Tuesday, September 23, 2014
RMM Banggol Tuan Muda Terima 53 Keluarga Pertama
Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman bersama dengan penerima pada Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Kumpulan Pertama Rumah Mampu Milik (RMM) di Banggol Tuan Muda,Kuala Terengganu, semalam. Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail.
Impian 53 keluarga untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila menerima kunci rumah masing-masing semalam.
Lebih manis, kunci itu diserahkan oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman.
Kumpulan itu merupakan penerima pertama bagi projek Rumah Mampu Milik (RMM) Banggol Tuan Muda, Kuala Terengganu yang dibina di atas tanah milik kerajaan seluas 10.7 hektar.
RMM Banggol Tuan Muda secara keseluruhannya merangkumi 300 unit rumah terdiri daripada 25 blok setingkat dengan kos pembinaan RM27.87 juta.
Ia dibangunkan bersebelahan Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) dan jalan baharu empat lorong yang menghubungkan Gemuroh dan Losong.
Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (Dua kanan) menyerahkan replika kunci kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Kumpulan Pertama Rumah Mampu Milik (RMM) di Banggol Tuan Muda, Kuala Terengganu.
Pada majlis sama, 101 keluarga turut menerima surat tawaran untuk memiliki rumah berkenaan.
Ahmad Razif dalam ucapannya berkata, bagi permohonan rumah mampu milik kerajaan negeri telah mengambil inisiatif melancarkan Sistem Pendaftaran Terbuka secara online melalui laman sesawang, eperumahan.terengganu.gov.my
“Sistem secara online telah digunakan bagi mengatasi sistem borang. Tiada lagi bayaran dan masa dibazirkan.
“Sehingga kini, seramai 2,554 pemohon telah menggunakan sistem tersebut,” katanya pada majlis penyerahan kunci rumah dan surat tawaran kumpulan pertama RMM Banggol Tuan Muda, semalam.
Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Halina Zakaria; Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong dan Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato’ Basir Ismail.
Sumber :- http://teganukita.my/rmm-banggol-tuan-muda-terima-53-keluarga-pertama/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment