Pages

Sunday, September 7, 2014

Individu 21 Tahun Ke Atas Perlu Daftar Sebagai Pengundi Sebelum Jadi Ahli UMNO

shafie
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata individu berusia 21 tahun ke atas yang hendak menyertai parti itu perlu terlebih dahulu perlu mendaftar sebagai pengundi sebelum diterima menjadi ahli UMNO.
Mohd Shafie berkata, perkara itu dimestikan untuk memperkasakan parti sekaligus membolehkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO mampu mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
“Sekarang kita mempunyai kira-kira 400,000 anggota UMNO yang tidak mendaftar menjadi pengundi dan ia jika merupakan satu jumlah yang besar.
“Dalam pilihan raya lepas sesetengah kawasan kita hanya kalah (dengan majoriti) 400 undi, ada 300 undi, malah ada 70 undi bayangkan jika 400,000 anggota ini mendaftar, masa depan parti dalam pilihan raya akan datang akan lebih baik,” katanya dalam laporan Bernama.
Mohd Shafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO berkata tidak guna parti mempunyai keanggotaan yang ramai jika tidak mampu menolong parti dalam pilihan raya.
“Kita mahu mereka lebih bertanggungjawab dan ini akan membolehkan parti untuk menang dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata UMNO mengamalkan keterbukaan dengan menerima mereka yang berumur 18 hingga 21 tahun untuk menjadi anggota parti walaupun mereka masih belum layak mengundi.
Mohd Shafie berkata, UMNO Bahagian akan dipertanggungjawabkan untuk menarik seberapa ramai pengundi muda kerana ia bakal menjadi penentu kepada kelangsungan perjuangan parti.
Beliau berkata, perkara itu juga tidak memerlukan pindaan dalam perlembagaan parti sebaliknya hanya merupakan arahan pentadbiran.
“Kita juga minta semua sayap di 70,000 cawangan menarik sekurang-kurangnya seorang anggota baru setiap bulan dan jika semua bekerja keras, UMNO akan mempunyai 3.9 juta anggota baru menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment