Presiden PAS, Dato’ Sri Abdul Hadi Awang menasihatkan Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali supaya menunaikan amanah kepada rakyat dengan sebaik mungkin tanpa menyalahgunakan harta di negeri itu.
“Macam yang saya sebut, jawatan adalah amanah.Jadi saya berharap supaya (Azmin) dapat menunaikan amanah dan harta Selangor adalah amanah, tidak boleh disalahgunakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sidang DUN, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas perlantikan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkuatkuasa hari ini.
“Saya ucap tahniah pada Azmin kerana dilantik menjadi MB Selangor..kami harapkan supaya kemelut di Selangor selesai dengan baik dan Pakatan Rakyat (PR) dapat meneruskan pemerintahan mengikut proses yang selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata, PAS terus kekal dalam PR sebagaimana yang disebut beliau ketika Muktamar Tahunan Pas ke-60 yang lalu dan menafikan PAS pernah meminta jawatan itu sebelum ini.
Abdul Hadi turut menyerahkan kepada Sultan Selangor sama ada mahu mewujudkan kembali jawatan Timbalan Menteri Besar, di mana calon PAS yang disebut-sebut bakal mengisi jawatan itu.
Ketika ditanya mengenai majoriti Adun dalam PR yang dikatakan mahu Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi menteri besar sebelum ini, beliau berkata kedudukan Sultan Selangor adalah lebih tinggi dalam menentukan siapa yang layak memegang jawatan itu.
Sementara itu Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dalam ucapan pembukaan Sidang DUN hari ini turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Azmin dan berharap menteri besar baharu itu dapat meneruskan fokus dalam membela nasib rakyat di Selangor.
Mohamed Azmin, 50, mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor ke-15 di hadapan Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 10.42 pagi ini.
Beliau mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memegang jawatan itu lebih enam tahun bermula 2008.
No comments:
Post a Comment