Pages

Monday, September 15, 2014

UMT Berdikari Peroleh Pendapatan


Dr Ibrahim melawat gerai pameran pada Majlis Menghayati 2 Tahun Tranformasi UMT, di universiti itu, hari ini.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhasrat untuk berdikari dengan mencari pendapatan sendiri menerusi penyelidikan berkualiti dan mempelbagaikan sumber ekonomi.

Usaha itu mampu mengurangkan kebergantungan sumber peruntukan kerajaan sehingga 70 peratus sehingga tempoh 20 tahun akan datang.

Naib Canselor UMT Prof Dato’ Dr Ibrahim Komoo, berkata walaupun hasrat itu bukan mudah untuk dicapai, pihaknya akan melakukan tranformasi ke arah itu secara berperingkat-peringkat.

Katanya, bagi mencapai sasaran itu, mereka yang berkaitan perlu menjalankan penyelidikan secara berfokus, terutama berkaitan ilmu penerbitan jurnal , pembinaan teknologi dan perniagaan industri.

“Usaha itu bukan saja diyakini mampu menambah pendapatan universiti malah Terengganu dan negara.

“UMT kini secara beransur sudah memperoleh pendapatan tahunan sebanyak 12 peratus, hasil bayaran yuran pengajian pelajar luar negara dan penyelidikan tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Menghayati Dua Tahun Tranformasi UMT, di universiti itu, hari ini.


Sebanyak 40 hasil tranfomasi UMT dipamerkan untuk tatapan umum, khususnya pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan.

Dr Ibrahim turut memberitahu, UMT turut memperoleh sumber hasil penyelidikan yang dipatenkan dan dana daripada syarikat tertentu yang mahu melihat kejayaan pelajar serta menghasilkan kajian terbaik.

“Kita sudah daftar 25 hingga 30 paten hasil penyelidikan dan tiga daripadanya telah mendatangkan hasil, apa yang dicapai itu antara yang tertinggi di antara 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA),” katanya.

Sumber :- http://teganukita.my/umt-berdikari-peroleh-pendapatan/

No comments:

Post a Comment