Pages

Friday, October 24, 2014

Pantai Merang Tenang Dan Mendamaikan


Cukup mendamaikan, tenang dan menyegarkan, pastinya kenyataan itu yang terpacul daripada mulut pengunjung jika meluangkan masa singgah di Pantai Merang, Setiu.

Terletak kira-kira 40 km dari Bandar Raya Kuala Terengganu dan berada di kawasan perkampungan nelayan membuatkan pelancong seakan “terpikat” dengan keindahan pantai yang bersih serta air laut membiru.

Deretan gerai menjual pelbagai jenis hasil laut seperti, ikan, sotong, ketam dan udang segar turut menjadi tumpuan orang ramai sebagai pelengkap resepi istimewa buat keluarga masing-masing.

Jika ingin menikmati air batu campur, air kelapa, ikan celup tepung dan tapai goreng pula, terdapat beberapa peniaga gerai makan setia menanti pelanggan di kawasan itu.

Situasi itu menjadi antara faktor mengapa pantai Merang terus tersohor dan mendapat tempat dihati pengunjung biar pun banyak pantai lain di Terengganu.


Pada hujung minggu dan cuti sekolah, orang ramai termasuk pengunjung luar Terengganu pasti mengambil peluang membawa keluarga masaing-masing untuk beriadah dan berkelah di pantai yang landai dan bersih itu.

Bagi penduduk terutama golongan muda di perkampungan itu, mereka gemar menjadi pantai itu sebagai lokasi beriadah serta membuktikan kehandalan dengan bermain bola sepak pantai dan bola tampar.

Apa yang istimewanya di pantai itu terdapat lagun yang memisahkan antara kawasan air masin dan daratan. Selain itu, kelihatan juga benteng pemecah ombak yang membolehkan penduduk setempat untuk menambah rezeki dengan aktiviti menjala dan memancing.

Berdekatan dengan pantai itu terdapat taman rekreasi yang menyediakan kemudahan seperti bilik seminar, tapak perkhemahan, tapak sukaneka, dewan orang ramai, tandas dan surau.

Mereka yang ingin bermalam pula, bilik penginapan turut disediakan dengan mengenakan kadar sewa yang berpatutan iaitu serendah RM40 sahaja.

Sumber :- http://teganukita.my/pantai-merang-tenang-dan-mendamaikan/

No comments:

Post a Comment