Pages

Tuesday, September 23, 2014

Hospital UniSZA Jadi Platform Graduan Sumbang Khidmat Kepada Masyarakat


Pembinaan Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bukan sahaja menyediakan jaminan kepada pelajar perubatan di pusat pengajian itu bagi menempatkan diri ketika praktikal selain peluang kerjaya sebaik sahaja menamatkan pengajian, malah dijangka meningkatkan potensi UniSZA sebagai pilihan pertama untuk melanjutkan pengajian terutamanya di peringkat prasiswazah, pada masa depan.

Seorang pelajar Diploma Sains Kejururawatan UniSZA, Nurul Ain Thahirah Mohd Noor, 20, dari Kubang Kerian, Kelantan, berkata dia berasa bangga kerana tempat pengajiannya itu tidak lama lagi akan menjadi pemangkin kepada melahirkan lebih ramai pakar di bidang perubatan, selain berupaya menjadi pusat penyelidikan di bidang perubatan dan sains kesihatan.

“Pasti saya sangat bangga, UniSZA sebagai tempat saya menuntut ilmu di bidang kejururawatan ini akan memiliki hospitalnya sendiri.

“Selepas ini, produk-produk yang dilahirkan UniSZa akan terus menuntut ilmu dan menyumbang khidmat kepada masyarakat di hospital yang sama pula,” katanya.

Sementara Nor Hayati Mohamad, 20, dari Skudai, Johor berkata sebagaimana Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, yang memiliki dan melatih pelajarnya sendiri di hospital yang sama, UniSZA juga akan merealisasikan perkara yang serupa serta mampu memartabat, malah menaikkan prestasi UniSZa terutama pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

“Majlis pecah tanah yang disempurnakan oleh pemimpin nombor satu negara hari ini, menjadi simbolik dan merealisasikan impian kami semua warga UniSZA untuk memiliki hospital sendiri.

“Walaupun berasal dari Johor, saya tetap mahu menabur bakti di Terengganu sekiranya berkesempatan dan berpeluang meneruskan profesion di bidang itu,” katanya.

Perasaan gembira juga dirasai dua rakan baik yang juga pelajar kejururawatan UniSZA, Puteri Nor Amalina Fadilah, dari Kampung Paloh, Kuala Terengganu dan Lilyana Mansor, dari Bentong, Pahang apabila pembinaan hospital itu nanti bakal membuka lembaran baru yang akan menjadi teras kegemilangan untuk melahirkan lebih ramai pakar perubatan dalam negara.

“Saya sangat teruja kerana projek pembinaan hospital ini akan menjadi mercu tanda baharu Terengganu dan UniSZA khasnya.

“Selain itu, kami juga melihat kerajaan negeri dan Pusat hari ini amat prihatin dan peka dengan keperluan di bidang perubatan sebagai inisiatif untuk mensejahterakan rakyat dan kesihatan awam,” kata Lyliana lagi.

Sumber :- http://teganukita.my/hospital-unisza-jadi-platform-graduan-sumbang-khidmat-kepada-masyarakat/

No comments:

Post a Comment