Pages

Friday, October 24, 2014

Bidang Kemahiran Ditambah Baik Melalui TVET

Dato’ Idris menyampaikan sijil pada Majlis Graduasi Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, di Ri-Yaz Hertige, Pulau Duyung, Kuala Terengganu.

Bidang latihan kemahiran akan terus ditambah baik melalui Program Transformasi Vokasional dan Teknik (TVET) supaya menjadi pendidikan arus perdana di negara ini.

Menteri Pendidikan II Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, melalui program itu, kementerian memberi tumpuan khas terhadap pembangunan latihan kemahiran kepada pelajar dan generasi muda yang kurang cemerlang dalam akademik.

“Apa yang dilaksanakan itu adalah peralihan penting di mana sistem pendidikan vokasional akan dipermodenkan.

“Kita akan lihat kolej vokasional, sekolah vokasional, kolej komuniti, politeknik dan pusat latihan di negara ini dinaik taraf sistem pendidikan dan mutu latihan kemahiran,” katanya..

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, di Ri-Yaz Hertige, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Zakaria Hussin dan Pengetua SMK Lembah Bidong Mohd Nasir Abd Rahman.

Seramai 106 pelajar tingkatan lima sekolah itu hadir bagi menerima anugerah khas graduasi di mana Ahmad Ali Al Bustami Harun dianugerahkan gred purata terbaik dan pencapaian semua A.

Pelajar lain, Shahirah Sariff turut dianugerahkan pencapaian semua A; Muhamad Shakir Firhan Mohd Amin dan Nur Madihah Mat Yasin (anugerah peningkatan cemerlang) dan Noor Izat Ibrahim pula anugerah PIBG pelajar unggul akademik.

Idris turut memberitahu supaya ibu bapa agar tidak lagi sekadar mengharapkan anak mereka cemerlang dalam akademik sahaja.

“Sebaliknya turut memberi fokus terhadap bidang latihan kemahiran tinggi yang sangat diperlukan dalam industri tertentu ketika ini,” katanya.

Sumber :- http://teganukita.my/bidang-kemahiran-ditambah-baik-melalui-tvet/

No comments:

Post a Comment