Tuesday, September 30, 2014
Pantai Kemasik Jadi Tarikan Jurugambar Profesional
Keindahan panorama dengan aliran sungai jernih dan cetek yang terdapat di persisir Pantai Kemasik, Kemaman nyata menarik minat jurugambar profesional tempatan dan luar negara untuk mengabdikannya sebagai kenangan atau tatapan rakan dan saudara.
Setiap kali singgah di destinasi itu, mereka tidak ketinggalan merakam pelbagai sudut menarik, termasuk bayang-bayang dibawah jeti kayu, perahu nelayan, tugu pengenalan pantai, gelagat kanak-kanak bermain pasir dan penduduk kampung menaikkan wau.
Apa yang dilakukan jurugambar itu, secara tidak langsung dapat mempromosikan destinasi itu kepada orang ramai yang rata-ratanya kini mencintai keindahan dan keunikan alam semula jadi.
Dek keindahan itu juga membuatkan pengunjung luar Terengganu dan pelancong dari pelbagai negara gemar bertandang semata-mata ingin mendapat ketenangan, lari daripada kesibukan kota dan merasai udara nyaman serta bersih.
Pendekatan pihak berkuasa tempatan membina pelbagai kemudahan seperti tandas, surau, taman permainan,gerai makan, pondok rehat, jeti, laluan berjalan kaki dan tempat letak kereta membuatkan mereka tidak pernah serik dan akan mengunjunginya kembali jika ada kelapangan.
Beberapa chalet dan rumah istirehat yang dibina pengusaha berhampiran Pantai Kemasik nyata memudahkan pelancong untuk bermalam secara individu atau bersama keluarga.
Pantai Kemasik yang terletak kira-kira 30 km dari Bandar Chukai dan 125 km dari Kuala Terengganu itu nyata menarik minat orang ramai terutama pengguna jalan raya kerana berada berdekatan dengan jalan utama.
Tugu pengenalan pantai yang dibina PBT seakan melambai-lambai kedatangan pegunjung ke destinasi itu untuk pelbagai tujuan sama ada beristirehat atau berkelah.
Penduduk tempatan bijak memanfaatkan kawasan lapang di pantai itu dengan pelnagai aktiviti, termasuk bermain bola sepak, bebeku, sukaneka dan bola tampar.
Bagaimana untuk ke sana:-
Sekiranya anda dari Kuantan, anda perlu menuju ke Bandar Chukai di Kemaman. Dari Kemaman pula, anda perlu mengikut jalan persisiran pantai Chukai-Kijal-Kemasik.
Jika ingin bermalam mereka boleh memilih Kerteh Lodge, Resorts World Kijal atau JR Apartment yang hanya terletak 10km dari pantai itu.
Sumber :- http://teganukita.my/pantai-kemasik-jadi-tarikan-jurugambar-profesional/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment