Terengganu bakal mengaplikasi mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) atas talian dikenali sebagai e-MMKN, tidak lama lagi.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, penggunaan tablet yang menggunakan talian itu sebagai transformasi terbaharu bagi melancar dan memudahkan urusan pentadbiran yang membabitkan pelbagai isu serta dasar kerajaan negeri, hanya menerusi sentuhan di hujung jari.
“Selepas ini, mesyuarat mingguan Exco tidak lagi membawa kertas Exco, fail-fail dan buku-buku rujukan yang tebal sebaliknya hanya membawa tablet yang menggunakan konsep seperti minit mesyuarat Exco.
“Kita dalam proses mengemaskini dan menambahbaiknya supaya penggunaan alat ini akan lebih menyeluruh di kalangan Exco,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.
Ahmad Razif berkata, penggunaan tablet yang menghubungkan akses internet dan aplikasi Google akan menyimpan serta menyalurkan maklumat penting negeri termasuk carian mengenai tanah, lokasi serta imejnya secara terus kepada semua ahli mesyuarat.
Menurutnya, data dan maklumat permohonan tanah juga akan terkumpul, tersimpan dengan tersusun serta lebih lengkap menerusi sistem dalam talian itu.
Tambahnya, penggunaan alat komunikasi pintar dalam mesyuarat Exco itu akan diaplikasikan sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan lagi.
“Kita juga akan mengkaji secara menyeluruh bagi menggunakannya sebagai rujukan dan boleh menghubungi menerusi Skype denagn pihak sepatutnya atau mungkin menghubungi wakil rakyat serta Exco melalui sidang video jika berada di luar negara, bagi membolehkan mereka menyertai mesyuarat walaupun berada di luar kawasan menerusi sidang video dan Skype.
“Penggunaan tablet yang kita sediakan itu akan mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, malah selaras juga dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu Sebagai Negeri Anjung Ilmu,” katanya.
No comments:
Post a Comment