Pages

Friday, October 24, 2014

Kerajaan Lantik Persatuan Pengguna Jadi Pemantau Harga

Ahmad Maslam ketika menerangkan tentang GST pada Majlis Penerangan GST oleh Dato’ Ahmad Maslam di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail

Kerajaan akan melantik badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dengan persatuan pengguna untuk menjadi pemantau harga setelah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan April depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Ahmad Maslan berkata, langkah itu wajar dalam mengurangkan kegusaran rakyat kerana dalam tempoh enam bulan pertama merupakan tempoh penyesuaian terhadap perlaksanaan cukai itu.

“Selain daripada buku garis panduan dan akta kawalan harga yang akan dilaksanakan, dalam pembentangan bajet dua hari lepas, Perdana Menteri menambah lagi satu kaedah iaitu memilih beberapa NGO tertentu yang melibatkan pengguna untuk menjadi pemantau harga.

“Sekarang ini pemantau harga kita ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kepenggunaan sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penerangan GST Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, kemungkinan kerajaan juga akan memberi geran tertentu kepada persatuan pengguna yang terlibat dan ia merupakan satu lagi kaedah tambahan untuk menjadikan harga barang terkawal.

Tambah beliau, kerajaan juga akan mewujudkan pasar tani kekal yang beroperasi setiap hari, selain menambah pasar ikan serta Kedai Rakyat 1Malaysia.

“Langkah ini adalah untuk membantu menyeragam dan menstabilkan harga barang,” ujarnya.

Katanya, selain daripada pelbagai langkah yang diperkenalkan kerajaan, rakyat juga perlu mengunakan kuasa yang ada pada mereka selaku pengguna untuk membuat pilihan yang terbaik semasa berbelanja.

Sumber :- http://teganukita.my/kerajaan-lantik-persatuan-pengguna-jadi-pemantau-harga/

No comments:

Post a Comment