Monday, September 8, 2014
276 Jemaah Haji Pertama Pantai Timur Berlepas Ke Madinah
Pengarah Operasi Lembaga Tabung Haji Negeri Terengganu, Mohammad Mokhzani Mukhtar (Tengah) sempat bermesra dengan sebahagian bakal jemaah haji yang menaiki penerbangan pertama dari Kuala Terengganu ke Madinah bagi menunaikan haji pada tahun ini di Hotel Tabung Haji sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Foto Oleh Tg Syamim Tg Ismail.
Kumpulan pertama jemaah haji Pantai Timur seramai 276 orang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Madinah, hari ini.
Pengarah Operasi Lembaga Tabung Haji Negeri Terengganu, Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata, kumpulan pertama daripada lima kumpulan itu berlepas dengan pesawat Boieng777 MH8036 KT30 pada 10.55 pagi waktu Malaysia.
“Empat baki penerbangan lagi akan bermula 15 sehingga 18 September ini dan ia adalah penerbangan terus ke Jeddah sebelum memasuki Kota Mekah.
“Untuk penerbangan ke Jeddah nanti, jemaah haji yang melapor diri dinasihati memakai terus pakaian ihram,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Hotel Tabung Haji sebelum semua jemaah dibawa menaiki bas ke LTSM.
Katanya, semua jemaah hendaklah memastikan semua dokumen penting dibawa.
“Dokumen seperti buku rekod kesihatan, surat jadual penerbangan dan rantai pengenalan diri perlu dibawa semasa melapor diri.
“Manakala dokumen yang tidak perlu seperti lesen memandu dan kad pengenalan seeloknya ditinggalkan untuk mengelakkan daripada berlaku perkara tidak diingini seperti keciciran,” ujarnya.
Sementara itu, seorang jemaah Tengku Anuar Tengku Dalam, 62, berkata, beliau bersyukur berpeluang menunaikan rukun Islam kelima itu walaupun dalam keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan.
Menurut Tengku Anuar yang terpaksa menolak tawaran menunaikan haji pada tahun 2005 dan 2006, beliau tidak akan melepaskan peluang kali ini disebabkan tidak tahu bila masalah kesihatan yang beliau alami akan berakhir.
“Pakcik sakit diabetes sejak umur 40-an lagi. Bagi pakcik soal kesihatan nombor dua kerana apa yang lagi penting ialah sempurnakan ibadah haji. Yang lain terserah kepada Allah s.w.t,” ujar pesara guru yang turut ditemani isterinya, Rakiah Kadir,58, ke Tanah Suci Mekah.
Sumber :- http://teganukita.my/276-jemaah-haji-pertama-pantai-timur-berlepas-ke-madinah/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment