Pages

Monday, September 22, 2014

252 Pelajar Kelas Dewasa Orang Asli Terima Sijil


DSC_0144
Sebahagian pelajar Kelas Dewasa Orang Asli yang sedang beratur untuk menerima sijil pada majlis Konvensyen Tabika/Kedap Negeri Kelantan dan Terengganu di Institut Pendidikan Guru, Kampus Sultan Mizan, di Jertih semalam. Foto oleh Mohamad Ishak.
Kelas Dewasa Orang Asli Pribumi (KEDAP) berjaya mengurangkan kadar buta huruf dikalangan masyarakat Orang Asli negara ini yang tidak boleh menulis, membaca dan mengira.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang bertanggung jawab menubuhkan KEDAP memberi fokus pembelajaran kepada masyarakat Orang Asli berumur 15 tahun ke atas bagi mengurangkan kadar buta huruf yang tinggi dikalangan golongan berkenaan.
Ketua Pengarahnya, Hasnan Hassan berkata, kelas KEDAP kini dilaksanakan di 136 perkampungan Orang Asli diadakan tiga kali seminggu atau 108 jam dalam tempoh tiga bulan.
Katanya, KEDAP satu program One-Off di bawah Program Transformasi Kerajaan Pelan Hala Tuju pada tahun ini menerima peruntukkan RM6.4 juta menerusi RMK-10.
Beliau berkata, program itu bertujuan memberi peluang kepada ibu bapa Orang Asli dan golongan dewasa mendapat pendidikan asas yang mungkin tidak dirasai oleh mereka sebelum ini.
“Peluang seperti ini akan membuka minda ibu bapa Orang Asli terhadap pentingnya pendidikan bukan sahaja kepada diri mereka tetapi yang lebih penting untuk anak mereka,” katanya pada majlis Konvensyen Tabika/Kedap Negeri Kelantan dan Terengganu di Institut Pendidikan Guru, Kampus Sultan Mizan, di Jertih semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyaraakat negeri, Muhamad Pehimi Yusof merasmikan konvensyen berkenaan.
Pada majlis itu seramai 200 murid tadika dan 252 pelajar kelas dewasa menerima sijil tamat belajar masing-masing.
Hasnan berkata, ketika ini seramai 4,080 masyarakat Orang Asli sedang mengikuti kelas dewasa membabitkan 136 kelas KEDAP di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 540 pelajar adalah dari Kelantan dan Terengganu yang belajar di 24 kelas mebabitkan peruntukan RM1.1 juta bagi melaksanakan program berkenaan di dua negeri  itu.
Muhamad Pehimi ketika berucap menyifatkan Orang Asli negara ini amat beruntung kerana pelbagai kemudahan termasuk pembangunan pendidikan disediakan kerajaan bagi membangunkan masyarakat berkenaan
“Majlis Konvensyen kali pertama yang diadakan ini adalah satu pengiktirafan tertinggi kerajaan terhada masyarakat Orang Asli dalam menyediakan pembangunan pendidikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment