Pages

Sunday, September 7, 2014

‘Kita Bukan Pemilik, Cuma Peminjam’

Hidup yang punyai segala kebendaan, hari dilalui tiada masalah, sentiasa gembira, apa juga impian mudah saja tercapai, itulah kehidupan yang menjadi dambaan semua orang. Tiada orang yang memiliki kehidupan sempurna kerana yang sempurna hanyalah Allah SWT.
Mungkin kita hanya boleh merasai dan memiliki beberapa perkara sahaja yang kita mahukan kerana itulah fitrah kehidupan di dunia. Walaupun sedikit atau separuh saja kemahuan diperoleh, namun ia boleh membentuk hidup yang sejahtera.
Segmen Usrati yang bersiaran Khamis minggu lalu, jam 5.15 petang di IKIMfm bersama Ustazah Norhafizah Musa membincangkan mengenai hakikat kehidupan yang mungkin tidak seperti kita harapkan.
Ada yang nampak luarnya lengkap segala-galanya, kereta bersusun, rumah ibarat istana, beroleh untung perniagaan berjuta ringgit, namun tidur malamnya tidak lena, hati sering dirundung gelisah. Ada pula kurang dari segi pakaian, makan pun ala kadar, namun hati kaya, selalu gembira dan urusan sering dipermudahkan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap kamu akan diuji dari segi kehilangan nyawa, harta benda, hati yang gelisah, kesakitan dan penderitaan untuk menguji sejauh mana keimanan dan kesabaran kamu.”
Jangan takut hilang apa dimiliki
Setiap yang dimiliki akan hilang, yang disayangi ditinggalkan. Jangan pernah di antara kita ada dalam hati istilah takut hilang segala-galanya kerana hakikatnya memang kita akan hilang semuanya, apa yang menjadi milik kekal hanyalah amalan yang ikhlas.
Rasulullah SAW sanggup memberi dan berkongsi sebahagian besar apa yang dimilikinya. Rasulullah SAW sanggup memberi kain baharu dibelinya untuk dibuat jubah baharu menggantikan jubahnya yang lusuh dan koyak kepada orang lain.
Konsep hidup sebenarnya, kita bukan pemilik, tetapi peminjam. Kita meminjam hak Allah SWT. Semuanya kita pinjam dan tidak ada satu pun yang menjadi milik kita. Rezeki umpamanya, selalu saja ada hak orang lain dalam harta kita miliki.
Konsep pinjam, kita kena pulangkan semula. Sampai masa ia akan hilang daripada kita sama ada harta benda atau orang yang disayangi. Jadi, apa yang berlaku dalam hidup ini jangan terlalu dikenangkan kerana ia ada fitrah yang perlu diterima dengan fikiran terbuka.
Nabi SAW mengajar bagaimana seharusnya kita bersederhana dalam apa juga keadaan. Islam menyarankan sebaik-baik perkara diletakkan pada batas pertengahan iaitu bersederhana. Jika kita terlalu menuntut apa yang sepatutnya kita dapat, maka kita akan sering gelisah, tidak puas hati serta terlalu berkira-kira.
Hidup seperti itu memang memenatkan. Justeru, sebaiknya kita berlapang dada dengan takdir yang berlaku dalam hidup supaya dapat memiliki hidup yang sejahtera. Berikanlah diri ruang untuk bernafas dengan tenang dengan memahami konsep hidup secara tepat.

Renung ujian Tuhan
Sekali sekala kita renungkan kisah mereka yang pernah diuji oleh Allah SWT, menghadapi kehidupan memeritkan supaya daripada pengalaman itu kita dapat mengambil semangat, membina keyakinan dan memperkuatkan pertahanan diri.
Cara itu, kita mampu memperkasa jiwa dan fikiran untuk kekal positif serta menjadi sekuat besi. Andainya putus asa menjengah, itu lumrah kerana kita hanya manusia biasa. Tetapi kita boleh menjadi manusia luar biasa andai meneladani jiwa yang ada pada Rasulullah SAW iaitu jiwa tenang.
Belajar bertenang, apabila berdepan masalah, tarik nafas terlebih dulu dan cuba menenangkan diri. Jangan bertindak gopoh atau cepat panik sebaliknya berusaha bertenang. Apabila bertenang otak akan berfungsi dengan baik.
Mari kita mencontohi golongan salafusoleh. Jika ada perkara yang membuatkan mereka tidak puas hati dan bersedih, tidak ada tempat sebaik-baiknya untuk mengadu selain Allah SWT. Ini kerana sifat Allah SWT, tidak pernah menghampakan hamba-Nya.
Allah SWT tidak pernah jemu mendengar aduan dan keluhan hamba-Nya walaupun untuk perkara yang sama berjuta kali pun, berbanding manusia yang apabila mendengar perkara yang sama akan cepat marah dan memberi maklum balas mengecewakan.
Kita harus bersabar untuk mengharapkan reda Allah SWT dan sifat sabar itu juga boleh memberi ketenangan kepada jiwa. Orang yang jiwanya damai, hatinya sentiasa tenang. Jangan putus asa walaupun kita dalam proses untuk bertenang.
Biasakan diri berfikir
Biasakan diri berfikir seminit dua sebelum bercakap atau memberi maklum balas. Barulah apa yang bakal keluar daripada mulut dan fikiran kita itu betul. Binalah kekuatan diri, fahami konsep hidup dan hakikat tiada yang kekal dalam dunia ini.
Setiap ujian ada hikmah di sebaliknya, kita perlu yakin dan berdoa supaya Allah SWT menggantikan kesusahan dengan kesenangan dan penderitaan dengan kebahagiaan. Jangan gopoh meniti hari dalam kehidupan ini.
* Penulis ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

No comments:

Post a Comment