Pages

Monday, September 15, 2014

PRK Pengkalan Kubor : Jentera UMNO Terengganu Kekal Tradisi Kempen Rumah Ke Rumah


Ahmad Razif dan Mat Razi bersama jentera BN pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor di PDM Tujoh, malam tadi. Foto oleh Harish Fadzillah

Jentera UMNO Terengganu mengekalkan tradisi berkempen dari rumah ke rumah dalam usaha untuk menawan hati pengundi pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor.

Pengerusinya, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, UMNO dan BN Terengganu ditugaskan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tujoh bersama UMNO Bahagian Ketereh.

“Kita sudah mengenal pasti kesemua pengundi yang hendak ditemui dan jentera kita sudah ada pengalaman mengekalkan kemenangan BN pada PRK DUN Kuala Besut tahun lepas.


“Kita akan menggunakan kaedah dan pengalaman itu untuk menentukan kita tidak melakukan kesilapan dan berjaya mengekalkan kemenangan BN dengan majoriti bertambah pada PRK DUN Pengkalan Kubor,” katanya.

Ahmad Razif berkata demikian kepada media selepas bertemu jentera UMNO di PDM Tujoh malam tadi. Hadir sama, Ketua Misi jentera UMNO Negeri, Nawi Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut serta kepimpinan UMNO Terengganu.

Turut berkesempatan hadir dalam pertemuan itu, Calon BN, Mat Razi Mat Ail.

Ahmad Razif berkata, jentera UMNO Terengganu yang berkampung sepanjang kempen itu akan memberi beberapa penjelasan kepada pengundi, antaranya peranan kerajaan BN dalam membawa kemajuan kepada rakyat.


“Pada pilihan raya umum yang lalu, PDM Tujoh dimenangi BN dengan majoriti kecil hanya 4 undi. Ini cabaran besar buat jentera UMNO Terengganu untuk meningkatkan jumlah majoriti dan sokongan pengundi.

“Kita tidak akan pandang rendah dengan perkara ini dan akan bekerjasama penuh dengan jentera tempatan di cawangan-cawangan,” ujarnya.

Sumber : - http://teganukita.my/prk-pengkalan-kubor-jentera-umno-terengganu-kekal-tradisi-kempen-rumah-ke-rumah/

No comments:

Post a Comment