Pages

Monday, September 15, 2014

Jangan ganggu empat perkara utama


BESUT – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran agar jangan ada pihak cuba mengganggu empat teras utama yang menjadi tonggak perundangan negara kerana ia adalah kontrak sosial yang telah dipersetujui sejak sekian lama.

Menurutnya, sebarang gangguan terhadap perkara tersebut boleh menjejaskan kestabilan hidup dan perpaduan dalam masyarakat di negara ini.

“Jangan cuba nak mengganggu empat perkara ini kerana kami, Umno dan kerajaan akan memastikan tindakan setegas-tegasnya berasaskan kepada undang-undang yang diambil ke atas mereka dan saya ingin tegaskan bahawa tiada kompromi dalam perkara ini dan kepada mereka berkenaan, jangan cuba mencabar perlembagaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Besut Gong Kemuntong dekat Jertih, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Umno Bahagian Besut, Nawi Mohamad.

Ahmad Zahid berkata, Umno akan menjadi benteng paling hadapan jika empat perkara tersebut diganggu iaitu Islam sebagai agama rasmi persekutuan, Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, penguatkuasaan Akta Hasutan yang dilakukan ke atas beberapa individu sebelum ini adalah antara bukti jelas kerajaan tidak pernah bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keadaan tidak aman di dalam negara.

Beliau juga mahukan semua pihak memberikan kepercayaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengenai Akta Hasutan yang dikatakan akan digantikan dengan undang-undang lain.

“Akta Hasutan masih berkuat kuasa dan undang-undang baru belum lagi dibentangkan ke Parlimen dan jika diganti sekali pun, roh akta berkenaan tetap ada pada undang-undang yang baru tersebut.

“Malah saya diberitahu tidak kurang 32 bahagian Umno membawa usul untuk mempertahankan Akta Hasutan ini pada mesyuarat perwakilan mereka dan kerajaan sentiasa mendengar demi kebaikan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu beliau meminta Peguam Negara tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba ‘mencabut’ Sabah dari Malaysia.

Sumber :-  http://www.umnobahagianbesut.com/jangan-ganggu-empat-perkara-utama/

No comments:

Post a Comment