Pages

Friday, October 24, 2014

Penganjur Progam ‘I Want To Touch A Dog’ Akan Disiasat

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyiasat dan memanggil penganjur progam ‘I Want To Touch A Dog’ (Saya Mahu Sentuh Anjing) bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan isu itu, dalam tempoh terdekat.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, berkata dia cukup kecewa dengan dengan sikap penganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Katanya, kita sedia maklum bahawa Mazhab Syafie sudah menjelaskan bahawa anjing itu tergolong dalam kategori berat (najis mughallazah) jadi mengapa perlu mengajak umat Islam memegang benda yang haram sedangkan banyak lagi benda halal yang boleh dipegang.

“Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan kali pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama sudah menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing dan babi..

“Pihaknya juga sedang menyiasat dengan dakwaan pihak tertentu yang mendakwa penganjur program itu sebenarnya beragama Kristian hanya berselindung disebalik nama islam,” katanya.


Program yang dianjurkan di sebuah Taman Rekreasi di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor Ahad lalu mendapat kritikan pelbagai pihak apabila umat Islam dibenar bermesra dan bermain dengan anjing yang dibawa peserta bukan Islam.

Beliau berkata demikian pada Multaqa’ Ahli Jawatankuasa Fatwa seluruh Malaysia, di Hotel Tabung Haji, Kuala Terengganu, hari ini.

Seramai 150 ulama’ termasuk mufti di negara ini menyertai program dua hari dan berakhir esok anjuran Jabatan Hal Ehwal Fatwa dan Adat Melayu Terengganu (Mufti) dengan kerjasama Jakim.

Sumber :- http://teganukita.my/penganjur-progam-i-want-to-touch-a-dog-akan-disiasat/

Jakim Kesal Penganjur Tidak Jaga Sensitiviti Umat Islam

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung penganjuran acara ‘I Want To Touch A Dog’ (Saya Mahu Sentuh Anjing) yang berlangsung di Central Park, One Utama dekat Petaling Jaya, petang semalam.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata program itu tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak penganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Katanya, Islam di Malaysia yang berpegang teguh kepada Mazhab Syafie sudah jelas memperincikan bahawa anjing dan babi itu tergolong dalam najis mughallazah (berat).

“Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan ia merupakan kali pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama sudah menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing.

“Jakim akan segera menyiasat perkara ini dan sebarang tindakan akan dirujuk pada peruntukan-peruntukan yang ada,” katanya kepada pemberita mengulas penganjuran program itu yang mendapat sambutan luar biasa daripada kalangan umat Islam di sekitar ibu kota, semalam.

Othman ditemui media selepas merasmikan Multaqa Pengetua Sekolah Agama peringkat kebangsaan di sini.

Beliau turut menasihatkan umat Islam agar melihat semula dan mendapatkan pandangan ulama mahupun ustaz sama ada apa yang dilakukan mereka dengan menyentuh, memeluk dan mendukung anjing itu betul dari segi agama dan selaras dengan tuntutan Islam.

Penganjuran program ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ oleh Syed Azmi Alhabshi yang bertujuan membantu orang ramai terutama masyarakat Islam untuk mengatasi rasa takut mereka terhadap anjing.

Program selama dua jam bermula 8 pagi hingga 10 pagi Ahad itu dibanjiri ratusan umat Islam bagi memberi peluang kepada mereka untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan.

Sementara itu, ketika ditanya tentang kehadiran seorang ustaz di samping dua individu lain dalam forum mini bagi menjawab pertanyaan dan kemusyiklan berkaitan anjing dalam acara tersebut, Othman berkata pihaknya akan turut menyiasat kelayakan agama lelaki berkenaan.

“Buat masa ini, kita tidak dapat maklumat lengkap sama ada betul atau tidak individu itu ustaz, sekarang ini siapa-siapa yang pakai songkok (berpenampilan alim) pun sudah boleh jadi ustaz,” katanya.

Sumber :- http://teganukita.my/jakim-kesal-penganjur-tidak-jaga-sensitiviti-umat-islam/

Kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ – Komen Ustaz Kazim Elias


Ustaz Kazim Elias dalam entri facebook beliau turut mempersoalkan niat penganjur mengadakan kempen tersebut. Berikut adalah apa yang dikatakannya :

“Salam sejahtera..Kempen Saya Mahu Sentuh Anjing.. Hurmm satu kempen utk mmbuang stigma bg Org Muslim n khususnya org Melayu kononnya.. Siap bwk dalil kisah org masuk syurga krn bg minum kpd anjing lg.

“Membela anjing utk jg kebun utk jg keselamatan rumah utk mengesan barang jenayah tidaklah dilarang malah harus didlm Islam. Tetapi nak dijadikan sbg binatang peliharaan spt kucing ayam dll tidaklah boleh dipndg ringan krn ianya melibatkan urusan ibadat seharian.

“Mana boleh saja2 bela, saja2 nak pegang. Sebab apa nak pegang? Isu apa? Nak jdkan anjing sbg apa? Mula2 pegang pastu bela ,pastu masuk dlm rumah pastu? Pastu?

“Binatang mughalazah ini mcm babi jugalah mugahalazahnya, lepas ni buat la kempen pulak pegang babi dgn melawat ke pasar babi lepas tu melarat ke makan babi pulak.

“Ini semua ada agenda halus utk meliberal n mempluralkan agama. Tidaklah salah pegang anjing, tp apa sebabnya sampai buat kempen?Nape x buat kempen ke masjid ke? Kempen menerima hudud ke kempen menerima konsep Kalimah Allah yg sebenarnya ke..

“Inilah jarum halus yg dicucuk kpd umat Islam agar menjadi fahaman liberal n plural.. Nnt akan ada yg kata knp ustaz bising isu anjing knp x bising isu memegang bukan mahram x bertudung dll, yg itu pun berkali2 dah saya tegur n nasihat tp dlm bab kempen anjing ni, ianya satu gerakan yg cukup halus utk menghalalkan sesuatu yg sudah diharamkan dan dimulakan dgn satu kempen secara kecil2an yg akhirnya akan merubah n menidakkan hukum dan itulah tujuan asalnya.

“Berhati2lah dgn kempen sebegini, lepas kempen arak mai anjing pulak lepas ni apa pulak?Jgn lepas ni buat kempen babi pulak dgn alasan bahawa babi skrg dah bersih dah diternak dlm aircond dah mengamalkan tahap kebersihan mematuhi piawaian antarabngsa.

“Halusnya kempen anjing ini namun sayang ada segelintir umat Islam yg tidak cukup halus matahatinya utk meneliti…

Sumber :- http://teganukita.my/kempen-saya-mahu-sentuh-anjing-komen-ustaz-kazim-elias/

Keluar Fatwa Haramkan Ketum


Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa yang mengharamkan penggunaan daun dan air ketum di negara ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohd Johari Baharum berkata ini kerana penggunaan air dan daun ketum akan memudaratkan kesihatan mereka yang mengambilnya secara berlebihan dan berterusan.

Beliau dalam laporan Bernama berkata, pihaknya bimbang kerana penyalahgunaan ketum kini menular dalam kalangan pelajar sekolah, yang menjadikan air ketum sebagai minuman harian, malah turut dibawa ke sekolah.

“Penyalahgunaan ketum amat serius. Dahulu, di utara Semananjung sahaja tetapi kini ia telah merebak ke Terengganu, Perak dan Pahang.

“Saya terima aduan ada nelayan di Pahang minum air ketum sebelum ke laut,” katanya semalam.

Mohd Johari berkata Pemadam juga berharap Jabatan Peguam Negara menyegerakan proses mewartakan penyalahgunaan ketum dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana ketum mengancam keselamatan di negara ini.

“Saya merayu kepada kerajaan agar percepatkan rang undang-undang berkaitan ketum ini agar tindakan boleh diambil terhadap pengusaha tanaman ketum yang merosakkan rakyat,” katanya.

Sumber :- http://teganukita.my/keluar-fatwa-haramkan-ketum/

Kajian Semula Jajaran Baharu Kereta Api Ke Terengganu


Kementerian Pengangkutan akan mengkaji keseluruhan pelan struktur kereta api termasuk Jajaran Baharu Kereta Api Pantai Timur termasuk Terengganu untuk pastikan ia lebih sempurna dan efisien pada masa akan datang.

Menterinya, Dato’ Seri Liow Tiong Lai berkata dalam laporan Bernama, ia juga sebagai langkah untuk menjadikan pengangkutan kereta api sebagai kemudahan pengangkutan awam yang paling berkesan menggantikan lebuh raya dan pengangkutan udara menjelang 2020.

“Laluan kereta api sedia ada dari Mentakab dan Gua Musang akan dikaji semula secara keseluruhan dan akan dinaik taraf kerana banyak yang telah rosak akibat penyelenggaraan yang kurang memuaskan menyebabkan kereta api tidak dapat bergerak laju.

“Laluan baharu itu nanti akan menghubungkan kawasan berkepadatan penduduk tinggi dan melalui laluan bandar-bandar besar seperti Kuantan dan Kuala Terengganu,” katanya.

Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebelum ini telah pun melaksanakan kajian terperinci mengenai jajaran baharu kereta api Pantai Timur menghubungkan Kuala Lumpur ke Kota Baharu membabitkan jarak sejauh 620 km dengan kos kira-kira RM30 bilion.

