Pages

Friday, September 26, 2014

Sidang DUN: Lulus Perbekalan Tambahan RM150 Juta


3 (4)Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, Selasa meluluskan rang undang-undang perbekalan tambahan RM150 juta untuk beberapa perbelanjaan luar jangka dan memastikan kelancaran pentadbiran negeri itu.
Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan Tambahan 2014 itu diluluskan sebulat suara oleh anggota dewan setelah dibahaskan anggota dewan undangan negeri kerajaan dan pembangkang.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata perbekalan itu antara lain adalah untuk menampung keperluan perbelanjaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi-agensi milik kerajaan negeri.
“Daripada jumlah itu, RM43 juta diperuntukkan bagi memajukan sektor bioteknologi polimer yang diadakan dengan kerjasama NSE Resources Corporation Sdn Bhd di Kertih, Kemaman.
“Peruntukan itu tidak termasuk dalam pembentangan bajet tahun ini, namun kita melihat adanya potensi untuk terus membangunkan sektor bioteknologi yang pertama di negara ini dengan komitmen kerajaan Persekutuan memberi subsidi RM140 juta bagi tempoh 10 tahun (RM14 juta setahun) kepada Terengganu,” katanya di sesi penggulungan peruntukan tambahan dalam Perbelanjaan Negeri Tahun 2014 di Sidang DUN, semalam.
Selain itu, beliau berkata perbekalan tambahan itu diperlukan untuk menampung perbelanjaan Yayasan Terengganu, yang sehingga kini berjumlah RM9.5 juta berbanding RM7.3 juta sepanjang tahun lepas.
“Ia berikutan peningkatan pelbagai bantuan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kita jangka rayuan permohonan untuk mendapatkan bantuan ini akan bertambah menjelang Disember, untuk kemasukan ke universiti.
“Begitu juga dengan perbelanjaan untuk pengagihan dana raya, dana remaja dan bantuan pakaian persekolahan yang masih berterusan sehingga kini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata jumlah perbelanjaan itu bergantung kepada keperluan dan baki daripada RM150 juta itu, jika ada, akan disalurkan kepada aspek pembangunan untuk tahun depan.

No comments:

Post a Comment