Pages

Tuesday, September 30, 2014

101,286 Siswazah Bekerja Selepas 6 Bulan Tamat Belajar


Seramai 101,286 siswazah atau 48 peratus daripada golongan itu telah mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun lalu itu turut mendapati 20 peratus atau 42,443 siswazah sedang melanjutkan pengajian masing-masing, lapor Utusan Malaysia.

Walau bagaimanapun, katanya, apa yang membimbangkan, seramai 53,282 masih belum mendapatkan pekerjaan dalam tempoh tersebut.

“Kita juga bimbang kerana kadar pengangguran dalam kalangan belia negara ini mencecah 12 peratus, namun fenomena ini turut berlaku di peringkat global kerana situasi ekonomi tidak menentu.

“Walaupun majoriti mahasiswa kita berjaya mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian, kita tidak boleh berasa selesa malah perlu memperbaiki pencapaian dan kita mahu siswazah kita sudah ditawarkan kerja sebelum tamat belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G), di Universiti Malaya yang turut dihadiri Naib Canselornya, Prof. Datuk Mohd. Amin Jalaluddin, semalam.

Karnival tahunan yang dianjurkan sejak tahun 2009 oleh Kementerian Pendidikan adalah wadah untuk mengintegrasikan industri pekerjaan melalui kerjasama strategik dalam menyediakan peluang kerjaya dan keusahawanan untuk para siswazah dan belia.

Dalam pada itu, Khairy berkata, ramai siswazah menghadapi masalah tidak mendapat pekerjaan kerana tidak ada kemahiran mencukupi sebagaimana yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan.

Bagi memenuhi keperluan itu, katanya, kerajaan sedang melakukan usaha untuk melatih golongan berkenaan mengikut keperluan pekerjaan sebenar.

Sumber :-  http://teganukita.my/101286-siswazah-bekerja-selepas-6-bulan-tamat-belajar/

No comments:

Post a Comment