Pages

Saturday, September 13, 2014

Empat Kampung Terpilih Dalam Program Desa Lestari


BHM_2261
Empat buah kampung di Terengganu antara yang dipilih dalam menyertai Program Desa Lestari anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
Kampung yang terpilih tersebut ialah Kampung Teluk Ketapang (Kuala Terengganu), Kampung Alor Limbat (Marang), Kampung Tok Dor (Ajil) dan Kampung Pasir Gajah (Kemaman).
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexandar Nanta Linggi, program ini adalah satu usaha mewujudkan kawasan luar bandar maju, menarik dan menguntungkan untuk didiami, termasuk golongan muda.
“Melalui usaha ini, kita dapat mewujudkan kawasan luar bandar yang maju sekaligus meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan ini termasuklah belia.
“Kampung yang terpilih ini akan diberi peluang untuk membangunkan projek-projek ekonomi melalui koperasi bagi meningkatkan pendapatan dan membuka peluang pekerjaan baru kepada masyarakat setempat”, katanya.
Alexandar ditemui ketika merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa Zon Timur 2014 di RTC Terengganu, Bandar Al Muktaffi Billah Shah, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan dan Kepenggunaan Negeri,  Roslee Daud dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Ir Rosli Othman.
Sehingga kini, sebanyak 42 kampung telah terpilih dalam program itu dengan peruntukan berjumlah RM70.85 juta.

No comments:

Post a Comment