Kerajaan negeri mencapai persetujuan dengan penduduk di Kampung Ladang dan Tanjung yang terlibat dengan projek penstrukturan semula Bandar Raya Kuala Terengganu untuk berpindah ke Pangsapuri Ladang Gemilang II, tidak lama lagi.
Sehingga kini, kerajaan negeri hampir menyelesaikan semua bayaran pampasan kepada penduduk terlibat dan bayaran dilakukan secara berperingkat-peringkat sebelum mereka diberikan notis mengosongkan rumah masing-masing.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk menjual rumah Pangsapuri Ladang Gemilang II itu kepada penduduk terlibat dengan kos yang tidak membebankan mereka.
“Mereka akan berpindah terus ke Ladang Gemilang dan tidak ada lagi konsep menyewa. Kita akan tukarkan penama rumah itu kepada penduduk mengikut terma dan syarat apabila mencapai persetujuan itu.
“Jika mereka hendak membeli rumah itu, mereka boleh membelinya dengan menggunakan konsep` one-off’ atau menyewa dari pemilik lain, bergantung kepada keselesaan dan kemampuan masing-masing ,” katanya di Kampung Hulu Takir, Kuala Nerus, baru-baru ini.
Tambah beliau, kerajaan hari ini, tidak akan membebani rakyat yang dalam kesusahan dan kesempitan, sebaliknya akan mencari jalan dan pertimbangan terbaik untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan.
Katanya, sektor perumahan menjadi agenda penting kerajaan negeri dalam usaha memberi kesejahteraan kepada kehidupan rakyat di bandar mahupun luar bandar.
“Kerajaan negeri sentiasa memandang ke hadapan dan mencari inisiatif bagi memastikan penduduk yang terbabit dengan perpindahan akibat pembangunan bandar ini dapat meneruskan hidup bersama keluarga dengan lebih selesa,” katanya.
Sebelum ini, penduduk yang berpindah ke Pangsapuri Ladang Gemilang I diberi subsidi 50 peratus bagi setiap unit berharga RM150,000 yang melayakkan mereka membeli kediaman berkenaan pada harga RM75,000 sahaja.
No comments:
Post a Comment