Sekolah yang mencapai target 20 peratus keputusan semua A dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) akan diberi insentif khas oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, insentif itu bertujuan untuk memberi dorongan kepada guru besar dan guru-guru di sekolah berkenaan dan sekaligus dapat melahirkan pelajar yang berpotensi.
“Mana-mana sekolah yang mencapai target 20 peratus ini termasuklah sekolah yang mempunyai bilangan calon sedikit, kita akan berikan insentif kepada mereka.
“Ini adalah untuk menaikkan semangat kakitangan sekolah bagi menaikkan pencapaian sekolah tersebut sekaligus melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik”, katanya.
Beliau ditemui ketika membuat tinjaun persiapan calon UPSR di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu pagi tadi.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Zakaria Hussin.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif memberitahu, kerajaan negeri akan melawat beberapa buah universiti dalam dan luar negara untuk berjumpa dengan pelajar Terengganu di kampus-kampus berkenaan.
“Saya dan ahli-ahli Exco akan membuat beberapa lawatan ke universiti termasuklah di luar negara untuk berjumpa dengan pelajar dari Terengganu bagi memberi sokongan dan harapan kepada mereka.
“Ini adalah salah satu langkah dalam melahirkan pelajar yang tamat pengajian dengan kepujian kelas pertama sekaligus menjadikan Terengganu sebagai hub pendidikan kerana melalui potensi merekalah kita dapat menaikkan nama negeri”, tambahnya lagi.
Seramai 21,791 calon menduduki UPSR bermula pagi ini di 383 pusat peperiksaan di seluruh negeri Terengganu.
Berdasarkan jumlah itu, seramai 175 calon Orang Kurang Upaya (OKU) di mana kategori lain-lain 140 calon, pendengaran (26 calon) dan terencat akal, rabun, serta penglihatan masing-masing mencatatkan tiga calon.
No comments:
Post a Comment