama Medan, Indonesia ke Terengganu, di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.


Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman bersama isteri To’ Puan Halina Zakaria dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Seramai 42 wakil dari agensi pelancongan Eropah, Amerika dan Indonesia menyertai lawatan pembelajaran produk-produk pelancongan di negeri ini anjuran Tourism Terengganu dengan kerjasama pernerbangan You Wing dan Mayflower Acme Tour.

Mereka dibawa melawat ke pelbagai lokasi menarik di Terengganu, termasuk Tasik Kenyir, Taman Tamadun Islam dan Pasar Besar Kedai Payang.

Mohd Jidin turut memberitahu, pihaknya mensasarkan 5,000 hingga 7,000 pelancong dari negara itu mengunjungi Terengganu melalui pakej yang diperkenalkan.

“Kita harap perkhidmatan ini akan menambah bilangan pelancong ke negeri ini dan meningkatkan aktiviti pelancongan negeri,” ujarnya.

Sumber :- http://teganukita.my/sasar-7000-pelancong-penerbangan-terus-medan-kuala-terengganu/