Anak pemandu bas, Mohamed Farris Mohamed Ishak, 23, muncul penerima Anugerah Graduan Cemerlang Keseluruhan bagi pengambilan Januari 2013 pada Majlis Konvokesyen Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep),Kuala Nerus, semalam.
Lebih membanggakan, bekas graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu sudah memulakan khidmat di sebuah syarikat cari gali minyak sejak Julai lalu.
“Alhamdulillah, impian saya untuk bekerja dengan syarikat minyak dan gas akhirnya tercapai, sebaik tamat pengajian peringkat diploma di UniKL, saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian peringkat sijil dalam jurusan Elektrik di Instep.
“Kejayaan ini adalah hasil dorongan keluarga terutama ibu dan ayah, meskipun tempoh pengajian hanya setahun, namun ilmu diperoleh begitu banyak dan membantu saya hingga di tahap sekarang,” katanya.
Menurut anak pasangan, Mohamed Ishak Mohamed Ali,46 dan Thajunisia Saa Abdul Wahid,44 itu lagi, dia juga sentiasa fokus didalam kelas selain turut mengadakan perbincangan dengan rakan sekelas.
Sementara itu, satu-satunya pelajar wanita yang menerima anugerah graduan cemerlang, Khalilah Khairuddin,23, pula berkata, walaupun terpaksa bersaing dalam bidang dikuasai lelaki, namun keadaan itu tidakmenghalangnya untuk berjaya.
“Alhamdulillah, penat lelah bertungkus-lumus pelajar selama ini nyata berbaloi apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Graduan Cemerlang Jurusan Makmal/Analitikal,” kata bekas graduan bidang sains dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Menurut Khalilah, keputusan melanjutkan pelajaran peringkat sijil di Instep merupakan langkah tepat apabila dia ditawarkan berkhidmat di syarikat Petronas Research Sdn Bhd di Bangi, Selangor.
No comments:
Post a Comment