Friday, October 24, 2014
Empower ECER Bantu Penduduk Pulau Perhentian
Empower ECER Besut giat meluaskan peranannya bagi meningkatkan minat masyarakat di daerah ini dalam menimba ilmu dan kemahiran pelbagai bidang yang sesuai dengan perkembangan semasa.
Usaha itu, tidak terkecuali di kawasan bandar dan luar bandar sahaja malah turut meliputi golongan suri rumah dan wanita di Pulau Perhentian Kuala Besut yang mempunyai potensi menambah pendapatan mereka.
Semalam Empower ECER Besut menganjurkan program yang menampilkan Chef Abdul Rahman Daud memberikan panduan kepada lebih 20 wanita dan suri rumah di pulau tersebut.
Dua jenis menu iaitu Acar Ikan Masin dan Murtabak Segera menjadi pilihan Chef Abdul Rahman yang berasal dari Setiu Terengganu itu menunjukkan demonstrasi program yang dirasmikan oleh oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.
Tengku Zaihan dalam ucapannya menyifatkan program itu merupakan peluang terbaik kepada wanita dan suri rumah di pulau itu untuk menambah pengetahuan yang mampu membantu meningkatkan pendapatan keluarga.
Katanya, usaha Empower ECER itu boleh dimanfaatkan oleh peserta lebih-lebih lagi pulau peranginan itu menjadi pilihan kepada pelancong dalam dan luar negara untuk berehat sambil menikmati keindahan flora dan fauna
“Produk makanan yang sesuai dengan cita rasa pelancong jika disediakan dengan kreatif dan mengambil kira aspek kebersihan akan menjadikan mereka memilih Pulau Perhentian sebagai destinasi menarik dan boleh dikunjungi semula.
Menurutnya, kemahiran yang disediakan Empower ECER itu akan menjadikan golongan wanita dan suri rumah serta golongan ibu tunggal memiliki ilmu kemahiran yang membuka minda mereka ke arah lebih berjaya.
Tambahnya, tidak ketinggalan golongan belia juga mendapat suntikan semangat untuk menjadi usahawan dalam bidang yang sebelum ini sukar bagi mereka menceburinya kerana tidak ada peluang yang disediakan.
Sumber :- http://teganukita.my/empower-ecer-bantu-penduduk-pulau-perhentian/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment