Pages

Tuesday, September 9, 2014

Bantuan RM1,000 Besar Nilai Buat Kami – Pelajar

Khatijah Nurul Syahirah Kamal
Bantuan pendidikan sebanyak RM1,000 kepada pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) mampu meringankan beban golongan itu untuk menyediakan buku rujukan, peralatan pelajaran dan membayar tuisyen tambahan serta kem persiapan untuk menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.

Bagi seorang pelajar, Khatijah Nurul Syahirah Kamal, 19 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, Kuala Terengganu, bantuan itu amat besar nilai kepadanya apatah lagi sudah kehilangan ketua keluarga sebagai tempat bergantung sejak empat tahun lalu

“Bantuan kerajaan RM1,000 ini amat bermakna dan penting kepada saya yang kini belanja persekolahan hanya dibantu kakak dan juga abang selepas kehilangan bapa sejak 2010. Ibu (Ramlah Mamat, 57) tidak bekerja dan hanya suri rumah sepenuh masa.

“Duit ini saya akan manfaatkan sebaik mungkin untuk menyediakan keperluan pelajaran sebelum menjelang peperiksaan nanti,” kata anak kesembilan dari 11 beradik itu lagi.

Khatijah antara 802 pelajar yang menerima bantuan pendidikan Rm1,000 di Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Calon STPM Tahun 2014, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Sementara itu, Mohd Faizal Jusoh dari SMK Seri Nilam, pula berkata dia amat gembira kerana kerajaan negeri prihatin dalam aspek pendidikan anak Terengganu dan berhasrat untuk berbelanja sebaik mungkin supaya memberi pulangan yang setimpal kepada usahanya untuk menjejakkan kaki ke universiti selepas STPM nanti.

“Bantuan ini dapat meringankan bebanan ibu bapa saya untuk menyediakan kewangan bagi membiayai persekolahan saya.

“Duit ini akan saya gunakan untuk membeli perkakas pelajaran, selebihnya mahu membayar yuran kem STPM yang dianjurkan sekolah,” katanya.

Pandangan itu turut disokong rakan sekolahnya, Mohd Mustaqim Awang, 19, dari Kampung Paloh, Kuala Terengganu yang berjanji untuk menggunakan bantuan yang diberikan kerajaan itu kepada perkara yang mendatangkan kebaikan untuknya terutama bagi mencapai keputusan baik pada STPM nanti.

“Alhamdulillah. Rasa syukur dan gembira sebab bertuah dan turut terpilih menerima RM1,000 bersama rakan yang lain, berbanding rakan di negeri lain yang mungkin tidak menerima bantuan yang sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment