Kerajaan negeri bercadang merobohkan semua gerai di Pintasan Banggol, Kampung Tiong dan menggantikannya dengan konsep kiosk yang lebih eksklusif serta dilengkapi penghawa dingin.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya meminta Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) supaya mengubahsuai kedai di sepanjang laluan itu kepada kiosk yang lebih sistematik dan menarik tumpuan ramai pelanggan.
“Saya cadangkan kepada MBKT supaya dirobohkan semua kedai dan kita bangunkan dengan premis yang baru, supaya memberi ruang dan peluang kepada peniaga kecil memajukan diri dan menjadi peniaga yang lebih hebat pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut susulan laporan akhbar Sinar Harian, hari ini mengenai dakwaan peniaga bahawa lokasi itu menjadi tumpuan penagih dan urusan pelacuran.
Ahmad Razif berkata, kajian pembangunan semula dan pengubahsuaian kedai akan dilaksanakan sepenuhnya oleh MBKT dengan mengambil kira pelbagai faktor merangkumi penyelenggaraan elektrik, penghawa dingin dan pelbagai keperluan lain.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga merancang untuk mengumpul dan menempatkan peniaga bazar dan kiosk yang terdiri dari kalangan peniaga kecil di seluruh Terengganu di lokasi yang lebih strategik dengan bantuan serta bimbingan agensi-agensi kerajaan.
“Pada masa yang saya sama kita juga mahu menjaga kebersihan dan keindahan sekitar pusat tumpuan ramai di bandar kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga meminta lebih banyak maklumat mengenai permasalahan rakyat disalurkan kepada Pejabat Menteri Besar supaya pihaknya dapat bertindak segera bagi menyelesaikan setiap isu yang diutarakan.
Sebelum itu, Ahmad Razif menjelaskan lawatan ke Pintasan Banggol itu bagi mengesahkan berita yang tersiar dalam akhbar Sinar Harian, selain bertemu serta mendengar sendiri keluhan peniaga yang berdepan dengan pelbagai masalah sepanjang berniaga di situ.
“Apabila dilaporkan (Sinar Harian) mengenai dadah dan juga pelacuran, jadi saya terkejutlah, sebab Kuala Terengganu, saya merasakan sukar kita menemui tempat sebegitu. Jadi saya minta supaya pemberita salurkan maklumat kepada kita mengenai apa yang berlaku.
“Bagaimanapun, saya minta supaya perkara itu diajukan kepada pihak polis dan penguatkuasa agama supaya mengambil tindakan mengenai masalah sosial yang disebut tadi,” katanya.
No comments:
Post a Comment