Pages

Monday, September 22, 2014

Terengganu, Singapura Mahu Tingkat Kerjasama


masagos_zulkifli
Masagos Zulkifli
Menteri Negara Kanan Hal Ehwal Luar dan Dalam Negeri Singapura, Masagos Zulkifli dan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman bersetuju untuk meningkatkan interaksi ekonomi dan hubungan rakyat dengan rakyat antara republik itu dan Terengganu.
Kementerian Hal Ehwal Luar dalam kenyataannya semalam menyatakan perbincangan itu berlangsung ketika Masagos mengunjungi Ahmad Razif di Kediaman Seri Iman, Batu Burok.
Masagos, yang mengadakan lawatan kerja dua hari ke Terengganu kemudian menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan memaklumkan mengenai hubungan mesra yang sedia terjalin antara Singapura dan Terengganu.
Beliau juga diberi taklimat oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur mengenai rancangan untuk memesatkan pertumbuhan dan pembangunan di Terengganu.
Kedua-dua agensi itu berminat untuk menarik lebih banyak pelaburan Singapura ke Terengganu terutama dalam pembangunan infrastruktur pelancongan.
Masagos turut menghadiri Festival Peranakan Terengganu sebagai tetamu penganjurnya, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu.
Semasa di Terengganu, Masagos mengadakan pertemuan dengan pegawai dan pemimpin perniagaan tempatan termasuk daripada Dewan Perniagaan Melayu Terengganu.
Masagos akan berlepas pulang hari ini.

No comments:

Post a Comment