Pages

Saturday, September 6, 2014

781 Kes Denggi Sehingga September 2014

Penduduk Kg. Ladang Titian berganding bahu melakukan gotong-royong menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes
Penduduk Kg. Ladang Titian berganding bahu melakukan gotong-royong menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes
Sehingga September 2014, 781 kes denggi dicatatkan diseluruh negeri Terengganu dengan peningkatan kes sebanyak 187%.
Dato' Mazlan Ngah
Dato’ Mazlan Ngah
Menurut Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah masalah ini amat serius dan perlu dibendung serta merta.
“Peningkatan ini amat membimbangkan kerana ia boleh membawa maut jika tidak dicegah.
“Semua agensi dan masyarakat setempat haruslah terlibat untuk mengekalkan kawasan bersih dari takungan yang boleh dijadikan sebagai tempat pembiakan nyamuk aedes”, ujarnya kepada pemberita.
Beliau ditemui ketika merasmikan majlis pelancaran Ops Mega: Jom Ganyang Aedes 2014 Peringkat Negeri di Ladang Titian, Kuala Terengganu.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Anwa Sulaiman.
Statistik yang dikeluarkan menunjukkan daerah Kuala Terengganu merupakan penyumbang utama bagi masalah denggi dengan 509 kes dilaporkan, peningkatan sebanyak 478%.
Diikuti Besut 75 kes, Marang 57 kes, Dungun 48 kes, Kemaman 54 kes, Hulu Terengganu 30 kes dan Setiu 8 kes.
Menurut Anwa, peningkatan yang mendadak di negeri Terengganu adalah selepas Aidil Fitri.
“Peningkatan ini bermula pada selepas Aidil Fitri dengan 60 hingga 65 kes dilaporkan bagi tempoh seminggu”, katanya.
Tambahnya lagi, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah memeriksa sebanyak 156,622 premis sehingga 3 September dan 934 dari premis ini merupakan tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Kesemua premis yang positif tempat pembiakan nyamuk aedes telah kami kenakan kompaun di bawah akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 pindaan 2000.
“7,174 premis lagi kami serahkan notis pembersihan di bawah seksyen 8 kerana berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes”, ujarnya.
Terengganu berada di tangga ketujuh bagi wabak denggi.

No comments:

Post a Comment