Pages

Friday, October 24, 2014

Ketiadaan PAS Dalam MPR Bukan Masalah Besar – MB

Kerajaan negeri tiada paksaan dan tidak akan melayan kehendak PAS yang mahu tuntutan politik mereka dipenuhi apabila menganggotai Majlis Perundingan Rakyat (MPR) yang diwujudkan oleh kerajaan menerusi pendekatan Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan negeri menawarkan penyertaan wakil pembangkang sebagai platform bagi membincangkan perancangan dan pelaksanaan ke arah kemajuan serta peningkatan tahap kesejahteraan rakyat sekali gus menyusun belanjawan negeri dengan lebih efisien.

“Apabila kita menekankan aspek inklusif, suara rakyat adalah suara keramat, maka pihak kerajaan negeri akan memberi peluang, soal dia hendak atau tidak, itu soal lain. Sekarang ini, kita mesti berjiwa besar, jika kita mahu terlibat dan membuat tuntutan (politik), itu satu perkara tidak betullah.

“Saya di pihak kerajaan bukan sewenang-wenangnya boleh memberi apa sahaja kehendak pembangkang, kerana saya mesti melihat dahulu kewajaran supaya tidak disalahgunakan untuk memperkasakan agenda politik mereka yang akhirnya akan menimbulkan masalah.

“Di sini jelas saya melibat kenyataan yang dikeluarkan memberi penjelasan kepada kita bahawa mereka sebenarnya berpolitik, dengan cuba menunjukkan kepada rakyat apa yang dilakukan kerajaan tidak bagus,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS negeri, Satiful Bahri Mamat yang mengambil langkah mengejut menangguhkan penyertaan wakil-wakil PAS dalam MPR, dalam satu kenyataan semalam.

Antara lain, PAS meminta kerajaan negeri memberi perakuan tandatangan wakil rakyat pembangkang dalam borang permohonan oleh rakyat bagi diproses permohonan mereka oleh badan-badan kerajaan,.

Selain itu, PAS juga mahu kerajaan negeri meluluskan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang secara adil hasil daripada pilihan rakyat setempat selain meminta pengambilan tanah di Banggol Donas, Teluk Pasu diselesaikan.

Tambah Ahmad Razif , kerajaan negeri tidak menganggap ketiadaan PAS dalam MPR itu sebagai masalah besar bagi menjayakan pembangunan negeri menerusi TTB yang berkonsepkan inklusif kerana masih banyak pihak lain yang boleh memberi kerjasama bagi menjayakannya.

“Sedangkan sebelum ini, itu yang mereka tuntut. Bagaimanapun, apabila kita memberi peluang penglibatan mereka, tidak mahu pula. Apa daya saya, kalau mereka tidak mahu, itu hak mereka tetapi jangan mereka menyalahkan kita pula nanti.

“Apabila kita melakukan sesuatu dan tidak memenuhi hasrat mereka, mereka tidak boleh menyalahkan kita, sedangkan kita sudah menyediakan medan untuk mereka. Jadi terpulang kepada mereka,” katanya.

Sumber : - http://teganukita.my/ketiadaan-pas-dalam-mpr-bukan-masalah-besar-mb/

No comments:

Post a Comment