Liow berkata, dengan adanya jajaran baharu itu nanti, ia bakal menjadikan kereta api sebagai pengangkutan awam alternatif mengatasi kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di Lebuh Raya Pantai Timur terutama menjelang musim perayaan.

Sumber :- http://teganukita.my/kajian-semula-jajaran-baharu-kereta-api-ke-terengganu/

Kerajaan Lantik Persatuan Pengguna Jadi Pemantau Harga

Ahmad Maslam ketika menerangkan tentang GST pada Majlis Penerangan GST oleh Dato’ Ahmad Maslam di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail

Kerajaan akan melantik badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dengan persatuan pengguna untuk menjadi pemantau harga setelah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan April depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Ahmad Maslan berkata, langkah itu wajar dalam mengurangkan kegusaran rakyat kerana dalam tempoh enam bulan pertama merupakan tempoh penyesuaian terhadap perlaksanaan cukai itu.

“Selain daripada buku garis panduan dan akta kawalan harga yang akan dilaksanakan, dalam pembentangan bajet dua hari lepas, Perdana Menteri menambah lagi satu kaedah iaitu memilih beberapa NGO tertentu yang melibatkan pengguna untuk menjadi pemantau harga.

“Sekarang ini pemantau harga kita ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kepenggunaan sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penerangan GST Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, kemungkinan kerajaan juga akan memberi geran tertentu kepada persatuan pengguna yang terlibat dan ia merupakan satu lagi kaedah tambahan untuk menjadikan harga barang terkawal.

Tambah beliau, kerajaan juga akan mewujudkan pasar tani kekal yang beroperasi setiap hari, selain menambah pasar ikan serta Kedai Rakyat 1Malaysia.

“Langkah ini adalah untuk membantu menyeragam dan menstabilkan harga barang,” ujarnya.

Katanya, selain daripada pelbagai langkah yang diperkenalkan kerajaan, rakyat juga perlu mengunakan kuasa yang ada pada mereka selaku pengguna untuk membuat pilihan yang terbaik semasa berbelanja.

Sumber :- http://teganukita.my/kerajaan-lantik-persatuan-pengguna-jadi-pemantau-harga/

Bidang Kemahiran Ditambah Baik Melalui TVET

Dato’ Idris menyampaikan sijil pada Majlis Graduasi Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, di Ri-Yaz Hertige, Pulau Duyung, Kuala Terengganu.

Bidang latihan kemahiran akan terus ditambah baik melalui Program Transformasi Vokasional dan Teknik (TVET) supaya menjadi pendidikan arus perdana di negara ini.

Menteri Pendidikan II Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, melalui program itu, kementerian memberi tumpuan khas terhadap pembangunan latihan kemahiran kepada pelajar dan generasi muda yang kurang cemerlang dalam akademik.

“Apa yang dilaksanakan itu adalah peralihan penting di mana sistem pendidikan vokasional akan dipermodenkan.

“Kita akan lihat kolej vokasional, sekolah vokasional, kolej komuniti, politeknik dan pusat latihan di negara ini dinaik taraf sistem pendidikan dan mutu latihan kemahiran,” katanya..

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, di Ri-Yaz Hertige, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Zakaria Hussin dan Pengetua SMK Lembah Bidong Mohd Nasir Abd Rahman.

Seramai 106 pelajar tingkatan lima sekolah itu hadir bagi menerima anugerah khas graduasi di mana Ahmad Ali Al Bustami Harun dianugerahkan gred purata terbaik dan pencapaian semua A.

Pelajar lain, Shahirah Sariff turut dianugerahkan pencapaian semua A; Muhamad Shakir Firhan Mohd Amin dan Nur Madihah Mat Yasin (anugerah peningkatan cemerlang) dan Noor Izat Ibrahim pula anugerah PIBG pelajar unggul akademik.

Idris turut memberitahu supaya ibu bapa agar tidak lagi sekadar mengharapkan anak mereka cemerlang dalam akademik sahaja.

“Sebaliknya turut memberi fokus terhadap bidang latihan kemahiran tinggi yang sangat diperlukan dalam industri tertentu ketika ini,” katanya.

Sumber :- http://teganukita.my/bidang-kemahiran-ditambah-baik-melalui-tvet/

Nama Terpanjang Di Malaysia

 
 
Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah binti Airol Anizam adalah antara nama terpanjang di Malaysia seperti yang direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

‘Ahmad’, ‘Alex’ dan ‘Ravi’ pula adalah antara nama paling popular rakyat Malaysia yang didaftarkan JPN.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Sulaiman Keling berkata nama ‘Ahmad’ yang direkodkan ialah sejumlah 63,049 orang, diikuti ‘Alex’ 16,992 orang dan ‘Ravi’ 10,866 orang.

“Nama-nama berkenaan paling banyak digunakan dan didaftarkan di negara ini,” katanya ketika berucap pada Hari Pendaftaran Negara dan Hari Inovasi 2014 di Jabatan Pendaftaran Negara, di Putrajaya, semalam.

Jelas Sulaiman, 1 Oktober diisytiharkan sebagai Hari Pendaftaran Negara sempena tarikh pengeluaran kad pengenalan pertama negara yang juga dikenali sebagai kad beras.

“Kad beras dikeluarkan kepada orang awam secara sistematik dan teratur mulai 1 Oktober 1948 dengan kad yang pertama bernombor siri 0000001 dikeluarkan kepada Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan Negara.

“Kad beras pada mulanya dikeluarkan sebagai pengenalan identiti di samping bertindak sebagai satu daripada langkah untuk membendung anasir komunis di tanah air,” katanya.

Jelas Sulaiman, warga JPN melihat pemilihan 1 Oktober sebagai Hari Pendaftaran Negara sebagai bertepatan dan sesuai dengan peranan JPN sebagai satu-satunya organisasi di Malaysia yang menguruskan dokumen rekod pengenalan diri bermula dari awal kelahiran hinggalah rekod selepas kematian.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang merasmikan majlis itu berkata berdasarkan Laporan Perbelanjaan JP Ndalam tempoh tiga tahun, sejumlah RM1.13 bilion telah dibelanjakan merangkumi tanggungan pengeluaran MyKad.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan lebih RM46 juta untuk projek percetakan teragih MyKad di 43 pejabat cawangan terpilih.

“Dengan bertambah pusat percetakan teragih, urusan permohonan dan pengeluaran kad (MyKad) dapat dipercepatkan,” katanya.

Sumber :- http://teganukita.my/nama-terpanjang-di-malaysia/

Perhimpunan Agung UMNO 2014 Fokus Kejayaan Model Kempen BN


Perhimpunan Agung UMNO 2014 pada 25 hingga 29 November depan akan memberi fokus kepada kejayaan kempen Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini.

Ketua Penerangan UMNO, Dato’ Ahmad Maslan berkata anggota perwakilan akan membahaskan model kempen jentera BN yang berkesan sehingga memenangi beberapa PRK selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

“Sebagai contoh kita boleh ulas bagaimana kejayaan kita (BN) menang di PRK Pengkalan Kubor dengan majoriti yang bertambah dan boleh dijadikan panduan menghadapi PRU akan datang,” katanya.

Menurutnya kejayaan BN memenangi PRK di kawasan lawan iaitu di Teluk Intan, Perak juga boleh dijadikan topik dalam perbahasan perwakilan.

BN memenangi empat daripada tujuh PRK selepas PRU 2013 iaitu di Kuala Besut, Terengganu pada Julai 2013; Balingian, Sarawak (Mac 2014); Teluk Intan, Perak (Mei 2014); dan Pengkalan Kubor, Kelantan pada September lepas.

Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata selain isu politik, perhimpunan agung UMNO juga akan memberi penekanan kepada isu ekonomi selaras dengan hasrat Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

“Hal-hal berkaitan ekonomi rakyat termasuk isu Cukai Barang dan Perkhidmatan, Bajet 2015 akan disentuh oleh anggota perwakilan dalam perbahasan mereka,” katanya.

Sumber :- http://teganukita.my/perhimpunan-agung-umno-2014-fokus-kejayaan-model-kempen-bn/

Ketiadaan PAS Dalam MPR Bukan Masalah Besar – MB

Kerajaan negeri tiada paksaan dan tidak akan melayan kehendak PAS yang mahu tuntutan politik mereka dipenuhi apabila menganggotai Majlis Perundingan Rakyat (MPR) yang diwujudkan oleh kerajaan menerusi pendekatan Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan negeri menawarkan penyertaan wakil pembangkang sebagai platform bagi membincangkan perancangan dan pelaksanaan ke arah kemajuan serta peningkatan tahap kesejahteraan rakyat sekali gus menyusun belanjawan negeri dengan lebih efisien.

“Apabila kita menekankan aspek inklusif, suara rakyat adalah suara keramat, maka pihak kerajaan negeri akan memberi peluang, soal dia hendak atau tidak, itu soal lain. Sekarang ini, kita mesti berjiwa besar, jika kita mahu terlibat dan membuat tuntutan (politik), itu satu perkara tidak betullah.

“Saya di pihak kerajaan bukan sewenang-wenangnya boleh memberi apa sahaja kehendak pembangkang, kerana saya mesti melihat dahulu kewajaran supaya tidak disalahgunakan untuk memperkasakan agenda politik mereka yang akhirnya akan menimbulkan masalah.

“Di sini jelas saya melibat kenyataan yang dikeluarkan memberi penjelasan kepada kita bahawa mereka sebenarnya berpolitik, dengan cuba menunjukkan kepada rakyat apa yang dilakukan kerajaan tidak bagus,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS negeri, Satiful Bahri Mamat yang mengambil langkah mengejut menangguhkan penyertaan wakil-wakil PAS dalam MPR, dalam satu kenyataan semalam.

Antara lain, PAS meminta kerajaan negeri memberi perakuan tandatangan wakil rakyat pembangkang dalam borang permohonan oleh rakyat bagi diproses permohonan mereka oleh badan-badan kerajaan,.

Selain itu, PAS juga mahu kerajaan negeri meluluskan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang secara adil hasil daripada pilihan rakyat setempat selain meminta pengambilan tanah di Banggol Donas, Teluk Pasu diselesaikan.

Tambah Ahmad Razif , kerajaan negeri tidak menganggap ketiadaan PAS dalam MPR itu sebagai masalah besar bagi menjayakan pembangunan negeri menerusi TTB yang berkonsepkan inklusif kerana masih banyak pihak lain yang boleh memberi kerjasama bagi menjayakannya.

“Sedangkan sebelum ini, itu yang mereka tuntut. Bagaimanapun, apabila kita memberi peluang penglibatan mereka, tidak mahu pula. Apa daya saya, kalau mereka tidak mahu, itu hak mereka tetapi jangan mereka menyalahkan kita pula nanti.

“Apabila kita melakukan sesuatu dan tidak memenuhi hasrat mereka, mereka tidak boleh menyalahkan kita, sedangkan kita sudah menyediakan medan untuk mereka. Jadi terpulang kepada mereka,” katanya.

Sumber : - http://teganukita.my/ketiadaan-pas-dalam-mpr-bukan-masalah-besar-mb/

Alvin Tan Penakut, Sampah Masyarakat – Pemuda UMNO


Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menganggap penulis blog kontroversi, Alvin Tan sebagai penakut serta sampah masyarakat ekoran tindakannya mengeluarkan kenyataan yang menghina pemimpin negara.

Khairy berkata, Alvin merupakan seorang yang penakut apabila hanya berani mengeluarkan kenyataan tersebut selepas melarikan diri ke luar negara.

“Kalau berani balik ke Malaysia cakap depan-depan. Tak payah hendak lari ke Amerika Syarikat. Dia ini penakut hanya berani cakap selepas sudah lari dari Malaysia.

“Cakap depan-depan. Kami (Pemuda UMNO) menunggu. Jangan jadi bacul lari lepas itu baru hendak tunjuk berani. Orang macam ini adalah sampah masyarakat,” kata­nya dalam kenyataan semalam.

Baru-baru ini, dalam status terbarunya di laman sosial, Alvin telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin negara serta mengakui tidak gentar dengan Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadapnya.

Alvin sebelum ini juga telah dihadapkan ke mahkamah ekoran tindakannya mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan di laman sosial.

Sebelum itu pada 12 Mei lalu mahkamah membenarkan pasport Alvin dan pasangannya, Vivian Lee disimpan sebagai syarat jaminan sebelum diserahkan sementara kepada mereka berdua dari 18 Mei hingga 3 Jun lalu bagi tujuan pengambaran sebuah dokumentari di Singapura.

Bagaimanapun, Alvin telah dikenakan waran tangkap setelah gagal menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah serta tidak hadir pada sebutan semula kes sebanyak dua kali iaitu pada 13 Jun dan 18 Julai lalu.

Sumber :- http://teganukita.my/alvin-tan-penakut-sampah-masyarakat-pemuda-umno/

5,300 Rakyat Terengganu Dapat Faedah Empower ECER


Program Empower ECER memberi peluang 5,300 peserta dari negeri Terengganu mengikuti pelbagai latihan kemahiran, bimbingan dan akademik sejak ia ditubuhkan pada 2007.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Jebasingam Issace John berkata, daripada jumlah itu 800 adalah peserta dari daerah Besut termasuk 400 daripadanya pelajar yang mendapat bimbingan dalam bidang akademik.

Katanya, selebihnya adalah peserta daripada orang dewasa yang mendapat latihan dalam pelbagai bidang kemahiran dan keusahawanan.

Majlis PembangunanWilayah Timur (ECERDC) yang mula diperkenalkan projek printis di Bentong, Pahang pada 2010 bertujuan membantu golongan miskin di luar bandar menerusi pelbagai latihan kemahiran dan keusahawanan

“Susulan kejayaan program yang dikendalikan itu ECER kini memperluaskan skop pelaksanaanya ke 17 daerah di Pantai Timur termasuk di daerah Besut,” katanya pada majlis Perasmian Program Empower Besut di Institut Perguruan Sultan Mizan, Bukit Keluang, Besut semalam.


Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut, merasmikan pelancaran program berkenaan. Hadir sama Ahli Exco Kerajaan Negeri, Muhamad Pehimi Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Sempena majlis pelancaran itu Idris turut menyampaikan sijil penghargaan khas kepada Sembilan pelajar yang memperolehi kejayaan cemerlang dalam akademik selain pengagihan peralatan kepada 10 usahawan tempatan.

Idris berharap ECER dapat meneruskan program bimbingan akademik dan latihan kemahiran keusahawanan menerusi Empower ECER bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi di Terengganu.

Sumber :- http://teganukita.my/5300-rakyat-terengganu-dapat-faedah-empower-ecer/

Terengganu Tuan Rumah Multaqa’ Ahli Jawatankuasa Fatwa Malaysia 2014

 
 Terengganu bakal menjadi tuan rumah Multaqa’ Ahli Jawatankuasa Fatwa seluruh Malaysia dengan penyertaan 150 ulama’ terkenal di negara ini.

Majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Fatwa dan Adat Melayu Terengganu (Mufti) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu akan diadakan di Hotel Tabung Haji, Kuala Terengganu pada 23 Oktober.

Pengarah jabatan itu, M Rozi Bidin, berkata multaqa’ itu bakal menghimpunkan mufti-mufti seluruh Malaysia, termasuk lima ahli jawatankuasa fatwa mewakili setiap negeri.

Katanya, penganjuran kali pertama di Terengganu bakal membincang dan membentangkan empat isu penting iaitu memahami maqasid syariyyah oleh ahli fatwa dalam mengeluarkan fatwa dan keterikatan kepada mazhab dalam mengeluarkan fatwa semasa.

“Isu lain, menangani isu perbezaan pandangan dalam mengeluarkan fatwa dan ancaman aliran oleh ahli sunnah ahli sunnah wal-jamaah,” katanya ketika dihubungi teganukita.

Katanya, multaqa itu cukup penting untuk penyatukan fikrah, kefahaman dan tindakan para ulama ke arah yang lebih tersusun dan bersistematik selain memperkasakan peranan ulama dalam mengaktifkan diri kepada masyarakat

“Di samping memberi suntikan semangat kepada ulama pelapis dalam memastikan wujudnya kesinambungan perjuangan ulama yang terdahulu yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya.

Multaqa’ itu bakal disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom

Sumber :- http://teganukita.my/terengganu-tuan-rumah-multaqa-ahli-jawatankuasa-fatwa-malaysia-2014/

Empower ECER Bantu Penduduk Pulau Perhentian


Empower ECER Besut giat meluaskan peranannya bagi meningkatkan minat masyarakat di daerah ini dalam menimba ilmu dan kemahiran pelbagai bidang yang sesuai dengan perkembangan semasa.

Usaha itu, tidak terkecuali di kawasan bandar dan luar bandar sahaja malah turut meliputi golongan suri rumah dan wanita di Pulau Perhentian Kuala Besut yang mempunyai potensi menambah pendapatan mereka.

Semalam Empower ECER Besut menganjurkan program yang menampilkan Chef Abdul Rahman Daud memberikan panduan kepada lebih 20 wanita dan suri rumah di pulau tersebut.

Dua jenis menu iaitu Acar Ikan Masin dan Murtabak Segera menjadi pilihan Chef Abdul Rahman yang berasal dari Setiu Terengganu itu menunjukkan demonstrasi program yang dirasmikan oleh oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Tengku Zaihan dalam ucapannya menyifatkan program itu merupakan peluang terbaik kepada wanita dan suri rumah di pulau itu untuk menambah pengetahuan yang mampu membantu meningkatkan pendapatan keluarga.

Katanya, usaha Empower ECER itu boleh dimanfaatkan oleh peserta lebih-lebih lagi pulau peranginan itu menjadi pilihan kepada pelancong dalam dan luar negara untuk berehat sambil menikmati keindahan flora dan fauna

“Produk makanan yang sesuai dengan cita rasa pelancong jika disediakan dengan kreatif dan mengambil kira aspek kebersihan akan menjadikan mereka memilih Pulau Perhentian sebagai destinasi menarik dan boleh dikunjungi semula.

Menurutnya, kemahiran yang disediakan Empower ECER itu akan menjadikan golongan wanita dan suri rumah serta golongan ibu tunggal memiliki ilmu kemahiran yang membuka minda mereka ke arah lebih berjaya.

Tambahnya, tidak ketinggalan golongan belia juga mendapat suntikan semangat untuk menjadi usahawan dalam bidang yang sebelum ini sukar bagi mereka menceburinya kerana tidak ada peluang yang disediakan.

Sumber :- http://teganukita.my/empower-ecer-bantu-penduduk-pulau-perhentian/

HSNZ Anjur Karnival Kesihatan 2014 29 Oktober

Dr Abdul Rahim
Hopsital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akan menganjurkan Karnival Kesihatan 2014 di tempat letak kereta Kompleks Rawatan Harian HSNZ, pada 29 Oktober ini.

