Ahmad Razif memotong riben sebagai gimik menyerahkan rumah kepada Mohd (topi merah) di Majlis Kesyukuran Program Baiti Jannati TNB Peringkat negeri Terengganu, di Kampung Hulu Takir, Kuala Nerus. |
“Terima kasih Cikgu Razif (menteri besar) sebab usaha beliau kami sekeluarga tidak lagi perlu lagi menumpang di tanah orang,” kata Mohd A Rahman, 62, selepas menerima rumah sumbangan syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Penyerahan rumah berkenaan disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, sempena Majlis Kesyukuran Program Baiti Jannati TNB Peringkat negeri Terengganu, di Kampung Hulu Takir, Kuala Nerus, semalam.
Turut hadir, Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah-2) Bahagian Pembahagian TNB, Ir Abdul Aziz Abdul Majid dan Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu, Ir Saharenam Mukhtar.
Mohd dari Kampung Batin yang bekerja sebagai penjahit pukat, berkata dengan kudrat yang kian terbatas serta mata kabur selepas pembedahan, dia tidak mampu untuk mengumpul wang bagi membina kediaman yang lebih selesa sehingga terpaksa menumpang di tanah orang sepanjang 15 tahun lalu.
Bagaimanapun, hasil keprihatinan menteri besar yang juga Adun Seberang Takir, dia terpilih menerima rumah yang disumbangkan TNB dan tanah dari kerajaan negeri yang sangat selesa serta dilengkapi kemudahan perabut dan peralatan untuk dimanfaatkannya bersama isteri Mek A’ah Endut, 55, dan sembilan anak berusia 13 hingga 34 tahun.
Ir Abdul Aziz |
“Encik Mohd antara penerima dari golongan miskin yang bertuah selepas dipilih Menteri Besar untuk mendapat manfaat dari kerjasama kerajaan negeri dan TNB pada kali ini.
“Kita berharap penerima akan dapat mengurangkan beban dan lebih selesa menerusi kemudahan rumah yang kita sediakan dengan dilengkapi tiga bilik tidur, ruang tamu serta tandas yang sempurna, lebih-lebih lagi akan menyambut Aidiladha tidak lama lagi,” katanya.
Sumber :- http://teganukita.my/terima-kasih-cikgu-razif-mohd/
No comments:
Post a Comment