Asrama Mansurah, Mesir aset Yayasan Terengganu di luar negara |
“Tiada sebarang kaitan dengan Menteri Besar sekarang Dato’ Haji Ahmad Razif Abd.Rahman tentang pembelian bangunan Asrama Mansurah di Mesir kerana segala keputusan pembelian dibuat oleh keputusan bersama oleh Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu,” kata Ketua Penolong Pengarah Yayasan Terengganu (Teknikal dan Pengurusan Harta) Haji Mazlan Mohamad.
Katanya, pembelian asrama itu dibuat atas hasrat untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pelajar-pelajar Terengganu di bawah biayaan Yayasan Terengganu, khususnya bagi jurusan perubatan yang hamper 150 orang.
Sesiapa pun boleh mendakwa mahal dan sebagainya, tetapi keputusan pembelian dibuat atas pengesyoran dan keputusan bersama ahli Pemegang Amanah waktu itu tanpa membuat nilaian dan melihat keadaan sebenar,katanya.
Malah pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun membuat siasatan dan didapati Yayasan Terengganu telah membuat pembelian dengan cara yang betul, tidak ada sebarang penyelewengan berlaku ke atas pembelian bangunan kondo yang bernilai RM13 juta waktu itu (Ringgit Malaysia).
“Bangunan ini telah menjadi aset atau harta milik Yayasan Terengganu dan saya adalah pegawai yang menguruskan berkaitan harta/aset Yayasan Terengganu,” jelasnya.
Artikel penjelasan ini ditulis selaras dengan laporan polis yang telah dibuat oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman baru-baru ini yang menfitnah beliau berkaitan pembelian asrama berkenaan pada tahun 2010, ketika menjadi Exco Pendidikan.
Laporan polis dibuat oleh Setiausaha Khas Menteri Besar, Ahmad Nizam Abdul Karim.
Laporan itu dibuat selepas mendapati terdapat tiga fitnah terhadap Dato’ Ahmad Razif, pertama menerusi facebook Roslan Bin Abdullah, kedua menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada orang awam daripada nombor yang tidak dikenali dan ketiga menerusi Youtube yang memaparkan petikan ceramah Ambang Merdeka oleh ADUN PAS Bukit Payong, Mohamad Nor Hamzah.
Ceramah Mohamad Nor yang juga Ketua Penerangan Pas Terengganu itu yang dimuatnaik ke Youtube yang berdurasi 28 minit 40 saat dan menyentuh isu tersebut di Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu pada 30 Ogos lalu berkaitan fitnah dibuat terhadap Dato’ Haji Ahmad Razif tentang pembelian asrama pelajar Mansurah di Mesir oleh kerajaan negeri.
Haji Mazlan berharap, sebarang kemusykilan dan maklumat yang jelas mengenai pembelian asrama itu boleh dirujuk kepada pihak Yayasan Terengganu dan jangan sekali-kali membuat tuduhan yang melulu .
“Apa yang penting, pihak Yayasan Terengganu telah disahkan membuat pembelian dengan cara yang betul, tiada penyelewengan dan tiada kaitan dengan Menteri Besar sekarang yang membuat keputusan pembelian itu kerana ia adalah keputusan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu secara kolektif,” ujarnya.
Sumber :- http://teganukita.my/pembelian-asrama-mansurah-bukan-keputusan-dato-ahmad-razif-tetapi-keputusan-lembaga-pemegang-amanah-yt-kata-kpp-teknikal-pengurusan-harta/
No comments:
Post a Comment