Muzium Negeri Terengganu mensasarkan kehadiran 50,000 pengunjung ke Pameran 1001 Senjata yang akan berakhir 31 Disember ini.
Timbalan Pengarah Muzium Negeri, Che Muhammad Azmi Ngah berkata, pameran selama tiga bulan bermula 26 Ogos lalu itu mempamerkan pelbagai jenis senjata termasuk koleksi senjata tradisional dan moden.
“Koleksi yang dipamerkan antaranya pedang, taji, belati, lembing, tombak, tulang ikan pari dan ia datang dari seluruh pelusuk negeri termasuk Sabah, Sarawak, Kedah dan juga koleksi Muzium Terengganu sendiri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Perasmian Pameran 1001 Senjata yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Zubir Embong di Kompleks Muzium negeri Terengganu, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri. A. Latiff Awang dan ADUN Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.
Menurut Che Muhammad Azmi, sebanyak 200 koleksi senjata yang dipamerkan pada setakat ini dan jumlah tersebut dijangka akan meningkat sehingga 1001 senjata apabila pameran berakhir.
Katanya, dalam tempoh tersebut juga pertandingan keris dan demostrasi membuat keris juga akan diadakan.
“Selain mencungkil dan membongkar budaya silam, pameran ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat terutama generasi muda terhadap fungsi dan peranan senjata dalam dunia Melayu pada masa lalu dan sekarang,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment