TUMPAT, 13 Sept – Pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) menzahirkan keyakinan penuh bahawa calon BN Mat Razi Mat Ail pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor 25 Sept ini, adalah calon terbaik dan mampu memenangi PRK itu.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata paling penting pada PRK, semua jentera parti perlu bekerja bersungguh-sungguh selain memastikan perpaduan yang erat di peringkat akar umbi.
“Kita ikut cara Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar yang bergerak terus ke akar umbi dan bukan hanya ikut kumpulan kecil tetapi lebih mengenali individu.
“Ini yang diperlukan oleh jentera, tidak perlu ceramah yang besar tetapi perlu memberikan penjelasan kepada individu-individu kerana mereka yang menentukan kemenangan kepada calon,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK tersebut di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata Mat Razi, bekas penolong pegawai pendidikan daerah Tumpat, merupakan calon yang sesuai untuk bertanding di kawasan berkenaan.
“Dia (Mat Razi) calon terbaik dalam kalangan yang terbaik dan mempunyai latar belakang agama yang kukuh,” katanya.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ketokohan Mat Razi mampu menarik minat pengundi untuk terus menyokong BN.
“Dia seorang tokoh yang berwibawa dan kita yakin pemilihan penduduk di sini bukan sahaja dari segi pembangunan.
“Mereka inginkan tokoh yang membantu masyarakat kerana sebelum menjadi wakil rakyat lagi dia dah punyai tempat pendidikan dan sudah ada khidmat yang dicurahkan, oleh itu saya yakin dia (Mat Razi) dapat memberikan perkhidmatan,” katanya.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kekuatan dan perpaduan yang ada pada BN akan membolehkan parti terus kekal di Pengkalan Kubor.
“Kita siap sedia untuk menghadapi PRK yang penting dan bermakna ini, saya yakin calon kita merupakan calon yang baik dan berkaliber untuk meneruskan legasi Allahyarham Noor Zahidi,” katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pendekatan kempen secara menyeluruh akan digunakan sepanjang PRK ini.
“Kita akan mendekati semua pengundi, sentuhan sama rata akan diberikan kepada seluruh penduduk. Strategi (kempen) dari rumah ke rumah digunakan dan ia akan bermula petang ini,” katanya.
Beliau berkata Mat Razi yang merupakan calon setempat adalah calon yang tepat untuk bertanding pada PRK ini kerana beliau tentu faham naluri penduduk di sini dan meneruskan legasi Allahyarham Noor Zahidi.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pergerakan yakin calon BN itu mampu memberikan kemenangan pada PRK ini.
“Kita rasa rakyat dapat menerima calon kita dengan baik kerana beliau (Mat Razi) merupakan calon anak pondok BN dan juga penduduk tempatan. BN mampu capai kemenangan kerana kita sebuah parti yang stabil dan tidak bercakaran antara satu sama lain serta menepati janji,” katanya.
Beliau berkata pada PRK ini seramai 1,000 jentera Wanita dikenali sebagai Jalinan Rakyat akan membantu kempen BN dan persiapan rapi telah dibuat untuk tujuan itu.
PRK Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, , calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Noor Zahidi daripada BN pada 20 Ogos lepas.
Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Shaharun Ibrahim dan Izat Bukhary yang juga bertanding sebagai calon Bebas, dengan majoriti 1,736 undi.
Sumber :- http://www.umno-online.my/?p=112968
No comments:
Post a Comment