Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) melebarkan sayap dengan menyertai pembangunan hartanah apabila bakal membina Peladang Boutique Hotel, mulai Mac tahun depan.
Hotel yang bernilai RM12 juta akan dibangunkan di tanah milik Lembaga Pertubuhan Peladang yang dipajak selama 30 tahun berhampiran Stesen Bas Dungun.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPNT, Dato’ Wan Zakaria Abd Rahman, berkata pembinaan satu blok bangunan enam tingkat dengan kapasiti 66 unit bilik penginapan, dewan serbaguna dan restoran sudah menerima kelulusan Majlis Perbandaran Dungun.
“Pembinaan hotel yang menggunakan peruntukan PPNT ini dijangka memakan masa 18 bulan sebelum beroperasi sepenuhnya.
“Ini satu dari usaha PPNT bagi mengembangkan pendapatan dan ekonomi ahli PPNT pada masa depan menerusi pembangunan hartanah,”katanya kepada pemberita di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPNT Kali Ke-40 Tahun 2014, di Wisma Peladang Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi Negeri, Nawi Mohamad.
Wan Zakaria berkata, inisiatif PPNT melabur dalam sektor hartanah bukan sahaja memberi perkhidmatan dan kemudahan kepada ahli PPNT, tetapi juga kepada orang ramai terutama pelancong luar Terengganu yang mahu menginap di bandar Dungun.
” Hotel ini juga membantu menggalakkan industri pelancongan negeri, memandangkan di Dungun sendiri masih kekurangan bilik penginapan untuk pengunjung khususnya yang ‘walk-in’.
” Yang menariknya juga, hotel itu bukan sahaja dilengkapi kemudahan bilik seminar dan restoran yang menyajikan pelbagai produk yang dihasilkan oleh ahli peladang, malah turut terdapat kiosk bagi mempromosi produk seperti madu dan songket,”katanya.
No comments:
Post a Comment