Karnival tahunan bagi kali ketiga yang bertemakan `Bersama Ke Arah Rakyat Terengganu Sihat’ bermula dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepadapengunjung.

Pengarah HSNZ, Dr Abdul Rahim Abdullah, berkata program bertujuan memberi informasi kesihatan kepada orang ramai sambil melakukan aktiviti sihat dan bermanfaat bersama keluarga seperti senamrobik, khidmat rundingan kepakaran, sukaneka dan derma darah.

“Pelbagai khidmat rundingan kepakaran perubatan seperti perawatan dan keberkesanan ubat, diabetes dan visual rehabilitasi, saringan mamogram, gigi sihat sepanjang hayat, ujian saringan G6PD, imunisasi dan khidmat rundingan pemakanan sihat.

“Aktiviti menarik yang lain termasuk sukaneka dan mewarna untuk kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun, senamrobik, kuiz pemeriksaan kesihatan dan gigi secara percuma serta persembahan pentas,” katanya.

Dr Abdul Rahim berkata, bagi memberi lebih banyak pendedahan dan mempromosikan perkhidmatan yang disediakan HSNZ, pihaknya turut menyediakan gerai-gerai pameran dari Jabatan Farmasi, Unit Perubatan Tradisional Dan Komplementari, Unit Agama, Unit Pendidikan Kesihatan dan Reumatologi.

Selain itu, terdapat juga gerai-gerai jualan pakaian, perubatan dan kenderaan yang disertai pegawai dan kakitangan HSNZ serta pihak luar yang boleh dikunjungi orang ramai dalam karnival sehari itu nanti.

Sumber :- http://teganukita.my/hsnz-anjur-karnival-kesihatan-2014-29-oktober/

Pantai Kijal Jadi Destinasi Pilihan Pelancong Asing


`Bandar Warisan Pesisir Pantai’ adalah terjemahan tepat yang boleh diberi kepada ibu negeri Terengganu, Kuala Terengganu yang memiliki warisan sejarah, hasil kraf dan khazanah alam semula jadi.

Negeri yang tersohor dengan keropok lekor, songket, sutera, tembaga dan spesis penyu itu mampu menjadi tempat perlancongan terkenal dunia jika produk dan alam semula jadi dipromosi sebaik mungkin.

Tema ‘Negeri Cantik Budaya Menarik’ sememangnya bersesuaian dan bertepatan dengan masyarakat tempatan serta keindahan alamnya.

Pantai – pantai yang tidak asing di kalangan pelancong tempatan seperti Pantai Batu Buruk, Pantai Marang dan Pantai Teluk Ketapang menjadi medan penganjuran pelbagai kejohanan sukan air.

Malah, Pantai Penunjuk, Kijal Kemaman juga tidak asing bagi pengunjung tempatan dan pelancong asing dari pelbagai negara, termasuk Singapura, Thailand dan Vietnam.

Pantai Penujuk Kijal menjadi destinasi pilihan pelancong asing yang mengambil peluang singgah bagi menghirup bayu segar, merasai pasir pantai yang memutih dan mendengar deruan ombak.

Masyarakat tempatan pasti pelik melihat sekumpulan warga asing sanggup berjemur walaupun ketika itu panas terik, tetapi tidak bagi golongan itu kerana mereka gemar suasana itu.

Mereka akan memanfaat sepenuhnya masa yang ada jika berpeluang menjejak kaki di pantai, kerana mungkin sukar untuk berbuat demikian di negara sendiri.

Pantai Penunjuk yang terletak bersebelah denganResort World Kijal memudahkan lagi pelancong luar Terengganu dan pelancong asing bertandang ke pantai itu bersama keluarga atau bersendirian.

Bagi meraka yang minat dengan aktiviti memancing, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) ada menyediakan jeti khas dan benteng semata-mata mahu memenuhi kepuasan pengunjung.

Kemudahan lain seperti pondok rehat, laluan berjalan kaki, surau, tandas dan gerai makan turut disediakan.

Yang DiPertua MPK Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata, pihaknya sentiasa prihatin dengan kehendak pengunjung yang pasti mahukan lokasi terbaik setiap kali singgah di kawasan perlancongan.

‘Pihak kami bukan sahaja bertanggungjawab menyediakan kemudahan malah memastikan kebersihan di Pantai Penunjuk Kijal sentiasa berada dalam keadaan baik dan bersih’.

‘Orang ramai di ingatkan supaya jangan mencuba aktiviti yang dilarang dan merbahaya, termasuk mandi, menyelam mencari hidupan laut dan sebagainya,’ katanya.

Sumber :- http://teganukita.my/pantai-kijal-jadi-destinasi-pilihan-pelancong-asing/

Pantai Merang Tenang Dan Mendamaikan


Cukup mendamaikan, tenang dan menyegarkan, pastinya kenyataan itu yang terpacul daripada mulut pengunjung jika meluangkan masa singgah di Pantai Merang, Setiu.

Terletak kira-kira 40 km dari Bandar Raya Kuala Terengganu dan berada di kawasan perkampungan nelayan membuatkan pelancong seakan “terpikat” dengan keindahan pantai yang bersih serta air laut membiru.

Deretan gerai menjual pelbagai jenis hasil laut seperti, ikan, sotong, ketam dan udang segar turut menjadi tumpuan orang ramai sebagai pelengkap resepi istimewa buat keluarga masing-masing.

Jika ingin menikmati air batu campur, air kelapa, ikan celup tepung dan tapai goreng pula, terdapat beberapa peniaga gerai makan setia menanti pelanggan di kawasan itu.

Situasi itu menjadi antara faktor mengapa pantai Merang terus tersohor dan mendapat tempat dihati pengunjung biar pun banyak pantai lain di Terengganu.


Pada hujung minggu dan cuti sekolah, orang ramai termasuk pengunjung luar Terengganu pasti mengambil peluang membawa keluarga masaing-masing untuk beriadah dan berkelah di pantai yang landai dan bersih itu.

Bagi penduduk terutama golongan muda di perkampungan itu, mereka gemar menjadi pantai itu sebagai lokasi beriadah serta membuktikan kehandalan dengan bermain bola sepak pantai dan bola tampar.

Apa yang istimewanya di pantai itu terdapat lagun yang memisahkan antara kawasan air masin dan daratan. Selain itu, kelihatan juga benteng pemecah ombak yang membolehkan penduduk setempat untuk menambah rezeki dengan aktiviti menjala dan memancing.

Berdekatan dengan pantai itu terdapat taman rekreasi yang menyediakan kemudahan seperti bilik seminar, tapak perkhemahan, tapak sukaneka, dewan orang ramai, tandas dan surau.

Mereka yang ingin bermalam pula, bilik penginapan turut disediakan dengan mengenakan kadar sewa yang berpatutan iaitu serendah RM40 sahaja.

Sumber :- http://teganukita.my/pantai-merang-tenang-dan-mendamaikan/

Sasar 7,000 Pelancong Penerbangan Terus Medan-Kuala Terengganu


Perkhidmatan penerbangan terus dari Medan, Indonesia ke Kuala Terengganu akan bermula November mampu meningkatkan keupayaan sektor pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafiee berkata penerbangan terus yang dikendalikan Syarikat Sriwijaya Air akan dimulakan pada 24 November depan.

Katanya, pesawat akan bertolak dari Medan, Indonesia terus ke Lapangan Terbangan Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu dan penerbangan sama dari LTSM ke Medan juga pada tarikh sama..

“Melalui syarikat berkenaan akan menawarkan pakej tiga hari dua malam untuk pelancong dari Medan berada Terengganu begitu juga dari negeri ini akan tinggal di Medan, Indonesia selama tiga hari dua malam.

“Dalam tempoh enam bulan pertama akan datang, syarikat tersebut akan mengadakan penerbangan tiga kali seminggu dengan tawaran harga cukup istimewa dan akan menambahkan kekerapan penerbangan sekiranya mendapat sambutan menggalakkan,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Sempena Penerbangan Sriwijaya Air pertama Medan, Indonesia ke Terengganu, di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.


Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman bersama isteri To’ Puan Halina Zakaria dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Seramai 42 wakil dari agensi pelancongan Eropah, Amerika dan Indonesia menyertai lawatan pembelajaran produk-produk pelancongan di negeri ini anjuran Tourism Terengganu dengan kerjasama pernerbangan You Wing dan Mayflower Acme Tour.

Mereka dibawa melawat ke pelbagai lokasi menarik di Terengganu, termasuk Tasik Kenyir, Taman Tamadun Islam dan Pasar Besar Kedai Payang.

Mohd Jidin turut memberitahu, pihaknya mensasarkan 5,000 hingga 7,000 pelancong dari negara itu mengunjungi Terengganu melalui pakej yang diperkenalkan.

“Kita harap perkhidmatan ini akan menambah bilangan pelancong ke negeri ini dan meningkatkan aktiviti pelancongan negeri,” ujarnya.

Sumber :- http://teganukita.my/sasar-7000-pelancong-penerbangan-terus-medan-kuala-terengganu/

Tuesday, September 30, 2014

Mohon Permit JPV Sebelum Lakukan Sembelihan Korban


Umat Islam yang ingin melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di Terengganu perlu mendapatkan permit penyembelihan terlebih dahulu daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Pengarah JPV negeri, Dr Abd Razak Mohd Zailan dalam laporan Bernama berkata, permit berkenaan boleh dipohon daripada pegawai JPV di pejabat-pejabat JPV berdekatan mulai sekarang untuk memudahkan pemprosesan.

“Kita minta kerjasama pihak yang hendak membuat ibadah korban atau jamuan raya hendaklah memohon permit penyembelihan daripada JPV. Permit itu akan diberi selama tiga hari mulai 5 hingga 8 Oktober ini,” katanya.

Abd Razak berkata, untuk ternakan yang dibawa masuk dari negeri luar seperti Kelantan, permit kemasukan perlu dipohon selain perlu mengemukakan sijil kesihatan haiwan berkenaan dari negeri asal.

Katanya ternakan yang hendak disembelih perlu dipastikan sihat dan mempunyai permit daripada JPV jika penyembelihan dibuat di kampung-kampung.

Beliau berkata para pegawai JPV akan hadir ke kampung-kampung untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan lembu berkenaan berada dalam keadaan baik sebelum disembelih.

“Langkah yang diambil oleh JPV negeri ini bertujuan untuk mengelak jangkitan wabak penyakit kuku dan mulut yang melanda ternakan di negeri ini baru-baru ini.

“Gerakan menyuntik vaksin penyakit berkenaan masih dijalankan oleh pegawai-pegawai JPV di sesetengah daerah walaupun pada hakikatnya penyakit itu telah dapat dikawal,” ujarnya.

Sumber :- http://teganukita.my/mohon-permit-jpv-sebelum-lakukan-sembelihan-korban/

Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian Di Setiap Parlimen


Pusat pengumpulan hasil bagi projek ‘Jom Menanam’ akan dibangunkan di setiap kawasan Parlimen di Terengganu bermula bulan depan bagi memastikan pendekatan komersil pengeluaran pertanian dapat dilakukan dengan berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad berkata, pihak koperasi akan diberi peranan untuk menjayakan agar dapat turut menarik penglibatan anggota masyarakat dengan lebih meluas.

Beliau yang berpuas hati dengan perjalanan prestasi Jom Menanam sejak dilancarkan Jun lalu berkata, kira-kira RM350,000 diperuntukkan kerajaan negeri bagi kedua-dua tujuan itu.

“Buat masa ini, kita telah mengenal pasti lokasi dan pelan bagi pembinaan pusat pengumpulan hasil dan dijangka kerja-kerja pembinaan itu akan dimulakan pada bulan depan,” katanya semalam.

Sumber :- http://teganukita.my/pusat-pengumpulan-hasil-pertanian-di-setiap-parlimen/

MB Jadi Tetamu Istimewa Hari Keluarga Permata Zon Utara

Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (Tengah) turut bersama mahasiswa dan siswi menyertai pertandingan tarik tali di Stadium Olahraga Universiti Sains Malaysia (USM) pada Majlis Hari Keluarga Permata Zon Utara di USM Pulau Pinang. Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail.

Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) Zon Utara hari ini menerima kunjungan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, To’ Puan Halina Zakaria di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Hari Keluarga Permata anjuran bersama Yayasan Terengganu itu menggabungkan empat universiti di utara semenanjung iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan USM sebagai tuan rumah.

Ahmad Razif berkata, program tahunan itu mampu menyuntik semangat pelajar sekaligus memberi motivasi kepada kumpulan itu bagi meningkatkan prestasi pembelajaran mereka.


“Saya turun padang untuk menyertai mahasiswa kita yang berada di luar negeri untuk mengetahui lebih lanjut masalah mereka.

“Kita mempunyai pelajar yang cemerlang akademik di peringkat awal seperti UPSR, PMR dan SPM tetapi apabila melanjutkan ke peringkat lebih tinggi mereka tidak mampu menunjukkan prestasi yang cemerlang jadi kita perlu tahu punca kenapa ia terjadi”, katanya pada program Hari Keluarga Permata Zon Utara.

Program itu dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik seperti senam robik, sukaneka dan tarik tali.

Menteri Besar dijadualkan bakal membuat kunjungan ke program sama di Zon Tengah, Zon Selatan dan Zon Timur.

Sumber :- http://teganukita.my/mb-jadi-tetamu-istimewa-hari-keluarga-permata-zon-utara/

Peperiksaan Ulangan UPSR Untuk Pastikan Kredibiliti, Integriti Terpelihara


Peperiksaan ulangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi empat mata pelajaran yang soalannya bocor perlu dijalankan demi memastikan kredibiliti dan integriti ujian itu terpelihara.

Lembaga Peperiksaan (LP) menjelaskan, langkah itu dibuat selepas menerima pandangan beberapa pihak berkaitan isu peperiksaan ulangan bagi mata pelajaran Sains, Bahasa Inggeris, Matematik dan Bahasa Tamil.

“LP amat memahami kesukaran yang dihadapi semua pihak khususnya murid dan ibu bapa dan telah mengambil langkah-langkah perlu bagi mengelak perkara ini daripada berulang,” kata LP dalam satu kenyataan semalam.

Ini termasuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kebocoran kertas soalan berkenaan.

Badan peperiksaan itu menjelaskan bahawa calon yang tidak menduduki semula peperiksaan UPSR 2014 bagi empat mata pelajaran itu tidak akan diberikan gred tetapi direkodkan sebagai ‘T’ iaitu ‘Tidak Hadir’ bagi mata pelajaran terbabit.

Ini selari dengan peraturan peperiksaan yang berkuat kuasa bahawa calon hendaklah menduduki semua kertas peperiksaan bagi setiap mata pelajaran berkenaan.

Lembaga Peperiksaan menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baharu untuk peperiksaan ulangan kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 serta kertas Sains 018, 028 dan 038.

Tarikh baharu ujian Matematik 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036 dan 037 ditetapkan pada 9 Oktober.

Seramai 472,853 murid menduduki UPSR tahun ini di seluruh negara.

Sumber :- http://teganukita.my/peperiksaan-ulangan-upsr-untuk-pastikan-kredibiliti-integriti-terpelihara/

101,286 Siswazah Bekerja Selepas 6 Bulan Tamat Belajar


Seramai 101,286 siswazah atau 48 peratus daripada golongan itu telah mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun lalu itu turut mendapati 20 peratus atau 42,443 siswazah sedang melanjutkan pengajian masing-masing, lapor Utusan Malaysia.

Walau bagaimanapun, katanya, apa yang membimbangkan, seramai 53,282 masih belum mendapatkan pekerjaan dalam tempoh tersebut.

“Kita juga bimbang kerana kadar pengangguran dalam kalangan belia negara ini mencecah 12 peratus, namun fenomena ini turut berlaku di peringkat global kerana situasi ekonomi tidak menentu.

“Walaupun majoriti mahasiswa kita berjaya mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian, kita tidak boleh berasa selesa malah perlu memperbaiki pencapaian dan kita mahu siswazah kita sudah ditawarkan kerja sebelum tamat belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G), di Universiti Malaya yang turut dihadiri Naib Canselornya, Prof. Datuk Mohd. Amin Jalaluddin, semalam.

Karnival tahunan yang dianjurkan sejak tahun 2009 oleh Kementerian Pendidikan adalah wadah untuk mengintegrasikan industri pekerjaan melalui kerjasama strategik dalam menyediakan peluang kerjaya dan keusahawanan untuk para siswazah dan belia.

Dalam pada itu, Khairy berkata, ramai siswazah menghadapi masalah tidak mendapat pekerjaan kerana tidak ada kemahiran mencukupi sebagaimana yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan.

Bagi memenuhi keperluan itu, katanya, kerajaan sedang melakukan usaha untuk melatih golongan berkenaan mengikut keperluan pekerjaan sebenar.

Sumber :-  http://teganukita.my/101286-siswazah-bekerja-selepas-6-bulan-tamat-belajar/

Alvin Tan Penakut, Sampah Masyarakat – Pemuda UMNO


Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menganggap penulis blog kontroversi, Alvin Tan sebagai penakut serta sampah masyarakat ekoran tindakannya mengeluarkan kenyataan yang menghina pemimpin negara.

Khairy berkata, Alvin merupakan seorang yang penakut apabila hanya berani mengeluarkan kenyataan tersebut selepas melarikan diri ke luar negara.

“Kalau berani balik ke Malaysia cakap depan-depan. Tak payah hendak lari ke Amerika Syarikat. Dia ini penakut hanya berani cakap selepas sudah lari dari Malaysia.

“Cakap depan-depan. Kami (Pemuda UMNO) menunggu. Jangan jadi bacul lari lepas itu baru hendak tunjuk berani. Orang macam ini adalah sampah masyarakat,” kata­nya dalam kenyataan semalam.

Baru-baru ini, dalam status terbarunya di laman sosial, Alvin telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin negara serta mengakui tidak gentar dengan Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadapnya.

Alvin sebelum ini juga telah dihadapkan ke mahkamah ekoran tindakannya mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan di laman sosial.

Sebelum itu pada 12 Mei lalu mahkamah membenarkan pasport Alvin dan pasangannya, Vivian Lee disimpan sebagai syarat jaminan sebelum diserahkan sementara kepada mereka berdua dari 18 Mei hingga 3 Jun lalu bagi tujuan pengambaran sebuah dokumentari di Singapura.

Bagaimanapun, Alvin telah dikenakan waran tangkap setelah gagal menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah serta tidak hadir pada sebutan semula kes sebanyak dua kali iaitu pada 13 Jun dan 18 Julai lalu.

Sumber :- http://teganukita.my/alvin-tan-penakut-sampah-masyarakat-pemuda-umno/

UMNO Perlu Perpaduan Luar Biasa – Razif


Pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat perlu mempunyai kekuatan dan perpaduan yang luar biasa dalam mendepani cabaran politik semasa.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ini merupakan keperluan penting dalam menentukan kelangsungan survival bangsa lebih-lebih lagi ketika semua peringkat pemimpin kini diuji dalam pelbagai bentuk cabaran.

Kata beliau, perpaduan juga sebenarnya merupakan asas yang membentuk UMNO sejak dahulu lagi, tetapi sedikit pudar akibat peredaran masa.


“Apa yang kita lakukan selama ini bukanlah tidak betul, tetapi masih ada kekurangan. Kita dilanda masalah tidak bersatu kerana wujudnya kelompok-kelompok orang berpolitik secara tidak ikhlas.

“Namun, kita kini perlu bermuhasabah dan kembali dengan semangat luar biasa. Ini penting kerana ketika ini pemimpin di semua peringkat dari akar umbi hingga ke peringkat atasan diuji dalam pelbagai cara,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri, Batu Burok, semalam.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Sumber :- http://teganukita.my/umno-perlu-perpaduan-luar-biasa-razif/

Idea Bernas PV-ATM Bantu Masyarakat


Anggota Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV-ATM) disaran menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk kesejahteraan negara.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari berkata walaupun mereka sudah tidak berkhidmat dalam ATM namun mereka mempunyai pengalaman luas serta idea yang bernas bagi membantu pihak kerajaan.

“Ketika ini ada kenyataan yang kurang tepat dikeluarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan kita mengalu-alukan golongan veteran ini untuk berkongsi pendapat dan pandangan mereka serta memberi nasihat kepada masyarakat di luar sana.

“ATM sentiasa menyokong kerajaan dan kita harap mereka yang telah tamat perkhidmatan juga terus dapat menyumbangkan khidmat mereka kepada negara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu selepas menyempurnakan penyampaian pingat-pingat sempena Mesyuarat Agung Tahunan PV-ATM di Hulu Terengganu, semalam.

Dalam majlis itu, 61 veteran ATM seluruh Terengganu menerima pingat Jasa Malaysia dan Pingat Sentiasa berjuang bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Sumber :- http://teganukita.my/idea-bernas-pv-atm-bantu-masyarakat/

Terengganu Hos Terbaik Sukan Marathon

Sheela (baju kuning) bersama dua pemenang bagi kategori terbuka wanita bergambar kenangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Awam Negeri, Bazlan Abd Rahman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Samiun Salleh.

“Terengganu menjadi antara lokasi terbaik penganjuran sukan marathon sebegini. Malah, saya pasti tidak akan melepaskan peluang menyertainya lagi pada tahun akan datang kerana hadiah yang ditawarkan juga lumayan,” kata Sheela Samivellu yang mengungguli kategori wanita terbuka, Larian Antarabngsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) 2014, di Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam.

Sheela yang menamatkan larian dengan catatan masa terbaik satu jam 21 minit dan 52 saat berjaya membawa pulang RM8,000, mengenepikan pesaing terdekat, Yu Fang di tempat kedua (1:29:51) dan Loh Chooi Fern (1:30:37).

Bekas atlet Sukma Johor itu berkata, penyertaan kali kedua pada tahun ini turut membaiki rekod di tempat kedua pada penyertaan LAJSM yang lalu dengan rekod masa

“Saya rasa sangat selesa dengan beberapa pembaharuan dan perubahan yang dilaksanakan penganjur pada kali ini. Langsung tiada masalah sepanjang larian bermula dari mula hingga tamat persaingan.

“Walaupun tanpa latihan yang intensif memandangkan saya sibuk bekerja sebagai pegawai kerajaan di Putrajaya, denga pelbagai kelebihan yang ada serta dibantu dengan cuaca yang baik, saya berjaya mencapai sasaran sebagai juara pada kali ini,” katanya yang juga atlet marathon 10km dan 15km.

Bagi kategori lelaki terbuka pula, pelari jarak jauh dari Kedah, Muhaizar Mohamad memenangi perlumbaan sejauh 21 km itu dengan catatan masa 1:10:46s meninggalkan R Thevan (1:10:53s) untuk tempat kedua dan ketiga Mohd Jironi Riduan (1:11:17s).
Muhaizar (dua dari kanan) bersama dua pemenang bagi kategori terbuka lelaki bergambar kenangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Awam Negeri, Bazlan Abd Rahman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Samiun Salleh.
Anggota tentera berusia 34 tahun dari Kem Sungai Udang, Melaka itu menerima wang tunai RM8,000 dan menyifatkan kejayaan itu merupakan catatan masa terbaik peribadinya sejak menukar haluan daripada menyertai larian extreme berbukit ke marathon sejak lebih setahun lalu.

Katanya, penyertaan dia dalam LAJSM itu juga merupakan medan pemanas badan baginya menghadapi satu lagi Kejohanan di Kuala Lumpur bulan depan dan mengharapkan mampu mempertahankan catatan masa terbaiknya.

“Penyertaan dalam larian extreme sebelum ini banyak membantu kejayaan saya pada hari ini (semalam) kerana dari segi ‘endurance’ saya tidak berdepan dengan masalah, cuma saya perlu tambahkan ‘speed’ pada larian sahaja.

“Malah ini adalah salah satu program latihan saya sebagai persiapan untuk melayakkan diri ke SEA Game Singapura tahun depan,” katanya.

Kategori lelaki tertutup Terengganu dimenangi Mohamad Helmi Suhaimi (1:14:52s), tempat kedua, Mohd Shukri Abd Rahman (1:17:38s) dan ketiga Muhamad Nizamuddin Alias (1:18:20s), manakala wanita dikuasai pemenang kategori terbuka musim lalu, Nor Amelia Musa dengan catatan masa 1:27:05s di depan Kok Swee Sen (1:53:41s) dan Nor Zaiemah Mat Hussain (1:53:46s).

Kejohanan anjuran kerajaan negeri disertai 22,297 peserta membabitkan pelari profesional dan amatur termasuk 120 pelumba luar negara dengan menyaksikan 13 kategori dipertandingkan.

Perlepasan peserta LAJSM disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, manakala hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mazlan Ngah.

Sumber :- http://teganukita.my/terengganu-hos-terbaik-sukan-marathon/

Atlet Kenya Dominasi LAJSM 2014


Seperti diramalkan, pelari jarak jauh dari Kenya berjaya mencipta hatrik kemenangan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) 2014 apabila kekal mendominasi kedudukan tiga terbaik bagi kategori utama lelaki dan wanita terbuka antarabangsa, di Dataran Batu Burok, semalam.

Seurei Julius Kiprotichi muncul johan perlumbaan apabila menamatkan persaingan dengan catatan masa dua jam lapan minit dan 59 saat sekaligus mengenepikan rakan senegaranya, Muasya Onesmus Muindi (2:09:09s) dan Joel Kiplimo Kemboi (2:09:18s) di tempat kedua serta ketiga dalam perlumbaan sejauh 42 kilometer (km) itu.


Dia yang membuat persiapan tiga bulan sebelum kejohanan itu, sangat gembira kerana berjaya mencipta kemenangan dalam acara marathon pertama disertainya di Terengganu.

“Saya menerima saingan yang amat sengit dari rakan senegara. Bagaimanapun, keadaan cuaca yang sangat baik banyak membantu larian saya.

“Malah kejayaan ini memberi semangat buat saya untuk terus menyartai kejohanan yang lain pada masa akan datang dan pastinya saya akan kembali lagi ke sini tahun depan,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlumbaan semalam.

Manakala Julius Kiprotichi menerima hadiah wang tunai RM18,000 manakala Onesmus Muindi RM8,000 dan Kiplimi Kemboi RM5,000.


Kejohanan anjuran Kerajaan Negeri itu seramai 22,297 peserta yang terdiri daripada pelari profesional dan amatur termasuk 120 pelumba luar negara menyertai perlumbaan sehari itu dengan menyaksikan 13 kategori dipertandingkan.

Perlepasan peserta LAJSM disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, manakala hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mazlan Ngah.

Dalam pada itu, pelumba Kenya, Mary Arenkwony Maiyo memenangi kategori wanita dengan catatan masa dua jam 33 minit dan 44 saat mengatasi dua lagi rakan senegara, Edinah Jeruto Koech (2:38:44s) serta Purity Chelimo Serem (2:40:25s).

Atlet berusia 29 tahun itu menerima hadiah wang tunai RM10,000 manakala Jeruto Koech RM 7,000 dan Chelimo Serem RM5,000.

Sumber :- http://teganukita.my/atlet-kenya-dominasi-lajsm-2014/

Hoki Terengganu Anjur Liga Antara Daerah November Ini


Persatuan Hoki Terengganu (PHT) akan menganjurkan Kejohanan Liga Hoki Antara Daerah bagi merebut Piala Menteri Besar, November ini.

Presidennya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, sebanyak lapan daerah termasuk daerah terbaru, Kuala Nerus, dijangka menyertai kejohanan tersebut.

“Kejohanan ini secara tidak langsung akan menyemarakkan aktiviti sukan hoki di negeri ini,” katanya baru-baru ini.

Justeru, katanya pihaknya akan memohon bantuan kewangan daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bagi merealisasikan kejohanan liga itu.

