Pulau Perhentian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari daratan Pekan Kuala Besut, berkemungkinan wujud hasil daripada gabungan Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil yang terdapat di pulau tercantik di Malaysia itu.
Kedua-dua pulau atau dikenali sebagai pulau berkembar itu dilitupi rimbunan hutan simpan, di celah-celahnya pula terdapat beberapa laluan pintas untuk menuju ke beberapa kawasan perairan pantai berdekatan.
Destinasi yang sememangnya tersohor dengan kecantikan terumbu karang; keaslian dan keindahan alam semula jadi di lautan dan daratan itu kerap kali menjadi pilihan pelancong tempatan dan luar negara untuk berbulan madu dan bercuti bersama keluarga atau sahabat handai.
Tidak rugi, sekiranya menghabiskan masa di Pulau Perhentian kerana di destinasi itu pasti menjanjikan kedamaian dan kepuasan dengan pelbagai aktiviti seperti snorkeling, menyelam, menjelajah hutan dan bebeku.
Sekiranya pelancong berminat untuk bermalam, terdapat lebih kurang 1,000 bilik penginapan yang ditawarkan 42 pengusaha rumah panjang, chalet dan resort. Harga yang ditawarkan sangat berpatutan iaitu serendah RM50 hingga RM250 semalam.
Sekiranya berkemampuan dan inginkan keselesaan, mereka boleh menginap di resort bertaraf empat bintang yang dilengkapi penghawa dingin.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata Pulau Perhentian merupakan salah satu destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia.
Katanya, kejernihan air laut serta kepelbagaian hidupan marin yang masih cantik dan terpelihara, menjadikan ia antara destinasi pelancongan terbaik di antara pulau di Malaysia.
“Seiring dengan keindahan pulau itu sendiri, ia juga turut popular dengan aktiviti-aktiviti seperti snorkeling, menaiki bot, perkhemahan dan melihat penyu bertelur.
“Selain itu, ia juga turut menjadi tumpuan pelancong yang ingin melakukan aktiviti menyelam skuba melalui sijil bertauliah yang diiktiraf di peringkat dunia sahaja,” katanya.
Mohd Jidin, berkata aktiviti seperti menjelajah hutan dan juga penyelidikan tumbuhan semula jadi juga boleh dilakukan di Pulau Perhentian.
“Kerajaan negeri berusaha memajukan dan memperkenalkan lagi Pulau Perhentian ini sebagai destinasi pelacongan dengan mengawal pembangunan supaya mengekalkan ciri-ciri alam semulajadi,” katanya.
No comments:
Post a Comment