Kerajaan negeri bakal melaksanakan konsep terbaharu menyelesaikan isu perumahan apabila projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) dibangunkan secara rumah teres, akhir tahun ini.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sebagai permulaan, sebanyak 170 unit rumah teres PPRT itu akan dibina di 17 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.
“Kita menggunakan konsep cara lama dimensi baru menerusi peruntukkan sebanyak RM400,000 untuk membina 10 unit rumah teres di setiap DUN. Sebelum ini, kebanyakan projek yang kita laksanakan itu tidak mampu dilaksanakan apabila kontraktor berdepan margin keuntungan kecil, jadi mereka tidak berminat membangunkan rumah PPRT berkenaan.
“Selain itu, pemohon yang mahukan rumah PPRT ini perlu ada tanah sendiri. Jadi bagi menyelesaikan isu itu, saya mencadangkan supaya pembaharuan dilaksanakan dengan membina rumah PPRT berkonsepkan teres,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran Baiti Jannati oleh TNB yang menyumbangkan sebuah rumah kepada penduduk miskin di Kampung Hulu Takir, Kuala Nerus, hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah-2) Bahagian Pembahagian TNB, Ir Abdul Aziz Abdul Majid dan Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu, Ir Saharenam Mukhtar.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan wakil rakyat di kawasan berkenaan mengenalpasti tanah dianggarkan berkeluasan lebih satu hektar untuk dibangunkan rumah berkenaan serta kemudahan yang bersesuaian dengan segera .
Menurutnya, konsep itu juga dapat membantu dua pihak, iaitu pemohon dan pemaju projek supaya sama-sama memperolehi keuntungan dan faedah dari pembaharuan yang mahu dilaksanakan itu.
“Setiap kontraktor Kelas F atau G1 mungkin akan membangunkan lima unit rumah dengan kos RM200,000. RM40,000 untuk kos rumah sahaja, manakala menambun tanah, jalan, pemasangan paip dan peruntukan yang lain kita akan menggunakan sumber pembangunan yang lain.
“Kontraktor membina rumah, membuat jalan dan juga menyediakan fasiliti, di mana membabitkan ramai kontraktor akan terlibat dalam pembangunan rumah PPRT teres itu nanti,” katanya.
Dalam pada itu, katanya kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan mana-mana syarikat korporat seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mahu melaksanakan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat dalam pelaksanaan rumah teres PPRT itu.
Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga bersedia menyediakan kemudahan pendidikan dan prasarana yang lebih lengkap untuk projek rumah teres PPRT ini apabila keadaan memerlukan.
“Buat permulaan, kita bina 10 unit dahulu di 17 Dun itu dan mungkin TNB at au Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pun boleh membina dua unit rumah untuk orang miskin.
“Lama-kelamaan, apabila jumlahnya sudah bertambah dan menjadi satu penempatan kekal yang besar, sudah pasti kemudahan asasnya juga akan dinaiktaraf yang secara tidak langsung merancakkan lagi sektor ekonomi penduduk setempat, terutama kontraktor kelas F dan yang terlibat dalam industri pembinaan rumah,” katanya.
No comments:
Post a Comment