Sumber :- http://teganukita.my/hoki-terengganu-anjur-liga-antara-daerah-november-ini/

22,279 – Penyertaan Tertinggi Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud


Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LJSM) 2014 yang diberi nafas baharu mencatat sejarah penyertaan teramai sepanjang siri penganjurannya dengan 22,297 orang bersaing dalam 12 kategori semalam.

Pelari dari Kenya terus mengungguli kategori utama (antarabangsa) lelaki dan wanita terbuka dalam perlumbaan sejauh 42 kilometer (km) yang bermula dan berakhir di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu.

Seurei Julius Kiprotichi, 38, yang menamatkan larian dua jam lapan minit dan 59 saat (2’08:59) membawa pulang RM18,000 manakala Mary Arennkwony Maiyo, 26, dengan catatan masa 2’33:44s meraih RM10,000 selaku juara.

Tempat kedua lelaki dan wanita terbuka antarabangsa dimenangi oleh Muasya Onesmus Muindi dengan catatan masa 2’09:9s dan ketiga, Joel Kipumo Kemboi dengan masa 2’09:18s. Masing-masing menerima RM8,000 dan RM5,000.

Tempat kedua wanita terbuka antarabangsa dimenangi oleh Edinah Jeruto Koech dengan catatan 2’38:44 saat dan ketiga Purity Chelimo Serem dengan catatan 2’40: 25 saat. Masing-masing membawa pulang RM8,000 dan RM5000.

Bagi ketegori lelaki Malaysia terbuka 21 km, dimenangi oleh Muhaizar Mohamad, 26, dari Kedah dengan catatan masa 1’10: 46s dan tempat kedua, Thevan Al Rajoo 1’10:53s manakala Mohd. Jironi Riduan (1’11:17s) di tempat ketiga.

Mereka menerima RM8,000, RM5,000 dan RM3,000.

Kategori wanita Malaysia terbuka 21 km dimenangi oleh Sheela Samivellu, 34, dari Putrajaya dengan catatan masa 1’21:52s manakala tempat kedua, Yuan Yu Fang (1’29:51) dan ketiga Loh Chooi Fern (1’30:37s). Masing-masing menerima RM8,000, RM5,000 dan RM3,000.

Perlepasan peserta disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman manakala penyampaian oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Abd Rashid Jusoh.

Seramai 22,297 peserta termasuk 120 peserta luar negara menyertai edisi LAJSM pada tahun ini yang menawarkan hadiah keseluruhan RM278,800 berbanding kira-kira 8,000 penyertaan pada tahun lalu dan melepasi 10,000 yang disasarkan penganjur.

Peserta antarabangsa terbanyak adalah dari Kenya iaitu 80 orang selain Ethiopia, German, Indonesia, Singapura, Australia, Austria, Azerbaijan, Bangladesh, India, Jepun, Nigeria, Sri Lanka, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Sumber :- http://teganukita.my/22279-penyertaan-tertinggi-larian-antarabangsa-jambatan-sultan-mahmud/

Pantai Kemasik Jadi Tarikan Jurugambar Profesional


Keindahan panorama dengan aliran sungai jernih dan cetek yang terdapat di persisir Pantai Kemasik, Kemaman nyata menarik minat jurugambar profesional tempatan dan luar negara untuk mengabdikannya sebagai kenangan atau tatapan rakan dan saudara.

Setiap kali singgah di destinasi itu, mereka tidak ketinggalan merakam pelbagai sudut menarik, termasuk bayang-bayang dibawah jeti kayu, perahu nelayan, tugu pengenalan pantai, gelagat kanak-kanak bermain pasir dan penduduk kampung menaikkan wau.

Apa yang dilakukan jurugambar itu, secara tidak langsung dapat mempromosikan destinasi itu kepada orang ramai yang rata-ratanya kini mencintai keindahan dan keunikan alam semula jadi.

Dek keindahan itu juga membuatkan pengunjung luar Terengganu dan pelancong dari pelbagai negara gemar bertandang semata-mata ingin mendapat ketenangan, lari daripada kesibukan kota dan merasai udara nyaman serta bersih.


Pendekatan pihak berkuasa tempatan membina pelbagai kemudahan seperti tandas, surau, taman permainan,gerai makan, pondok rehat, jeti, laluan berjalan kaki dan tempat letak kereta membuatkan mereka tidak pernah serik dan akan mengunjunginya kembali jika ada kelapangan.

Beberapa chalet dan rumah istirehat yang dibina pengusaha berhampiran Pantai Kemasik nyata memudahkan pelancong untuk bermalam secara individu atau bersama keluarga.

Pantai Kemasik yang terletak kira-kira 30 km dari Bandar Chukai dan 125 km dari Kuala Terengganu itu nyata menarik minat orang ramai terutama pengguna jalan raya kerana berada berdekatan dengan jalan utama.

Tugu pengenalan pantai yang dibina PBT seakan melambai-lambai kedatangan pegunjung ke destinasi itu untuk pelbagai tujuan sama ada beristirehat atau berkelah.


Penduduk tempatan bijak memanfaatkan kawasan lapang di pantai itu dengan pelnagai aktiviti, termasuk bermain bola sepak, bebeku, sukaneka dan bola tampar.

Bagaimana untuk ke sana:-

Sekiranya anda dari Kuantan, anda perlu menuju ke Bandar Chukai di Kemaman. Dari Kemaman pula, anda perlu mengikut jalan persisiran pantai Chukai-Kijal-Kemasik.

Jika ingin bermalam mereka boleh memilih Kerteh Lodge, Resorts World Kijal atau JR Apartment yang hanya terletak 10km dari pantai itu.

Sumber :- http://teganukita.my/pantai-kemasik-jadi-tarikan-jurugambar-profesional/

Friday, September 26, 2014

Terengganu Tuan Rumah Kejohanan Sukan Kolej Komuniti 2014


KOLEJ-KOMUNITI-newJabatan Pengajian Kolej Komuniti dengan kerjasama Majlis Sukan Kolej-Kolej Komuniti (MASKOM) mengambil inisiatif menjayakan Kejohanan Sukan Kolej Komuniti 2014, di sekitar Kuala Terengganu selama empat hari  bermula  26 September ini.
Ketua Jabatan Jabatan Kejuruteraan dan Kemahiran Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Mohamed Kamel Ali, berkata kejohanan diadakan bertujuan mengenal pasti bakat pelajar untuk  diketengahkan sebagai wakil kolej, negeri atau negara ke persada sukan antarabangsa.
“Selain itu, kita mahu memupuk semangat kerjasama, setiakawan dan hubungan mesra sesama pelajar dan antara institusi terlibat serta memupuk semangat perpaduan, kekeluargaan, nilai- nilai positif dan sahsiah sepadu di  kalangan pelajar kolej komunti yang terlibat.
“Penganjuran itu juga dapat merealisasi matlamat kementerian agar dapat mencapai Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi untuk melahirkan 30 peratus atlit negara yang  terdiri dari pelajar IPT,”  katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.
Kejohanan yang dianjurkan Kolej Komuniti Negeri Terengganu akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Datuk Amir Mohd Noor di Pengkalan Unit 6 Polis FRU, Wakaf Tapai , jam 8.30 malam (26 Sepember).
Mohamed Kamel berkata, pengisian program termasuk pertandingan bola tampar,  bola jaring, sepak takraw dan badminton (di Pengkalan Unit 6 Polis FRU Wakaf Tapai), boling (Terengganu Equestarian Resort, Kuala Terengganu) serta petanque di Sekolah Menengah Kebangsaan Manir.

Jambatan Sultan Mahmud Ditutup Kepada Pengguna Jalan Raya Sabtu Ini.


DSC_0945 - CopyJambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu akan ditutup kepada pengguna jalan raya selama tiga jam, bermula pukul 6.30 pagi pada Sabtu ini (27 September ini).
Manakala penutupan satu lorong melibatkan Jalan Sultan Mahmud, Jalan Sultan Ismail, Jalan Kemajuan, Jalan Bukit Besar, Jalan Kamarudin, Jalan Wakaf Mempelam dan Jalan Durian Durian.
Jalan itu ditutup bagi melancarkan perjalanan program Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) 2014 yang melibatkan hampir 2,500 peserta tempatan dan luar negara pada tarikh itu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Dato’ Rozi Mamat, berkata pihaknya terpaksa berbuat demikian bagi mengelak pelbagai kemungkinan buruk berlaku, selain ingin menjaga keselamatan peserta LAJSM.
Katanya, orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif, iaitu Jalan Batu Enam menghala ke Jalan Durian Burung sekiranya mempunyai urusan di Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu dalam tempoh itu.
“Seramai 1,000 pihak berkuasa tempatan, termasuk Polis, Jabatan Pertahanan Awam dan Rela terlibat bagi menjayakan program tahunan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu.
“Pada masa sama, tiga ambulans dan sebuah jentera bomba turut bersedia menawarkan perkhidmatan masing-masing,” katanya kepada teganukita

