Di pingir jalan melalui pantai dari Besut ke Setiu tumbuh banyak gerai yang menjual pelbagai produk tempatan serta menjadi tumpuan ramai pengguna jalan raya termasuk masyarakat setempat.
Di Kampung Beting Lintang umpamanya, terdapat kira-kira lapan gerai milik penduduk tempatan yang meniaga setiap hari, sekaligus memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya itu khususnya yang melalui perjalanan jauh untuk berhenti mendapatkan minuman dan makanan segera seperti kerepek, keropok, air kotak, gula-gula dan pelbagai jeruk buah-buahan.
Bagi Rozuna Suria Abd Fatah, 27, dari Kampung Kuala Setiu, dia membantu ibunya meniaga pelbagai produk kampung di situ sejak beberapa tahun lalu sebagai pendapatan sampingan.
Kata ibu kepada empat cahaya mata itu, hampir seratus peratus barangan yang dijual diperolehi dari pembekal di Besut dan Setiu, manakala sebahagian kecil dari Kelantan.
Menurutnya, perniagaan di situ ada pasang dan surutnya, selain bergantung kepada cuaca dan musim buah-buahan.
“Kalau musim hujan pasti orang ramai tak dapat berhenti dan keluar membeli.
“Apabila cuaca baik ramai juga akan singgah mendapatkan pelbagai jeruk, buah-buahan seperti tembikai, ubi keledek, ibu kayu dan biru,”katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Hasnah Hassan, 48, dari Kampung Beting Lintang, berkata perniagaan yang diusahakan lebih 10 tahun itu menjadi pendapatan sampingan keluarga selain menjalankan kerja kampung yang lain.
“Pelanggan paling gemar membeli ubi keledek dan ubi kayu apabila ke gerai ini.
“Selain ubi, rock melon, tembikai, bawang dan ikan jeruk, belacan, budu serta ikan kering juga mendapat sambutan kerana harga yang lebih murah berbanding di kawasan lain,”katanya.
Hasnah berkata, hampir 80 peratus produk yang dijual diperolehi dari pembekal di sekitar kampung itu, Kampung Tembila, Kampung Raja dan Setiu, manakala selebihnya dari Kelantan.
Katanya, dia memulakan perniagaan dari sebuah bangsal kecil dan bertambah besar dari tahun ke tahun berikutan permintaan pelanggan yang semakin meningkat terhadap produk tempatan khususnya ubi keledek dan tembikai.
No comments:
Post a Comment