Kerajaan Negeri akan mewujudkan Trek 10,00 langkah di setiap daerah negeri ini bagi menggalakkan rakyat mengambil bahagian dalam aktiviti kecergesan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Muhamad Pehimi Yusof berkata, pembinaan trek berkenaan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai menyertai aktiviti sihat termasuk berjalan kaki, larian dan jenis sukan lain.
Katanya, ketika ini trek untuk pejalan kaki hanya ada di Taman Rekreasi Hiliran, Kuala Terengganu dan dua lagi akan dibina di Taman Rekreasi Batu Burok dan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.
Beliau berkata, selepas ini semua daerah akan mendapat kemudahan trek dan orang ramai akan dapat menjalankan pelbagai aktiviti sihat sama ada individu, keluarga atau kumpulan.
Muhammad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, berkata bagi trek di Besut akan dibina di Stadium Mini Besut, Kampung Raja.
“Bagi pembinaan trek di kawasan kampung ia boleh dilakukan oleh Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) dengan menggunakan laluan pejalan kaki yang sedia ada,”
katanya selepas pelancaran Gegar 10,000 Langkah Merdeka,Peringkat Jabatan Kesihatan Terengganu di Klinik Kesihatan Sri Medang, Besut, baru-baru ini.
Katanya, pembinaan trek di kampung hanya perlu meletakkan papan tanda yang mengandungi maklumat tertentu.
Sempena pelancaran serentak yang diadakan di seluruh negeri ini kira-kira 11,000 peserta menyertai acara berjalan kaki 10,000 langkah serta kayuhan berbasikal di daerah masing-masing.
Hadir sama ialah Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Anwa Sulaiman serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Kesihatan Terengganu.
Beliau berharap, rakyat negeri ini turut mengamalkan dan menjadikan 10,000 langkah sebagai rutin kehidupan harian dalam usaha mengurangkan gemok badan selain menjaga tahap kesihatan yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment