Pages

Wednesday, September 10, 2014

Kerajaan Ambil Berat Rungutan Penduduk

Muhammad Pehimi bersama Anwa dalam Program 1,000 Langkah di Sri Medang.
Muhammad Pehimi bersama Anwa dalam Program 1,000 Langkah di Sri Medang.
BESUT – Kerajaan negeri melalui jabatan kesihatan negeri memandang serius rungutan penduduk Pulau Perhentian yang mahukan kemudahan perubatan lebih baik di pulau peranginan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, rungutan yang disuarakan penduduk mengenai ketiadaan doktor, peralatan lebih baik dan penambahan pemandu bot akan diberi perhatian.
Menurutnya, Klinik Kesihatan Pulau Perhentian itu yang dinaik taraf daripada Klinik Desa sebelum ini kini mempunyai seorang pembantu perubatan (MA), dua jururawat masyarakat dan seorang pemandu bot ambulans.
“Saya dimaklumkan jabatan kesihatan negeri, klinik tersebut memang mempunyai peruntukan perjawatan seorang pegawai perubatan (doktor) dan dua pemandu bot tetapi disebabkan halangan tertentu termasuk tempat tinggal menyebabkan perkara itu tidak dapati dipenuhi lagi.
“Bagaimanapun jabatan berkenaan sedang berusaha menyediakan kemudahan itu, malah jabatan mempunyai satu ruang tanah di perkampungan itu untuk pembinaan klinik kesihatan baru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya Sinar Harian mengenai rayuan penduduk pulau tersebut dalam satu program di Klinik Kesihatan Sri Medang.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Anwa Sulaiman.
Muhammad Pehimi berkata, sebagai langkah sementara, beliau akan meminta jabatan kesihatan memperbaharui perjanjian dengan Jabatan Laut Malaysia atau agensi lain bagi membantu menghantar pesakit termasuk dalam kes kecemasan di Pulau Perhentian ke tanah besar ketika pemandu bot klinik kesihatan bercuti atau sebagainya.
“Kita mahu memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat walaupun mereka tinggal di pulau termasuk juga pelancong yang bercuti di situ,” katanya.
Sebelum ini Sinar Harian menyiarkan keluhan Pengerusi JKKK Pulau Perhentian, Zainuddin Mohamad yang menyuarakan kehendak 2,000 penduduk pulau agar sebuah klinik yang lebih lengkap bersama doktor dan dua pemandu bot disediakan.
–sinar

No comments:

Post a Comment