Sebahagian pelajar berkongsi kegembiraan pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Calon STPM Tahun 2014, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Hasmizi Hamid |
Tahun ini, sebanyak RM1,539,000 dibelanjakan kepada 1,539 pelajar di seluruh Terengganu yang tidak mendapat sebarang penajaan biasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka di Tingkatan Enam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, pengagihan pada tahun ini dilaksanakan di tiga parlimen sebagai memudahkan pelajar supaya tidak perlu ke majlis penyerahan bantuan yang jauh dari kawasan tempat tinggal mereka.
“Bantuan kewangan sebanyak RM1,000 kepada setiap penerima bagi membantu pelajar membuat persiapan membeli bahan-bahan pelajaran untuk mengulangkaji supaya memperolehi keputusan cemerlang dalm peperiksaan STPM nanti.
“Malah, kita mensasarkan pada tahun ini, Terengganu boleh meningkatkan lagi pencapaian pada peperiksaan STPM itu nanti,” katanya katanya di sidang media sempena Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Calon STPM Tahun 2014, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Zubir Embong; Pengarah Yayasan Terengganu, Mohamad Sulong dan Timbalan Pegarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Hashim Mohd Zin.
Di majlis itu, seramai 802 pelajar dari 29 sekolah di Parlimen Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu menerima bantuan RM1,000 seorang.
Sementara majlis kedua dijangka pada 18 September di Dewan IKBN Kemasik melibatkan 324 pelajar dari parlimen Kemaman dan Dungun, sementara 20 September ini di Dewan Sekolah Menengah Imtiaz YT Pelagat, Besut yang melibatkan 413 pelajar.
Ghazali berkata, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM1.5 juta dan lebih setiap tahun bagi tujuan itu dan tahun ini pengagihan dijalankan di tiga lokasi berbeza dengan setiap pelajar boleh menuntut bantuan di pusat pengagihan berhampiran tempat tinggal mereka.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan bantuan pada tahun depan akan diagihkan lebih awal memandangkan sistem peperiksaan terkini mengikut semester (tiga peringkat) berbanding sistem terdahulu menggunakan sistem modular (tahunan).
No comments:
Post a Comment