Penduduk Ladang, Tanjung Setuju Pindah Ke Pangsapuri Ladang Gemilang


3
Ahmad Razif meninjau premis perkedaian, di bandar Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Kerajaan negeri mencapai  persetujuan dengan penduduk di Kampung  Ladang dan Tanjung  yang terlibat dengan projek penstrukturan semula Bandar Raya Kuala Terengganu untuk berpindah ke Pangsapuri Ladang Gemilang II, tidak lama lagi.
Sehingga kini, kerajaan negeri hampir menyelesaikan semua bayaran pampasan kepada penduduk terlibat dan bayaran dilakukan secara berperingkat-peringkat sebelum mereka diberikan notis mengosongkan rumah masing-masing.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk menjual rumah Pangsapuri Ladang Gemilang II itu kepada penduduk terlibat dengan kos yang tidak membebankan mereka.
“Mereka akan berpindah terus ke Ladang Gemilang dan tidak ada lagi konsep menyewa. Kita akan tukarkan penama rumah itu kepada penduduk mengikut terma dan syarat apabila mencapai persetujuan itu.
“Jika  mereka hendak membeli rumah itu, mereka boleh membelinya dengan menggunakan konsep` one-off’  atau menyewa dari pemilik lain, bergantung kepada keselesaan dan kemampuan masing-masing ,” katanya di Kampung Hulu Takir, Kuala Nerus, baru-baru ini.
Tambah beliau, kerajaan hari ini, tidak akan membebani rakyat yang dalam kesusahan dan kesempitan, sebaliknya akan mencari jalan dan pertimbangan terbaik untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan.
Katanya, sektor perumahan menjadi agenda penting kerajaan negeri dalam usaha memberi kesejahteraan kepada kehidupan rakyat di bandar mahupun luar bandar.
“Kerajaan negeri sentiasa memandang ke hadapan dan mencari inisiatif bagi memastikan penduduk yang terbabit dengan perpindahan akibat pembangunan bandar ini dapat meneruskan hidup bersama keluarga dengan lebih selesa,” katanya.
Sebelum ini, penduduk yang berpindah ke Pangsapuri Ladang Gemilang I diberi subsidi 50 peratus bagi setiap unit berharga RM150,000 yang melayakkan mereka membeli kediaman berkenaan pada harga RM75,000 sahaja.

Sidang DUN: Lebih 500 RMM Bakal Dibina Di Setiap Parlimen


8 (1)
Dato’ Ahmad Razif
Kerajaan negeri bakal membina lebih 500 Rumah Mampu Milik (RMM) di lokasi terpilih  setiap Parlimen dengan dilengkapi insfrastruktur tertentu, termasuk bangunan kedai dan taman permainan, mulai tahun depan.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman memberitahu Sidang dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa setiap Parlimen perlu mencadangkan mana-mana kawasan yang bersesuaian dan luas untuk pembinaan RMM di atas setiap lot tanah.
“Melalui projek itu, kerajaan negeri mahu mengelak membina RMM secara bertingkat, kerana kebanyakan pemilik lebih selesa mendiami rumah di atas lot kediaman masing-masing.
“Usaha itu secara tidak langsung dapat membantu mana-mana penduduk, terutama yang tidak mampu membeli tanah memiliki lot kediaman “ katanya ketika menjawab soalan Mohd Iskandar Jaafar (BN-Jabi).
Menurutnya, dalam aspek itu, kerajaan negeri mahu memastikan setiap keluarga mempunyai satu rumah.
“Bagi memastikan usaha itu memcapai matlamat, kita akan memperbanyakkan kediaman berkonsepkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin teres di setiap  DUN,” katanya.

Sidang DUN: Pasar Payang Baharu Dalam Proses Akhir Tawaran Tender


3 (4)Pembinaan Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) baharu berkonsepkan warisan Terengganu tanpa melibatkan apartment dan hotel mewah kini dalam proses akhir tawaran tender.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kos yang diperuntukkan bagi tujuan itu lebih rendah berbanding apa yang dicadangkan sebelum ini.
“PBKP itu nanti masih mengekalkan warisan Terengganu walaupun dilengkapi kemudahan moden termasuk alat penghawa dingin, lif dan eskalator.
“Lebih menarik mempunyai jejambat yang boleh menghubungkan ke Bazar Warisan, mengekalkan indentiti jam besar, replika perahu payang dan telaga seri amar.” katanya,
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sidang DUN, hari ini.
Ahmad Razif turut memberitahu, kerajaan akan menaik taraf PBKB itu secara berperingkat-peringkat dengan merobohkan struktur lama bangunan itu yang dikenalpasti tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya.
Katanya, bangunan lama itu yang melibatkan pasar basah dan premis batik mungkin akan dipindahkan lebih awal ke pasar sementara bertempat di Pulau Warisan untuk kerja-kerja meroboh dan membina baru.
“Apabila bangunan itu siap kelak, perniaga terbabit akan berpindah, sebelum pengusaha lain pula yang akan dipindahkan ke pasar sementara iaitu di lokasi sama.
“Kita terpaksa berbuat demikian, untuk mengelak pembaziran peruntukan dengan membina pasar sementara lebih luas dan besar,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Razif turut memberitahu kerajaan negeri turut bercadang menwujudkan perkhidmatan bas bandar percuma kepada pelancong tempatan dan luar negara.
“Langkah itu dilihat lebih mesra pelancong, selain mahu memberi keselesaan golongan itu yang mahu melihat keunikan sekitar Bandar Raya Kuala Terengganu,” katanya.

Sidang DUN: Lulus Perbekalan Tambahan RM150 Juta


3 (4)Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, Selasa meluluskan rang undang-undang perbekalan tambahan RM150 juta untuk beberapa perbelanjaan luar jangka dan memastikan kelancaran pentadbiran negeri itu.
Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan Tambahan 2014 itu diluluskan sebulat suara oleh anggota dewan setelah dibahaskan anggota dewan undangan negeri kerajaan dan pembangkang.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata perbekalan itu antara lain adalah untuk menampung keperluan perbelanjaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi-agensi milik kerajaan negeri.
“Daripada jumlah itu, RM43 juta diperuntukkan bagi memajukan sektor bioteknologi polimer yang diadakan dengan kerjasama NSE Resources Corporation Sdn Bhd di Kertih, Kemaman.
“Peruntukan itu tidak termasuk dalam pembentangan bajet tahun ini, namun kita melihat adanya potensi untuk terus membangunkan sektor bioteknologi yang pertama di negara ini dengan komitmen kerajaan Persekutuan memberi subsidi RM140 juta bagi tempoh 10 tahun (RM14 juta setahun) kepada Terengganu,” katanya di sesi penggulungan peruntukan tambahan dalam Perbelanjaan Negeri Tahun 2014 di Sidang DUN, semalam.
Selain itu, beliau berkata perbekalan tambahan itu diperlukan untuk menampung perbelanjaan Yayasan Terengganu, yang sehingga kini berjumlah RM9.5 juta berbanding RM7.3 juta sepanjang tahun lepas.
“Ia berikutan peningkatan pelbagai bantuan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kita jangka rayuan permohonan untuk mendapatkan bantuan ini akan bertambah menjelang Disember, untuk kemasukan ke universiti.
“Begitu juga dengan perbelanjaan untuk pengagihan dana raya, dana remaja dan bantuan pakaian persekolahan yang masih berterusan sehingga kini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata jumlah perbelanjaan itu bergantung kepada keperluan dan baki daripada RM150 juta itu, jika ada, akan disalurkan kepada aspek pembangunan untuk tahun depan.

Hulu Berubah Wajah Pada 2020


7Menjelang 2020 bakal menyaksikan perubahan landskap keseluruhan Daerah Hulu Terengganu apabila beberapa kawasan pertanian di daerah itu dibangunkan dengan industri serta kawasan perumahan yang lebih tersusun.
Transformasi  itu akan dilaksanakan mengikut Rancangan Tempatan Daerah Hulu Terengganu (RTDHT) 2015-2020 untuk meningkatkan kawasan industri dan pembangunan perumahan serta kemudahan awam.
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri Dato’ Rozi Mamat berkata, tambahan kawasan perindustrian bagi Hulu Terengganu termasuk projek Taman Industri Terengganu (TIP) akan meningkat daripada seluas 2,206.4 hektar kepada 2,380.2 hektar.
“Kita melihat perancangan awal untuk pembangunan bandar adalah penting bagi mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan dan bagi mengatasi masalah bandar seperti kesesakan lalu-lintas dan tekanan pembangunan.
“Pembangunan dan penyusunan semula bandar Kuala Berang perlu diberi perhatian melalui pembangunan semula secara terpilih dan pengezonan semula guna tanah,” katanya ketika merasmikan Publisiti Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Terengganu (Pengubahan).
Rozi memberitahu, penyusunan semula Bandar Kuala Berang sedang dirancang dalam usaha mewujudkan bandar itu sebagai bandar kecil mampan yang dilengkapi komponen perbandaran, berimej dan beridentiti Bandar Warisan Batu Bersurat.
Menurutnya, begitu juga dengan pekan Ajil yang bakal menerima lonjakan pembangunan ketara dengan siapnya Lebuhraya Pantai Timur dan cadangan pembangunan pusat komersil Ajil yang bakal menjana peningkatan berganda dalam aktiviti perniagaan setempat.
Katanya pemantapan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam akan dapat menyumbang ke arah perkembangan ekonomi daerah secara menyeluruh.
Rozi berkata Majlis Daerah Hulu Terengganu telah mengambil tindakan untuk mengkaji semula kawasan guna tanah khususnya bagi kawasan Kampung Langgar, Kampung Gaung dan Kampung Telaga.
Tambah beliau, kawasan-kawasan ini merupakan kawasan tanaman padi yang telah diwartakan, tetapi tidak dapat diusahakan kerana ketiadaan pengusaha dan kemudahan sistem pengairan menyebabkan ia terbiar dan dipenuhi semak.