Robin Hood Negara, Khairul Anuar Mohamad yang juga anak jati Kemaman, Terengganu berharap tindakannya menahan dan melawan kesakitan bahu untuk beraksi di Sukan Asia berbaloi dengan melakukan bidikan tepat sekaligus memenangi pingat.
Berdasarkan rekod pemanah negara, belum pernah menyumbang pingat di temasya sukan terbesar Asia ini, tetapi jika bahunya tidak sakit ketika hari pertandingan yang bermula Selasa ini, dia memiliki peluang cerah untuk memecah tembok besar itu.
Selepas memenangi dua emas acara recurve individu dan berpasukan di sukan SEA Myanmar Disember lalu, Khairul terpaksa berehat tiga bulan sebelum mara ke separuh akhir Piala Dunia di Medeellin, Colombia Mei lalu yang juga prestasi terbaiknya tahun ini.
Sebulan selepas itu, Khairul membantu pasukan recurve mara ke separuh akhir di Antalya, Turki.
“Saya masih sakit lagi di bahu,” kata Khairul, 23, yang sudah berada di Incheon sejak 17 hari lalu untuk membuat persiapan menghadapi temasya sukan terbesar Asia ini.
“Saya berdoa ia tidak mengganggu bidikan saya nanti. Lagipun, kecederaan ini bukan baharu sebaliknya saya sudah alami sebelum Sukan Olimpik 2012 dan ketika menang emas di Sukan SEA lalu, saya juga terpaksa melawan kesakitan.
“Malah, doctor menasihatkan saya tidak membuat pembedahan kerana ia sudah terlalu kronik akibat penggunaan berlebihan ketika menarik busar.” katanya, lapor Berita Harian.
Selain Khairul, skuad Robin Hood Negara dibarisi Haziq Kamaruddin, Atiq Bazil Bakri dan Ikram Joni.
No comments:
Post a Comment