Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar memberitahu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini bahawa kebanyakan generasi muda yang baru berumahtangga di negeri ini dikenalpasti belum mampu memiliki kediaman sendiri.
Katanya, situasi itu cukup jelas, terutama membabitkan generasi kedua penoroka felda di mana ketika ini dapat 7,459 keluarga masih gagal memiliki kediaman sendiri.
“Apabila situasi ini berlaku, sudah pasti mereka akan bersesak di rumah ibu bapa, walaupun tidak selesa, terpaksa melalui keadaan itu kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk membina rumah sendiri atau menyewa rumah.
“Oleh itu, saya menyeru kerajaan negeri supaya bekerjasama erat dengan pengurusan Felda bagi membantu pembinaan kediaman mampu milik generasi kedua ini.
“Pihak itu boleh membantu dengan mempercepatkan proses penyerahan tanah-tanah milik kerajaan yang berada di kawasan Felda,” katanya.
Mohd Iskandar turut menyentuh berkaitan kebersihan dan keselamatan masjid kerajaan di seluruh Terengganu di mana tahap kebersihan masih belum mencapai peringkat cemerlang.
“Banyak lagi masjid tidak bersih dan kurang selesa untuk jemaah menggunakan tandas dan mengambil wudhu’.
“Oleh itu, sebaik-baiknya kerajaan negeri memperuntukan sejumlah perbelanjaan bagi menanggung kontrak kebersihan dan keselamatan masjid di seluruh Terengganu,” katanya.
No comments:
Post a Comment