Pages

Sunday, September 21, 2014

PPNT Sasar Perolehan RM22.90 Juta Tahun Depan


Zakaria Abd RahmanPertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) mengunjurkan pendapatan perolehan perniagaan sebanyak RM22.90 juta dan pendapatan kumpulan sebanyak RM51 juta pada tahun hadapan.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPNT Dato’ Wan Zakaria Abd Rahman berkata, PPNT  yang bernaung di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang juga mensasarkan untuk meraih keuntungan bersih pertubuhan sebanyak RM1.30 juta dan keuntungan kumpulan berjumlah RM2.5 juta.
“Semua projek PPNT akan mengambil kira objektif pertubuhan selain peka dengan dasar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam meningkatkan pengeluaran bahan makanan serta menangani isu kenaikan harga barang dan orang tengah. Walaupun PPNT mencatat kerugian sebanyak RM246,745 bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2013, ia dilihat masih kukuh.
“Antara faktor yang menyebabkan kerugian PPNT ialah penerimaan pendapatan dividen pelaburan PPNT yang berkurangan daripada TH Plantation Bhd,” katanya kepada pemberita di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPNT Kali Ke-40 Tahun 2014, di Wisma Peladang Terengganu, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi Negeri, Nawi Mohamad.
Wan Zakaria berkata, bagi 2013 PPNT hanya menerima pulangan dividen sebanyak RM261,423.66 sahaja berbanding RM787,597.83 pada 2012.
Bagaimanapun Wan Zakaria yakin bagi 2014 dan tahun seterusnya, PPNT akan mencatat keuntungan yang lebih baik dalam jangka masa panjang dengan perkembangan semasa serta terlaksananya beberapa projek ekonomi perladangan dan pembangunan hartanah.
“Antara projek itu termasuklah projek ladang kelapa sawit RTB Sungai Tongkat, pembinaan Wisma Peladang Kedua dan Peladang Boutique Hotel serta kilang tepung vitato, yang dijangka diserahkan oleh Mardi (Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia) kepada PPNT pada akhir tahun 2014,” katanya.
Tambah beliau, PPNT kini mempunyai aset semasa sebanyak RM12.2 juta dan aset semasa kumpulan melebihi RM21.5 juta.

No comments:

Post a Comment