Pages

Monday, September 15, 2014

Bina sekolah Imtiaz di setiap daerah


BESUT – Kerajaan negeri komited membina Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di setiap daerah bagi melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang sains dan agama.

Yang Dipertua Dun Terengganu, Zuber Embong berkata, setakat ini lima daerah mempunyai sekolah berkenaan yang terbukti mampu mengeluarkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi mampu menguasai al-Quran.

Bagaimanapun katanya, pembinaan bangunan di daerah lain tidak dapat dibina menyamai saiz bangunan Kompleks Imtiaz Besut, di sini, kerana menelan belanja tinggi.

“Keistimewaan Kompleks Imtiaz Besut yang indah bersaiz besar adalah sebagai penghargaan kerana di Besut lah bermula sekolah cemerlang ini yang diilhamkan Datuk Seri Idris Jusoh pada 1996,” katanya ketika mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman merasmikan program Himpunan Kesyukuran Imtiaz, di sini, malam kelmarin.

Turut hadir, Menteri Pendidikan 2 merangkap Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengarah Yayasan Terengganu, Mohamad Sulong.

Sementara itu, Idris berkata, rakyat Besut menunggu lima tahun ‘kepulangan’ kompleks Imtiaz itu apabila Ahmad Razif bersetuju menyerahkan semula kompleks tersebut kepada Imtiaz selepas siap pembinaannya.

Menurutnya, sekolah Imtiaz adalah sebuah pusat untuk melahirkan golongan bertakwa dan pada masa sama dinamik serta bijak pandai iaitu golongan Ulul Albab.

“Apabila semua daerah di negeri ini nanti mempunyai sekolah Imtiaz, dijangkakan 1,000 pelajar hafaz al-Quran dalam bidang sains dapat dikeluarkan setiap tahun dan kalau lahir 30 orang saja atau tiga peratus anak Terengganu seperti ini ia sudah mampu menggoncang dunia,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan Sekolah Menengah Imtiaz selaras dengan melahirkan generasi Ulul Albab iaitu berasaskan Quranik (hafiz 30 juzuk al-Quran), Ensiklopedik (berkemahiran tinggi) dan Ijtihadik (keupayaan memberi pandangan dalam penyelesaian umat).

Mohamad Sulong pula berkata, pembinaan kompleks Imtiaz menelan belanja RM87.2 juta melalui tiga fasa yang mula dibina pada 2007 dan siap sepenuhnya tahun ini.
Menurutnya, permintaan memasuki sekolah Imtiaz tinggi melebihi jumlah tempat yang ditawarkan kerana ibu bapa pelajar tahu mengenai kecemerlangan sekolah tersebut.

-sinar

 Sumber :- http://www.umnobahagianbesut.com/bina-sekolah-imtiaz-di-setiap-daerah/

No comments:

Post a Comment