Pages

Monday, September 22, 2014

Kuala Nerus, Hospital UniSZA, Hadiah Istimewa Buat Penduduk


ABDUL RAHIM ABDUL RAZAK
Abdul Rahim Abdul Razak
Khabar gembira yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak hari ini, Kuala Nerus sebagai daerah baharu serta pembinaan Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di kampus universiti itu di Gong Badak, Kuala Terengganu sudah lama dinantikan penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Sekati, Ramli Mat, berkata dia sudah lama mengetahui akan wujud daerah ke lapan, Kuala Nerus, hanya hari ini benar-benar menjadi realiti.
“Harapan pada penubuhan daerah baru itu cukup tinggi, terutama berkaitan peluang pekerjaan kepada lepasan universiti dan golongan belia,” katanya.
MAZNAH IBRAHIM
Maznah Ibrahim
Penduduk Kampung Tepoh, Hamidah Awang, 40, berkata dia berasa cukup bertuah menjadi anak jati Kuala Nerus dan percaya selepas ini pelbagai perubahan dapat dilihat terutama berkaitan pembangunan dan pertumbuhan kawasan perindustrian.
“Golongan belia sewajarnya merebut peluang yang ada ini, bukan saja dalam bidang pekerjaan malah sektor perniagaan.
“Tidak masuk akal sekiranya masih ada penduduk memberi alasan tiada peluang pekerjaan, sedangkan kerajaan tidak putus asa menyediakan ruang menaik taraf ekonomi rakyat,” katanya.
Manakala Guru Sekolah Kebangsaan Bukit Nenas, Maznah Ibrahim pula memberitahu, pembinaan Hospital UniSZA di Kuala Nerus boleh dianggap hadiah terbaik buat penduduk .
RAMLI MAT
Ramli Mat
“Orang ramai, terutama yang menghidapi penyakit kronik tidak perlu lagi mendapat rawatan di luar Terengganu atau bersesak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya.
Seorang lagi penduduk Kg Bukit Tunggal, Abdul Rahim Abdul Razak, berkata pembinaan Hospital UniSZA menambah satu lagi kemudahan penting buat penduduk Terengganu, khasnya Kuala Nerus.
“Daerah baharu ini boleh dianggap cukup istimewa, kerana pelbagai kemudahan tersedia, memiliki dua stadium, dua universiti, lapangan terbang dan pelbagai infrastruktur lain yang sememangnya memberi imej positif,” katanya.

No comments:

Post a Comment