Pages

Thursday, September 25, 2014

Lima Pengusaha Madu Dari Setiap DUN


DSC_1068 (1)
Nawi
Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) diminta memilih lima penduduk dari kawasan masing-masing sebagai pengusaha madu supaya dapat  menjana pendapatan dan menambah pengeluaran madu tempatan, bermula tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri Nawi Mohamad,  berkata bagi menjayakan hasrat itu, setiap Adun akan dibekalkan 20 sarang lebah madu di rumah masing-masing dan diberikan pengetahuan mengenai selok-belok perusahaan itu oleh agensi berkaitan, terlebih dahulu.
“Kita mahu memastikan madu menjadi satu produk dan ole-ole utama dari sektor pertanian negeri yang menjadi tarikan pengunjung yang datang ke Terengganu.
“Oleh itu, pada peringkat awal kita akan memberi pengetahuan mengenai perusahaan madu kepada semua wakil rakyat di seluruh  Terengganu. Kerajaan negeri  juga bersetuju untuk memasang 20 sarang di setiap rumah wakil rakyat ,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung tahunan Pertubuhan Peladang negeri Terengganu di Wisma Peladang Terengganu, baru-baru ini.
Nawi berkata, peringkat permulaan, 17 Adun akan dibekalkan dengan sarang madu lebah itu dan seterusnya wakil rakyat berkenaan akan memilih lima peserta dari kawasan masing-masing dan menjadikannya keseluruhan 85  pengusaha madu di seluruh Terengganu terlibat dengan projek itu.
Tambah beliau,  usaha terbaharu itu bukan sahaja menjana ekonomi dan sumber pendapatan penduduk, malah menambahkan pengeluaran madu negeri yang kini hanya bergantung kepada pengeluaran madu dari pusat ternakan madu lebah di Sekayu, Pulau Madu di Tasik Kenyir dan Lembah Madu di Mercang, Marang.
Selain itu,pada masa kini  harga madu kelulut agak tinggi mencecah sehingga RM120 sekilogram, berbanding madu biasa RM80 sekilogram.

No comments:

Post a Comment