Pages

Thursday, September 11, 2014

“Tuan-Tuan Adalah Saya Dan Saya Adalah Tuan-Tuan” – Mat Razi

Mat Razi Mat Ail

Calon BN, Mat Razi Mat Ail berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana menaruh kepercayaan dan memilihnya untuk mempertahankan DUN Pengkalan Kubur pada Pilihan Raya Kecil DUN itu 25 September ini.

Katanya, untuk memastikan legasi kecemerlangan BN yang ditinggalkan penyandang bagi kerusi itu, Allahyarham Dato’ Noor Zahidi Omar dapat dipertahankan, beliau amat memerlukan sokongan semua pihak.

”Siapalah saya kalau tidak tuan-tuan, tuan-tuan adalah saya dan saya adalah tuan-tuan, bantulah saya dan berilah kerjasama bagi memastikan kemenangan BN,” katanya.

Mat Razi, 49, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mat Razi dilahirkan di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor pada 19 November 1965.

Beliau adalah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian,

Bapa kepada enam cahaya mata dan suami kepada Khairos Husin itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sejarah dan Persuratan Melayu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mat Razi mula bergiat dalam politik sejak 1990 dan sepanjang tempoh itu, beliau pernah memegang beberapa jawatan seperti Setiausaha UMNO Cawangan Simpangan, AJK Pemuda UMNO Bahagian serta AJK UMNO Bahagian.

Selain terlibat dalam dunia politik, Mat Razi yang pernah menimba ilmu di sekolah pondok juga merupakan bekas guru al-Quran, qari, AJK dan imam sambilan di Masjid Simpangan sejak 2003 dan aktif menguruskan jemaah yang ingin mengerjakan umrah sejak dua tahun lalu.

Beliau juga adalah pengasas kepada Pondok Simpangan, Tumpat di atas tanah wakafnya sendiri di Kampung Simpangan yang memberi pendidikan agama percuma kepada para pelajar.

Sumber :- http://teganukita.my/tuan-tuan-adalah-saya-dan-saya-adalah-tuan-tuan-mat-razi/

No comments:

Post a Comment